Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Kadar perceraian di Selangor menurun sejak 2016

SHAH ALAM, 16 JULAI: Kadar perceraian dalam kalangan pasangan Islam di Selangor menunjukkan trend penurunan sejak tiga tahun lalu, kata Ketua Hakim Syarie Selangor, Mohammad Adib Husain.

Beliau berkata bagi tempoh berkenaan, rekod Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) menunjukkan 11,860 permohonan cerai difailkan tahun lalu berbanding 12,203 kes, pada 2017 dan 12,513 kes (2016).

Mohammad Adib percaya penurunan ini, antara lain, ekoran beberapa inisiatif yang diambil Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan JAKESS bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan di negeri berkenaan.

“Antara inisiatifnya adalah seperti kursus pasca perkahwinan, seminar kefahaman undang-undang syariah, kaunter runding cara dan kaunter bahagian sokongan keluarga JAKESS yang dibuka pada tarikh yang ditetapkan melalui hebahan kepada pelanggan Mahkamah Syariah ini,” katanya kepada Bernama, di sini.

Katanya, sebagai sebuah negeri maju, ramai umat Islam dari negeri lain atau dari negara luar berhijrah ke Selangor untuk mencari rezeki menyebabkan mana-mana pasangan yang bermasalah lebih cenderung untuk memfailkan permohonan perceraian mereka di sini.

“Walaupun bilangan permohonan perceraian di Selangor menunjukkan trend penurunan, namun jumlahnya diakui masih tinggi berbanding negeri lain dan antara puncanya adalah disebabkan faktor kepadatan penduduk,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan rekod jabatan, antara faktor yang mendorong perceraian pasangan Islam adalah kurangnya penghayatan agama; tiada persefahaman; masalah kewangan, curang; campur tangan keluarga dan keganasan rumah tangga, selain pengaruh media sosial.

Beliau berkata disebabkan permohonan perceraian dilihat menurun saban tahun, JAKESS terus berusaha menyelesaikan kes-kes tersebut sama ada secara prosiding mahkamah biasa atau membabitkan proses kerja ‘fast track’ bagi memudahkan individu terbabit untuk memulakan hidup baharu.

Kata Mohammad Adib, berdasarkan rekod jabatan itu, sebanyak 8,022 kes permohonan perceraian berjaya diselesaikan menerusi proses kerja ‘fast track’ pada tahun 2016 hingga 2018 iaitu 3,519 kes bagi 2016; 2,238 kes (2017) dan 2,265 kes pada tahun lalu.

“Bagi tahun ini bermula Januari sehingga Jun lepas pula, sebanyak 7,013 permohonan cerai difailkan dengan 1,279 kes telah diselesaikan secara fast track,” katanya.

Katanya, walaupun ada pihak membangkitkan konsep perceraian ‘fast track’ antara punca jumlah kes cerai tinggi di Selangor, perlu difahami bahawa ia tidak dilakukan sewenang-wenangnya dan hanya diguna pakai sekiranya mahkamah berpuas hati wujudnya pecah belah atau ‘shiqaq’ dalam permohonan cerai mana-mana pasangan.

Selain itu, permohonan pasangan terbabit juga mesti menepati beberapa syarat ditetapkan iaitu penyediaan dokumen yang lengkap; suami dan isteri hadir ke mahkamah; wujud persetujuan antara suami dan isteri untuk bercerai secara baik serta harmoni; dan isteri dalam keadaan suci dan tidak berlaku persetubuhan dalam tempoh suci berkenaan, jelas Mohammad Adib.

Proses kerja kes cerai ‘fast track’ yang diperkenalkan JAKESS pada tahun 2015 itu bertujuan untuk mengurangkan lambakan kes tertangguh di jabatan berkenaan dengan menyelesaikan permohonan cerai yang menepati syarat ditetapkan dalam masa enam jam.

Dalam pada itu, Mohammad Adib memberitahu selain proses kerja ‘fast track’, kes perceraian yang melibatkan prosiding perbicaraan di mahkamah masih dilaksanakan seperti biasa membabitkan kes tuntutan fasakh, cerai taklik, khuluk (tebus talak) serta tuntutan perceraian dan pengesahan cerai taklik.

“Bagi kes permohonan perceraian yang tidak melalui proses kerja ‘fast track’, sebanyak 24,322 kes bagi tempoh 2017 hingga Jun tahun ini berjaya diselesaikan dan selebihnya masih menjalani prosiding mahkamah,” katanya.

Katanya, antara usaha yang dilakukan jabatan berkenaan bagi mempercepatkan pengurusan kes-kes tersebut termasuklah memperkenalkan pelaksanaan hakam dalam permohonan cerai melalui Kaedah-kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 selain menjalankan perbicaraan pada waktu malam.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Selangor catat kes cerai tertinggi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 15 NOV: Selangor mencatatkan angka tertinggi dalam kes perceraian membabitkan umat Islam dengan 11,297 kes direkodkan pada 2014.

Ketua Hakim Syarie Selangor, Mohammad Adib Husain berkata, Selangor mendahului dengan diikuti Sabah 7,421 kes dan Johor 5,871 kes perceraian.

“Angka ini terus meningkat menjadi 63,463 kes jumlah cerai pada 2015, iaitu Selangor negeri tertinggi dengan jumlah 11,873 kes diikuti Sabah yang mencatatkan 8,272 kes manakala Johor 4,700 kes.

“Manakala, dari 2015 sehingga tahun lalu, perceraian di Selangor mencatatkan peningkatan dengan jumlah 37,600 kes,” katanya.

Katanya, Selangor mencatat jumlah tertinggi rata-ratanya bukan daripada rakyat negeri itu sendiri, namun disebabkan kebanyakan yang tinggal di Selangor hadir dalam kalangan rakyat negeri lain.

Mengulas lanjut, antara punca utama berlakunya kes perceraian, Mohammad Adib berkata, ia disebabkan oleh masalah kewangan dan kurang kesefahaman antara pasangan.

Manakala, menyentuh soal usia, katanya, mengikut penyelidikan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia usia yang sering berlaku kes perceraian adalah antara 30 hingga 45 tahun.

Categories
SELANGOR

Rujuk JAKESS jika tidak terima nafkah

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 16 DIS : Wanita yang tidak menerima nafkah sepatutnya daripada bekas suami boleh melapor kepada Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS).

Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata ia bagi memastikan isteri dan ibu tunggal menerima hak mereka seperti diperintahkan mahkamah.

Katanya, perkhidmatan nasihat juga diberikan secara percuma sekaligus mengurangkan bebanan mereka yang memerlukan bantuan.

Dr Mohd Na'im Mokthar“Kita akan pastikan bahagian ini berfungsi sebaiknya supaya perintah bayaran nafkah itu tidak kekal di atas kertas sahaja.

“Kalau di Mahkamah Sivil, ibu bukan Islam terpaksa berjumpa dan membayar peguam bagi mendapatkan rundingan kerana tiada khidmat percuma di situ.

“Tetapi dengan adanya bahagian sokongan keluarga, wanita boleh menerima nasihat secara percuma.” katanya kepada Selangor Kini.

Pada masa sama, Mohd Na’im berkata, JAKESS turut menyediakan perkhidmatan sistem elektronik pengurusan, e-nafkah yang membolehkan semakan nafkah bulanan dibuat.

Katanya, mana-mana pihak yang gagal melunaskan bayaran nafkah bakal berdepan tindakan tegas daripada mahkamah.

CERAI“Kita cuba sampaikan falsafah berbeza dengan Mahkamah Sivil di mana kita ambil tanggungjawab itu dengan harapan boleh memberi nasihat secara percuma berkaitan tuntutan nafkah.

“Kita juga bangunkan tabung untuk bantuan nafkah sementara kerana penguatkuasaan terhadap pihak yang gagal membayar nafkah mengambil masa selama enam bulan,” katanya.

Gagal bayar nafkah keluarga, suami berdepan penjara

Suami atau bapa yang didapati gagal melunaskan bayaran nafkah kepada isteri dan anak seperti diperintahkan mahkamah bakal berdepan hukuman penjara.