Categories
SELANGOR

Lebih 20,000 Kes Syariah berjaya selesai tahun lepas

SHAH ALAM, 23 Feb: Lebih 20,000 kes syariah di seluruh Selangor berjaya diselesaikan Mahkamah Syariah Selangor sepanjang tahun lalu.

Ketua Hakim Syarie, Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebanyak 26,503 kes berjaya diselesaikan dan daripada jumlah itu, 22,213 merupakan kes bukan jenayah manakala 4,290 kes pula membabitkan jenayah syariah.

“Jumlah kes mal (bukan jenayah) yang direkodkan sepanjang tahun lepas termasuk hal berkaitan nikah, cerai dan kebenaran berpoligami adalah sebanyak 27,726 kes dengan 80 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.

Dr-Mohd-Naim-Mokthar-“Untuk kes jenayah syariah seperti khalwat dan persetubuhan haram pula, kita berjaya selesaikan hampir 68 peratus daripada 6,282 kes,” katanya.

Na’im berkata, pencapaian itu menjangkaui sasaran ditetapkan pihaknya iaitu 75 peratus bagi mal dan 60 peratus untuk jenayah.

“Tahun ini, kita yakin dapat menyelesaiakn 90 peratus kes mal dan juga jenayah susulan pencapaian yang baik pada tahun lepas.

“Ini juga selari dengan misi kita dalam melaksanakan pengadilan dan pengurusan mahkamah syariah yang berkesan serta sistematik untuk rakyat,” katanya.

-nR-

Categories
AGAMA SELANGOR

‘Fast Track’ kes perceraian Selangor rangkul emas MPC

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 OGOS: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) menerima Anugerah Emas dalam Konvensyen Team Excellence Wilayah Utara 2016 serta melayakkan ke peringkat kebangsaan dijadualkan Oktober depan.

JAKESS melalui kumpulan Premiere mempertaruhkan projek Key Focus Activity (KFA), proses kerja ‘fast track’ bagi kes perceraian yang hanya mengambil masa kurang enam jam tanpa perlu menunggu 90 hari dengan syarat mencapai persetujuan bersama.

Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata kejayaan itu menunjukkan hasrat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan menggalakkan kreativiti serta inovasi disambut baik warga JAKESS.

“Saya percaya penyertaan Premiere dalam siri konvensyen ini memberi peluang kepada ahlinya memperbaiki dan menambah baik produk fast track yang diperkenalkan sejak November 2014 sekali gus mengembalikan manfaatnya kepada rakyat,” katanya.

IMG-20160805-WA0007Beliau berkata, kejayaan tersebut membuktikan institusi agama termasuk kehakiman syariah mampu berdiri sama tinggi dengan institusi lain.

Ini sekali gus menangkis dakwaan sesetangah pihak yang sering memandang rendah terhadap kemampuan institusi agama.

“Diharap usaha kreativiti dan inovasi terus diperhebat dan dijadikan budaya oleh seluruh warga jabatan.

“Kejayaan kumpulan Premiere ini pemangkin dan pencetus semangat banyak lagi kumpulan inovasi ditubuhkan di JAKESS supaya projek sedang giat dibangunkan itu turut melakar kejayaan tersendiri,” katanya.

Konvensyen itu diadakan di Langkawi, Kedah pada 3 hingga 4 Ogos 2016 lalu anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Kes Cerai Fast Track hasil cetusan idea kumpulan Hakim Syarie Negeri Selangor ketika membincangkan langkah strategik penyelesaian kes di mahkamah Syariah Negeri.

Ia mula diperkenalkan di beberapa Mahkamah Rendah Syariah di Selangor sejak November 2014 dan dilaksanakan sepenuhnya bermula Jun 2015 di kesemua 12 Mahkamah Rendah Syariah seluruh Selangor.

Skop pelaksanaan Kes Cerai Fast Track melibatkan proses permohonan perceraian dengan talaq di bawah Seksyen 47 dengan syarat dokumen lengkap dan pasangan suami isteri hadir serta mendapat persetujuan bersama untuk bercerai.

Isteri pula dalam keadaan suci dan tidak dicampuri, tidak mengandung, putus haid atau tidak pernah disetubuhi dalam tempoh perkahwinan serta Mahkamah berpuas hati dengan alasan pecah belah (syiqaq).

EZY