Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Fast Track atasi karenah birokrasi, elak wanita digantung tidak bertali

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JUL: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) mempertahankan proses kes cerai secara ‘fast track’ bukan saluran menggalakkan masyarakat Islam di Selangor bercerai.

Sebaliknya, JAKESS dalam kenyataannya berkata, proses cerai yang diperkenalkan sejak 2015 itu bagi menyelesaikan rungutan dan aduan pelanggan yang mendakwa Mahkamah Syariah Selangor mengambil masa terlalu lama menyelesaikan sesuatu kes cerai.

JAKESS juga memaklumkan, proses perceraian daripada 90 hari kepada enam jam itu antara lain berfungsi menangani masalah wanita yang mendakwa diri mereka ‘digantung tidak bertali’.

“Proses kerja ini adalah prosedur operasi standard (SOP) dibangunkan JAKESS bagi mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengendalian kes cerai yang difailkan atas persetujuan bersama suami dan isteri yang sebelum ini mengambil masa sehingga 90 hari untuk diselesaikan.

“Proses kerja ini juga sebenarnya menjimatkan masa dan kos pihak terbabit dan memberi peluang kepada mereka memulakan hidup baharu secara damai tanpa perlu bermusuhan antara satu sama lain, sebagaimana yang biasa berlaku kesan daripada perbicaraan kes yang panjang di mahkamah,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, proses penceraian melalui ‘fast track’ hanya untuk penyelesaian kes cerai dengan talak yang difailkan secara persetujuan bersama di bawah Seksyen 47 Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor (2003).

Pelaksanaan kes cerai itu memerlukan dokumen lengkap, pasangan suami isteri hadir, persetujuan bersama untuk bercerai, isteri dalam keadaan suci dan tidak dicampuri, tidak mengandung, putus haid atau tidak pernah disetubuhi dalam tempoh perkahwinan serta mahkamah berpuas hati dengan alasan pecah belah (syiqaq).

“ Kaedah ‘fast track’ bukan proses yang diwujudkan semata-mata menyelesaikan kes cerai dengan sewenang-wenangnya tanpa perlu melalui langkah yang sewajarnya.

“Tetapi pasangan suami isteri datang ke Mahkamah untuk memfailkan kes cerai, mereka akan berjumpa dengan Pegawai Runding Cara Keluarga di Unit Undang-Undang Keluarga, Pejabat Agama Islam Daerah bagi mencari jalan penyelesaian terhadap konflik rumah tangga yang dihadapi oleh mereka,” menurut kenyataan itu.

 

Menyentuh rekod kes cerai tertinggi di Selangor, JAKESS memaklumkan bahawa angka itu disebabkan oleh jumlah penduduk yang ramai di negeri ini berbanding negeri lain.

 

Semalam, persidangan Dewan Rakyat gamat dengan isu punca penceraian selain dakwaan wujudnya kaunter khas di Selangor seolah menggalakkan kes penceraian berlaku.

Categories
AGAMA SELANGOR

‘Fast Track’ kes perceraian Selangor rangkul emas MPC

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 OGOS: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) menerima Anugerah Emas dalam Konvensyen Team Excellence Wilayah Utara 2016 serta melayakkan ke peringkat kebangsaan dijadualkan Oktober depan.

JAKESS melalui kumpulan Premiere mempertaruhkan projek Key Focus Activity (KFA), proses kerja ‘fast track’ bagi kes perceraian yang hanya mengambil masa kurang enam jam tanpa perlu menunggu 90 hari dengan syarat mencapai persetujuan bersama.

Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata kejayaan itu menunjukkan hasrat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan menggalakkan kreativiti serta inovasi disambut baik warga JAKESS.

“Saya percaya penyertaan Premiere dalam siri konvensyen ini memberi peluang kepada ahlinya memperbaiki dan menambah baik produk fast track yang diperkenalkan sejak November 2014 sekali gus mengembalikan manfaatnya kepada rakyat,” katanya.

IMG-20160805-WA0007Beliau berkata, kejayaan tersebut membuktikan institusi agama termasuk kehakiman syariah mampu berdiri sama tinggi dengan institusi lain.

Ini sekali gus menangkis dakwaan sesetangah pihak yang sering memandang rendah terhadap kemampuan institusi agama.

“Diharap usaha kreativiti dan inovasi terus diperhebat dan dijadikan budaya oleh seluruh warga jabatan.

“Kejayaan kumpulan Premiere ini pemangkin dan pencetus semangat banyak lagi kumpulan inovasi ditubuhkan di JAKESS supaya projek sedang giat dibangunkan itu turut melakar kejayaan tersendiri,” katanya.

Konvensyen itu diadakan di Langkawi, Kedah pada 3 hingga 4 Ogos 2016 lalu anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Kes Cerai Fast Track hasil cetusan idea kumpulan Hakim Syarie Negeri Selangor ketika membincangkan langkah strategik penyelesaian kes di mahkamah Syariah Negeri.

Ia mula diperkenalkan di beberapa Mahkamah Rendah Syariah di Selangor sejak November 2014 dan dilaksanakan sepenuhnya bermula Jun 2015 di kesemua 12 Mahkamah Rendah Syariah seluruh Selangor.

Skop pelaksanaan Kes Cerai Fast Track melibatkan proses permohonan perceraian dengan talaq di bawah Seksyen 47 dengan syarat dokumen lengkap dan pasangan suami isteri hadir serta mendapat persetujuan bersama untuk bercerai.

Isteri pula dalam keadaan suci dan tidak dicampuri, tidak mengandung, putus haid atau tidak pernah disetubuhi dalam tempoh perkahwinan serta Mahkamah berpuas hati dengan alasan pecah belah (syiqaq).

EZY

Categories
SELANGOR

Fast Track bela wanita teraniaya

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 JULAI: Proses mempercepatkan cerai atau ‘fast track’ untuk pasangan Islam di Selangor mampu membela golongan wanita daripada terus teraniaya, kata Adun Taman Medan, Haniza Talha.

Haniza berkata, kebanyakan kes perceraian bagi setiap pasangan mengambil masa panjang dan wanita sering berhadapan masalah atau kesukaran.

Katanya, ia juga mampu memastikan kehidupan keluarga terutama anak tidak terjejas sepanjang prose perceraian berlaku.

haniza“Perkembangan yang menarik kerana selalunya proses agak sukar terutama jika pihak lelaki suka menangguhkannya.

“Jadi, saya nampak ia satu penyelesaian kepada kes isteri yang memohon cerai apabila ada ‘fast track’ ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) memperkenalkan proses mempercepatkan cerai dalam tempoh enam jam buat pasangan yang bersetuju untuk berpisah.

Sebelum ini, kes perceraian bagi pasangan yang bersetuju berpisah mengambil masa kira-kira tiga bulan atau 90 hari untuk diselesaikan bermula daripada kes didaftarkan sehingga perintah bertulis dikeluarkan mahkamah.

Jais-logo kecikPada masa sama, Haniza turut menafikan kaedah ‘fast track’ akan menggalakkan lebih banyak kes perceraian di negeri itu.

Katanya, ia boleh dipantau semula dari masa ke masa berdasarkan kes jika didapati disalahgunakan pihak tertentu.

“Mungkin ada pihak yang menggunakan cara ini untuk kepentingan, tetapi ia lebih kepada manfaat buat wanita yang dizalimi.

“Cara ini dilihat sebagai penyelesaian untuk kes tertangguh yang banyak membebankan wanita,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: Perlu beri perjelas kepada masyarakat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 MEI: JAKESS perlu memberi penerangan meluas berhubung sistem ‘fast track’ perceraian yang dibangunkan bagi mengelak kekeliruan di kalangan umat Islam.

Penasihat perniagaan, Ahmad Rushdi, 32, berkata JAKESS wajar mempertimbang supaya memasukkan isu itu dalam silibus kursus perkahwinan.

Ahmad RushdiKatanya, JAKESS perlu menggunakan semua medium termasuk media sosial untuk memastikan pemahaman orang Islam dalam isu itu.

“Bagus sebab dahulu ambil masa 90 hari, sekarang cuma enam jam tetapi pengguna perlu lebih faham adakah ia sekadar proses dokumentasi semata-mata atau lebih menyeluruh?

“Ini pendekatan baik, cuma dari segi informasi perlu dipergiat dalam konteks lebih lengkap supaya orang tak fikir mudah untuk bercerai,” katanya.

PMisraharjo Masrudinekerja swasta, Misraharjo Masrudin, 47 pula mahu JAKESS perlu menimbang hal itu sedalam-dalamnya sebelum melaksanakannya.

“Kurang bersetuju kerana terlalu mudah dan cepat. Pasangan yang bertahun-tahun bersama, boleh berubah fikiran. Mungkin sebulan lebih sesuai berbanding enam jam.

“Apapun, saya fikir elok orang ramai diberi penerangan lebih mendalam dan benar-benar faham motif sebenarnya,” katanya.

Sani MasbanPekerja perhotelan, Sani Masban pula berkata, pasangan yang mahu bercerai sepatutnya diberi masa lebih panjang untuk memikirkannnya.

“Kurang enam jam terlalu cepat sebab manusia mungkin berubah pendirian. Mungkin tengah marah tetapi sejuk balik lebih-lebih lagi bila memikirkan anak,” katanya.

Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: Elak sengketa selepas cerai

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 MEI: ‘Fast track’ untuk pasangan yang mencapai persetujuan bersama untuk bercerai dibangunkan bagi menggalakkan mereka pertikaian secara baik.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata ‘fast track’ itu mensyarat pasangan supaya menyelesaikan isu berbangkit melalui perjanjian di luar mahkamah.

“Kalau dua-dua pihak ada persetujuan memang tak boleh bersama, digalak selesaikan cepat kecuali kalau pihak tak bersetuju atau satu pihak mahu pertahankan perkahwinan itu.

Musa Awang“Jika tiada persejutuan bersama untuk berpisah, pasangan terbabit perlu melalui prosiding biasa, bukan ‘fast track’,” katanya.

Beliau berkata, perjanjian penyelesaian atau ‘sulh’ di luar mahkamah itu boleh dibuat pasangan terlibat ataupun melalui peguam masing-masing sebelum difail di mahkamah.

“Fast track’ untuk kes yang ada persetujuan awal untuk failkan kes untuk lafaz, untuk rekod semua persetujuan mereka sama ada persetujuan ini mereka buat sendiri atau pun melalui peguam.

“Sebelum ke mahkamah, mereka jumpa peguam untuk buat perjanjian penyelesaian dan semasa failkan, ia disertakan butiran perjanjian,” katanya.

“Ia mudah dapat tarikh cepat. Mungkin pada hari sama kalau ada hakim,” katanya yang menolak tanggapan ‘fast track’ menggalakkan perceraian.

Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: Sistem ‘fast track’ elak penindasan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 MEI: Sistem ‘Fast track’ diwujud bagi mengelak mana-mana pihak tertindas akibat kelewatan proses perceraian.

Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata ia diyakini membantu kedua-dua pihak memulakan kehidupan baru selepas bercerai.

Beliau berkata, sistem itu juga dapat membantu pasangan terbabit menyelesaikan isu pembahagian harta dengan lebih cepat.

yunus“Kita tak galakkan cerai tetapi kalau tak dapat elak dan rasa ia jalan terbaik, maka kita cari jalan supaya diproses sebaik mungkin.

“Ini menjadi keutamaan supaya tiada mana-mana pihak tertindas, malah dari segi Maqasid Syariah, ia menjadi keutamaan, tidak menyusahkan, apatah lagi ada persetujuan kedua-dua pihak.

“Bagaimanapun di peringkat Jabatan Undang-undang Keluarga, kita masih anjurkan supaya elakkan bercerai.

“Cumanya, Fast Track untuk elak proses masa terlalu lama hingga memberi kesan tidak baik kepada pasangan memulakan hidup baru,” katanya.