Categories
NASIONAL

Otai Reformis singkap pengorbanan Anwar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 8 MEI : Walaupun dipenjara, pengorbanan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap perkembangan pembangunan negara tidak boleh dinafikan.

Ketua Otai Reformis, Saari Sungib berkata, khidmat Anwar ketika menggalas jawatan terpenting negara telah membawa perubahan kepada perkembangan positif sehingga kini.

“Beliau telah mengasaskan Persatuan Kebangsaan Islam Malaysia (PKPM) juga Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang merupakan gagasan gerakan Islam ternama dan masih aktif sehingga kini.

OTAI REFORMIS (10)“Ketika berkhidmat dalam kerajaan, beliau pernah memangku Perdana Menteri dan telah memperkenalkan undang-undang anti rasuah yang membenarkan siasatan keadaan kepada pegawai kerajaan yang telah berhenti berkhidmat.

“Pengorbanan dan jasa Anwar sangat besar. Daripada seorang pemimpian mahasiswa, sebagai pemegang porfolio kerajaan, sebagai Menteri dalam pelbagai kementerian sehinggalah kepada pemangku Perdana Menteri dan terakhir sebagai Ketua Pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan petisyen permohonan ampun diserahkan kepada Istana Negara pagi ini, untuk dikemukakan kepada Yang Dipertua Agong, Sultan Muhammad V bagi mendapat perkenan pengampunan diraja daripada Baginda.

Anwar sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri daripada tahun 1993 sehingga 1998, juga sebagai Menteri Kewangan, Menteri Pendidikan, Menteri Pertanian dan Menteri Belia dan Sukan.

Bagaimanapun, kemuncak gelombang Reformasi 1998 menyaksikan Anwar dipecat daripada kedudukannya dan dipenjara pentadbiran Umno Barisan Nasional ketika itu.

Perkembangan itu sekali gus menyaksikan Parti KEADILAN Nasional (PKN) yang ditunjangi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ditubuhkan pada 1999.

Anwar kini menjalani hukuman penjara 5 tahun selepas didapati bersalah atas sabitan liwat ke atas bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhary.