Categories
NASIONAL

Idris Jala perlu dedah struktur bayaran Pengarah PEMANDU

ong-jala
KUALA LUMPUR 31 OKT – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pemandu (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala diminta mendedahkan struktur bayaran pengarah agensi berkenaan atas faktor ketelusan.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, menegaskan pendedahan itu perlu dibuat memandangkan perbelanjaan besar yang berlaku di Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM16.45 bilion.
“Saya turut menuntut Idris mendedahkan sama ada terdapat pengarah di PEMANDU menjadi pengarah di syarikat berkenaan kerajaan, syarikat tersenarai awam atau agensi kerajaan.
“Rakyat mahu tahu sama ada akan timbulnya konflik kepentingan berpunca daripada memegang jawatan yang banyak dalam sektor awam juga swasta,” katanya di Lobi Parlimen.
Kian Ming turut memetik kenyataan seorang daripada pengarah di PEMANDU, Goh Wei Liang, dalam portal Malaysiakini yang menyatakan pendapatan di agensi berkenaan adalah kecil.
Laporan terbabit turut menyatakan pendapatan pengarah di PEMANDU di bawah kadar semasa, berbanding penjawat awam lain dengan gaji bulanan RM40,000 dan pendapatan bersih sebanyak RM30,572.92 selepas ditolak cukai berbanding pegawai Jusa A yang menerima gaji bersih RM29,631.53.
Daripada jumlah itu, Wei Liang memperincikan sejumlah RM17,331.46 adalah gaji pokok dengan cukai dikenakan sebanyak RM3,533.26, termasuk beberapa elaun antaranya Elaun Hiburan berjumlah (RM4,000), Elaun Perumahan (RM2,000), Elaun Tetap (RM2500), Elaun Mesyuarat bagi ahli Lembaga Pengarah (RM2,500) dan Elaun Tetap sebagai Lembaga Pengarah (RM2,916.67).
Sehubungan itu, Kian Ming menegaskan, Idris perlu memberikan penjelasan berhubung perkara itu serta menjawab dakwaan yang didedahkan Wei Liang. -NFN-