Categories
AGENDA SUKANKINI

Haiqal, Khairul Hafiz gagal lepasi had kelayakan Sukan Sea Hanoi

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Dua jaguh pecut negara Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan menerima tamparan hebat apabila gagal melepasi had kelayakan untuk ke Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Mei ini.

Biarpun menjuarai acara 100 meter (m) lelaki pada Kejohanan Terbuka Malaysia ke-97 di Stadium Mini Majlis Sukan Malaysia, Bukit Jalil di sini hari ini, ia masih tidak cukup buat Muhammad Haiqal untuk melayakkan diri ke temasya dwitahunan itu yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei.

Muhammad Haiqal, 23, yang menjuarai acara 100 m pada Sukan SEA Filipina 2019 berlari di atas permukaan trek basah akibat cuaca hujan dan melintasi garisan penamat dengan catatan masa 10.58 saat (s), yang gagal melepasi had kelayakan untuk ke temasya di Vietnam iaitu 10.52s.

Atlet yang mewakili Negeri Sembilan itu bagaimanapun bersikap positif apabila mengakui tidak kecewa dengan kegagalannya hari ini kerana telah merasai pengalaman memenangi emas semasa di Filipina.

Beliau juga tidak mengharapkan bantuan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) jika mahu menghantarnya bertanding dalam acara riben biru di Vietnam atas kategori B (kos dipulangkan jika memenangi pingat) namun bersedia untuk dipanggil menyertai kuartet 4x100m lelaki.

“Jika KOM nak hantar saya (bagi acara 100m) saya akan fokus, seandainya tiada rezeki saya ke Sukan SEA, saya akan tumpu latihan hadapi kejohanan lain,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, Muhammad Haiqal tetap berpuas hati dengan lariannya hari ini apabila berjaya menepati sasaran untuk mencatat masa 10.4s hingga 10.59s dalam kejohanan kali ini.

Pingat perak acara 100m lelaki kejohanan itu dimenangi pelari Johor Muhammad Arsyad Md Saat dengan 10.63s manakala Jonathan Nyepa dari Angkatan Tentera Malaysia meraih gangsa catatan masa 10.64s.

Juara Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, Khairul Hafiz yang beraksi untuk Melaka turut gagal ke Hanoi selepas menamatkan larian di tangga kelima dengan catatan masa 10.74s.

Selain Muhammad Arsyad, dua lagi pelari pecut acara 100m iaitu Russel Alexander Nasir Taib, Muhammad Zulfiqar Ismail layak bertanding ke Sukan SEA Hanoi bagi kategori A (kos ditanggung sepenuhnya).

Kategori wanita pula menyaksikan atlet Singapura Pereira Veronica Shanti dinobat sebagai ratu pecut kejohanan selepas merangkul emas dengan catatan 12.03s meninggalkan Nur Aishah Rofina Aling dari Sabah untuk pingat perak (12.18s) dan atlet Kedah Fatin Ilyana Mat Nayan yang meraih gangsa (12.26s).

Atlet Sarawak Mohd Rizzua Haizad Muhamad pula terus melakar kejutan apabila menewaskan jaguh 110m lari berpagar lelaki kebangsaan Rayzam Shah Wan Sofian dari Sabah.

Beliau meraih emas dengan catatan 14.13s diikuti Rayzam Shah untuk perak (14.19s) manakala rakan senegerinya, Benedict Ian Gawok membawa pulang gangsa (14.33s).

Mohd Rizzua berkata beliau cukup gembira dapat menewaskan Rayzam Shah buat kali kedua berturut-turut selepas pertama kali melakukannya di Kejohanan Olahraga Perak All-Comers minggu lepas.

Kejohanan selama dua hari itu akan bersambung esok.

Keputusan terpilih:

Rejam lembing wanita:
Emas: J Pavithra Devi (PNG) – 40.90m
Perak: Nur Ayna Nuha Maton (PER) – 39.52m
Gangsa: Fatin Shahiera Che Rahim (ATM) – 38.38m

1,500m lelaki:
Emas: M Sanjay (JHR) – 4:06.98s
Perak: Ahmad Luth Hamizan (NS) – 4:07.59s
Gangsa: Mohammad Amirul Arif Mohd Azri (JHR) – 4:08.68s

1,500m wanita:
Emas: S Geetha (JHR) – 5:03.27s
Perak: Jerusha Olive Jason (SEL) – 5:43.30s
Gangsa: G.Revathy (ATM) – 6:10.17s

Lempar cakera lelaki:
Emas: Muhammad Irfan Shamsuddin (ATM) – 55.21m
Perak: Abdul Rahman Lee (SAR) – 45.63m
Gangsa: Kamal Farhan A Rahman (PER) – 45.56m

Lempar cakera wanita:
Emas: Queenie Ting Kung Ni (SWK) – 47.01m
Perak: Choo Kang Ni (ATM) – 44.66m
Gangsa: Nur Atiqah Sufiah MD. Hanizam (JHR) – 40.10m

100m lari berpagar wanita:
Emas: Nur Syafiqah Anis Abu Bakar (ATM) – 15.03s
Perak: Juriani Mat Rozi (PRK) – 15.43s
Gangsa: Farah Syakira Azifsafarin (PRK) – 15.60s

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

MSN bincang siapa latih dua jaguh pecut negara

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Soal sama ada dua jaguh pecut negara Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan akan terus kekal berlatih di bawah kendalian Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Dwayne Miller akan dibincangkan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata perbincangan itu bakal melibatkan jurulatih mereka Mohd Poad Md Kassim dan Miller.

Kata Ahmad Shapawi, perkara tersebut perlu dibincangkan dalam suasana semangat kekeluargaan.

“Soal untuk kita tetapkan masa depan Haiqal dan Hafiz (Khairul Hafiz) itu akan dibincangkan bersama jurulatih terlibat. Kita akan lihat perkembangan latihan dan laporan daripada Miller untuk apa rancangan seterusnya.

Kedua-dua jurulatih mempunyai peranan dan tugas masing-masing yang perlu dipenuhi. Sebaiknya perkara ini kita bincang sebagai keluarga jurulatih dalam kita memberi yang terbaik kepada atlet,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kepada Atlet Negara sempena Hari Kebangsaan Ke-63 di MSN, hari ini.

Kedua-dua pemenang pingat emas acara 100m Sukan SEA, Khairul Hafiz (KL 2017) dan Muhammad Haiqal (Filipina 2019) itu kini berlatih bersama Miller susulan perancangan KOM untuk menempatkan secara berpusat kesemua atlet pecut elit kebangsaan di bawah kendalian jurulatih berasal dari Amerika Syarikat itu.

KOM sebelum ini menjelaskan keputusan meletakkan kedua-dua atlet itu di bawah kendalian Miller bukan berniat ‘merampas’, sebaliknya hanya ingin memberikan yang terbaik.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi berkata keputusan itu antara lain bagi memberi fokus terhadap usaha memperkukuhkan kuartet 4x100m negara.

“Dalam memastikan mereka dapat tampil cemerlang sebagai satu pasukan, berlatih bersama dalam satu kumpulan merupakan satu kaedah yang baik,” katanya.

Berasal dari Amerika Syarikat, Miller mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kejurulatihan dan pernah membantu atlet Amerika Syarikat, LaShawn Merritt merangkul dua emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x400m dengan memecahkan rekod Olimpik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Tiada isu ‘beri kelonggaran’ pada Khairul Hafiz

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Walaupun peluang pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan untuk layak ke temasya Sukan SEA 2019 secara merit sudah berakhir, namun beliau masih boleh disenaraikan dalam kategori B.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sama ada untuk menyenaraikan Khairul Hafiz bagi mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada edisi 2017 dalam kategori B atau memilih calon lain untuk bersaing dalam acara 100 m.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, KOM sebelum ini telah menetapkan syarat kepada atlet olahraga yang mana mereka perlu layak secara merit untuk disenaraikan dalam kategori A, iaitu ditanggung oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Kalau kata Khairul Hafiz tidak lepas dalam kategori A, bermakna persatuan kena berbincang dan memutuskan sama ada hendak hantar dia dalam kategori B atau tidak kerana dalam kategori B pun ada beberapa atlet juga turut layak. Seperti yang kita sedia maklum, untuk acara 100 m, hanya dua penyertaan sahaja, dan 4×100 m empat atau lima atlet boleh disenaraikan.

“Jadi tidak ada isu kelonggaran diberikan atau tidak, ia terserah kepada persatuan. Dalam kategori A, sudah ada seorang atlet (Johnathan Nyepa) sahaja yang dah lepas, kalau kategori B pula ada empat atau lima pelari pecut, persatuan kena buat keputusanlah,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran penggunaan percuma trek Stadium Nasional di Bukit Jalil, hari ini.

Beliau berkata, KOM perlu mengemukakan semula kepada jawatankuasa pemilihan MOM mengenai keputusan yang telah dibuat berhubung penyenaraian atlet dalam kategori B, dan atlet yang diputuskan itu mestilah mereka yang sudah ada dalam senarai panjang sebelum ini.

Pada Kejohanan Olahraga KOM 2019 di Stadium MSN semalam, raja pecut Asia Tenggara terpaksa berpuas hati dengan catatan masa 10.71 saat (s) untuk menduduki tempat kedua acara 100 m lelaki, iaitu catatan yang masih jauh daripada rekod kebangsaan 10.18 s miliknya.

Untuk melayakkan diri secara merit, Khairul Hafiz juga perlu mencatatkan masa lebih baik daripada 10.37 s yang dilakukan oleh Johnathan, iaitu catatan di ranking ketiga terbaik Asia Tenggara.

Acara 100 m pada Kejohanan Olahraga KOM menyaksikan Muhammad Haiqal Hanafi dari Johor muncul juara dengan catatan masa 10.59 s diikuti Khairul Hafiz yang mewakili Melaka (10.71 s) dan gangsa dimenangi pelari Terengganu, Muhammad Zulfiqar Ismail (10.81 s).

Untuk rekod, pelari berusia 21 tahun itu baru saja membuat penampilan pertama pada kejohanan kompetitif di Sukan Universiti Dunia di Napoli bulan lepas dengan catatan masa 10.70 s dan berjaya membaiki catatan 10.50 s pada Terbuka Kuala Lumpur minggu lalu yang juga kejohanan keduanya selepas tempoh kecederaan.

Semalam, Ketua Jurulatih Olahraga, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, peluang untuk Khairul Hafiz ke temasya di Filipina menerusi Kategori A sudah berakhir namun namanya masih boleh disenaraikan di bawah Kategori B dan akan diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan KOM yang akan berlangsung Isnin ini.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Khairul Hafiz kembali ke trek, debut Universiade di Napoli

KUALA LUMPUR, 7 JUL: Selepas lebih tujuh bulan tidak menyertai sebarang kejohanan kompetitif, Raja Pecut Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan bakal melakukan penampilan pertama di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Napoli, Itali esok.

Kejohanan terakhir yang disertai atlet berusia 20 tahun itu ialah, Kejohanan Terbuka Innotex-Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada November 2018, di mana beliau meraih emas dengan catatan 10.55 saat pada final, sebelum memulakan rawatan dan proses pembentukan fizikal bersama pakar Institut Sukan Negara (ISN).

Harapan jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim adalah untuk melihat anak didiknya kembali mendapatkan rentak larian, dengan mencatatkan masa di bawah 10.40s, dalam usaha mempertahankan pingat emas Sukan SEA.

“Kejohanan ini (Universiade) penting baginya untuk tanam keyakinan sebab dah lama tak lari. Saya harap Khairul dapat serap segala keadaan semasa kejohanan, terutamanya kejohanan besar seperti Universiade,” katanya kepada Bernama.

Walaupun Mohd Poad tidak mengikuti Khairul Hafiz ke Itali, beliau tetap mengharapkan keputusan dan prestasi yang terbaik buat anak buahnya yang kini menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Atlet kelahiran Merlimau itu, yang mempunyai catatan peribadi terbaik 10.18s dicatatkan pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016, yang juga merupakan rekod kebangsaan, perlu kembali mendapatkan rentaknya sebelum Sukan SEA Filipina yang dijadualkan bermula 30 November ini sekiranya mahu mempertahankan gelaran Raja Pecut Asia Tenggara.

Beliau sudah pasti menerima saingan sengit daripada Juara Dunia Bawah-20 tahun, Lalu Muhammad Zohri, 18, yang mencatatkan 10.03s di kejohanan Golden Grand Prix Osaka pada Mei lalu, sekiranya Indonesia membenarkan atlet itu menyertai Sukan SEA, kerana fokus utamanya adalah Kejohanan Dunia di Doha pada Oktober dan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Catatan terbaik semusim Khairul Hafiz bagi 2018 adalah 10.28s di Kejohanan Kebangsaan Besigheim, Jerman pada Julai tahun lepas.

Sementara itu, jurulatih skuad olahraga Universiade negara, Nazmizan Mohamad berkata semua 11 atlet olahraga negara, termasuk pelari pecut Khairul dan Jonathan Nyepa (100m lelaki) sudah bersedia untuk beraksi di Napoli.

“Sasaran pingat diletakkan ke atas Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera lelaki), manakala bagi pelari pecut, layak ke final boleh dah cukup baik,” kata bekas Raja Pecut Sukan SEA 2003 itu ketika dihubungi di Napoli. – BERNAMA

FOTO EHSAN: FB KHAIRUL HAFIZ JANTAN OFFICIAL