Categories
NASIONAL

Kiki sudah dijatuhkan hukuman, Pemuda Umno ugut bakar ibu pejabat DAP dibiarkan?

SHAH ALAM, 23 JULAI: Tindakan polis yang pantas membawa Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin atau Kiki ke muka pengadilan adalah wajar, namun hairan belum ada sebarang tindakan diambil terhadap kumpulan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan yang merusuh di Ibu Pejabat DAP, dua bulan lalu.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, berkata sikap berat sebelah itu dipertikaikan kerana mengambil tindakan berbeza terhadap kelakuan jenayah yang dilakukan oleh orang awam dan yang dilakukan oleh anggota parti pemerintah.

UMNO WP bantah DAP 3“Dalam masa lebih kurang satu minggu, Kiki yang bertindak ganas setelah kereta barunya digesel dan video perilakunya tersebar ke seluruh negara, terus disiasat, didakwa dan diadili.

“Beberapa persoalan timbul, kenapa begitu pantas pihak polis bertindak dalam keadaan bukti terhad. Tetapi masih belum bertindak terhadap perusuh-perusuh Ibu Pejabat DAP meskipun banyak laporan berita dan dokumentasi dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kiki, wanita pemilik kereta Peugeot 208 yang mengamuk dan merosakkan kereta seorang lelaki warga emas menggunakan pengunci stereng di tempat meletak kenderaan Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Kuantan ditahan polis untuk membantu siasatan.

Beliau setelah itu didenda RM5,000 dan diperintah melakukan khidmat masyarakat 240 jam oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang boleh membawa penjara maksimum dua tahun, dengan denda atau kedua-duanya.

Lip Eng berkata Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Razlan Rafii yang mengugut mahu membakar Ibu Pejabat DAP bukan saja masih bebas, malah mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab “balik Tongsan” terhadap isteri Ahli Parlimen Tanjung Ng Wei Aik.

“Rusuhan pemuda-pemuda Umno itu dirakam pelbagai pihak, malah dirakam dan disaksikan pihak polis sendiri.

“Tapi sehingga hari ini tidak ada seorang pun pelakunya diberkas, ditahan apatah lagi didakwa,” kata Lip Eng.

EZY

Categories
NASIONAL

Kiki ‘stering lock’ didenda RM5,000 & 240 jam kerja sosial wajar jadi tauladan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 23 JULAI: Hukuman denda dan kerja kemasyarakatan yang dijatuhkan ke atas Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin, 30 yang juga dikenali sebagai Kiki dikira bersesuaian.

Melalui tinjauan di laman sosial Facebook, rata-rata pemilik akaun merasakan hukuman berkenaan wajar dijadikan pengajaran bukan sahaja untuk Kiki malah orang lain juga.

kikiHarapan mereka, semoga hukuman ini mengajar setiap orang untuk saling menghormati antara satu sama lain walaupun berlainan agama dan bangsa.

“Semoga menjadi pengajaran kepada semua, rujuk balik kepada pelajaran sivik, insyaAllah tak berlaku macam ini. Tahu harga diri juga orang lain,” kata Nor Jefri Jefri.

“Satu pengajaran buat semua, jangan nak berlagak sombong dan kurang ajar dengan orang tua tak kira apa bangsa,” luah Anggun Zarin.

“Baguslah, harap 240 jam itu cukup untuk mendidik hati dia tentang iman, adab dan sopan seorang muslimah,” kata Fakhrul Azizi

“Moga memberi pengajaran yang berguna kepada Kiki dan kita semua, renunglah kata-kata ulama tentang Ilmu, Amal, Akhlak dan Ehsan, Maka beruntunglah orang-orang yang sentiasa menempatkan diri mereka di tingkatan Ehsan, renung-renungkan di mana agaknya tingkatan kita,” kata Jamaluddin Bahran.

Semalam, Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin di Mahkamah Sesyen Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan melakukan kerja komuniti selama 240 jam terhadap Kiki selepas beliau mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Kiki sebelum itu melakukan khianat terhadap kereta milik Sim Siak Hong, 68 di kawasan parkir kereta Pusat Transformasi Bandar Kuantan di sini pada 14 Julai lalu.

Beliau ditahan pada jam 4 petang Khamis lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan kemudian dibebaskan dengan jaminan lewat malam hari yang sama.

Kiki pada minggu lalu dilihat membuli seorang warga emas selepas dia dikatakan melanggar kereta Kiki.

Video Kiki mengetuk-ngetuk kereta lelaki berkenaan dengan pengunci stereng kereta dirakam orang ramai seterusnya dimuat naik serta menjadi viral di laman sosial Facebook, Twitter dan YouTube.

EZY

Categories
NASIONAL

Jemput Kiki CDM25 ke studio, peminat kecam Facebook Era

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 JULAI: Pelayar laman sosial menjadikan Facebook stesen radio swasta utama negara, Era.fm sebagai medium serangan terbaru meluahkan rasa tidak puas hati selepas stesen radio berkenaan menjemput Kiki CDM25 membuat permohonan maaf secara terbuka.

Kebanyakan mereka bengang dengan tindakan berkenaan kerana didakwa cuba untuk mempopularkan Kiki walaupun sudah bertindak kasar membuli pesara kerajaan.

rasydanRusydan Badawi dalam reaksinya mencadangkan supaya stesen radio Era.fm menjemput seorang warga Myanmar yang popular dengan video bacaan al-Quran yang kini ditahan pihak berkuasa Malaysia

“Apa kata jemput pulak budak Burma (Myanmar) yang sedang ditahan 6 bulan di jel sebab duduk Malaysia lebih tempoh. Sedap sikit dengar corong radio orang mengaji,” katanya

Pemilik akaun Facebook, Nur Fatin dalam reaksinya meminta Era.fm menghentikan tindakan mengangkat individu tidak bermoral dan ditolak sebagai ‘artis popular segera’.

fatin“Stop making immoral & ignorant person into some famous instant-artist. She doesnt deserve this Era Fm,” katanya.

Sementara itu, Rohaya Adam yang juga antara pelayar laman sosial itu meminta menghentikan perkara terbabit supaya tidak terus diperbesar dan memberikan semula tumpuan terhadap isu Gaza dan Palestin.

“Sudah-udahlah tu..isu dah selesaikan…media please (tolong) jangan besar-besarkan lagi. Isu Palestin, Syria lebih penting kot… media macam ambil kesempatan pulak,” katanya.

kiki2Selain Era.fm, laman facebook Hitz.fm juga turut menjadi mangsa kecaman kerana menjemput Kiki untuk memberikan penjelasan sebenar berkenaan kejadian sebenar.

Mereka membidas tindakan stesen radio berkenaan yang sepatutnya menjemput Uncle Lim yang bertindak memaafkan Kiki dan bukannya si ‘pembuli jalanan’ itu.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Isu gadis stereng lock, mudahnya maklumat diceroboh

 Oleh: HAJI OSAMA

Isu Kiki gadis stereng lock menggemparkan Malaysia. Walau isu itu asalnya berbau sedikit perkauman, mujurnya ia tidak merebak kepada perkauman. Ia dilebihkan kepada nilai dan budi pekerti yang bermasalah.

Plotnya mudah, perempuan berang dan pakcik budiman. Bak kata pepatah, hanya air yang mampu menyejuk dan memadam api.

Seringkali saya tersenyum sendirian bila mengingatkan tentang negara ini. Najib ditroll isu kangkung, bini Mat Yoe isu parking dan beratus lagi kes yang pelbagai.

Seolah rakyat Malaysia hidup dengan Troll. Ia menjadi lumrah baru rakyat Malaysia. Mungkin ia sebagai hiburan meredakan kesusahan akibat peningkatan harga barang.

Tinggalkan sekejap tentang isu-isu di atas. Saya ingin menarik perhatian anda kepada satu perkara yang berlaku di Malaysia sekarang, PENCEROBOHAN MAKLUMAT PERIBADI.

Bila video Kiki di mainkan di internet dan menjadi viral, saya memerhatikan tidak sampai 2 jam, semua maklumat tentang perempuan itu terpapar di internet. Nama perempuan itu, no ic, alamat, malah segala benda tentang perempuan itu di ketahui umum.

Paling perit ialah gambar kereta perempuan itu diambil di hadapan rumahnya di mana kereta nya terletak di belakang ampaian kain.

Apakah makna semua ini? Adakah ini bermakna rakyat negara kita sangat pandai menyiasat? Kita paling update? Atau kamu jangan buat jahat, kami mampu menjejaki kamu?

Saya melihat perkara ini sebagai satu pencerobohan maklumat. Sedikit kebaikannya namun berjuta ketidakbaikannya.

Bayangkan betapa mudahnya maklumat kita dicerobohi sedemikian. Kenapa ini terjadi. Siapa yang menjadi dalang dalam hal ini.

Pernahkah anda dihubungi oleh syarikat yang ingin menjual kepada anda pelbagai barangan, kad kredit dan insurans melalui telefon.

Saya rasa semua orang pernah kena begini.

Terfikirkah kita di mana mereka mendapat no telefon kita berserta dengan ic serta kad kredit jenis apa yang kita ada?

Seringkali saya memikirkan adakah mereka juga tahu saiz seluar saya dan seluar dalam saya berwarna apa.

Kita sudah tidak selamat. Dikatakan maklumat Kiki diperolehi hanya melalui carian di JPJ. Apakah menjadi dasar JPJ membiarkan sesiapa sahaja mencari maklumat semudah itu?

Untuk panggilan telefon, saya dikhabarkan nombor telefon kita diketahui melalui bank yang menjual maklumat peribadi kepada syarikat terbabit. Ada juga katanya dijual oleh syarikat telekomunikasi.

Jika ini satu kebenaran, ia adalah sangat merbahaya. Ia benar benar menjadikan kita berada dalam keadaan yang sangat tidak selamat.

Saya merayu kepada kerajaan supaya memerhatikan perkara ini lantas menghentikannya.

Saya yakin, jika ia dibiarkan kejadian yang lebih buruk bakal melanda rakyat Malaysia.

Cukup-cukuplah menjadikan rakyat penanggung kesengsaraan yang ada di Malaysia ini.

Sekian.

# Hj Osama adalah Penyelaras SAMM Kelantan