Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kilang papan ceroboh tanah Kerajaan Selangor diroboh

KLANG, 11 MAC: Sebuah kilang papan yang dibina atas tanah seluas satu ekar milik Kerajaan Negeri di Jalan Jeti, Pelabuhan Klang dirobohkan pagi tadi.

Operasi diketuai Penolong Pegawai Daerah Klang, Mohammad Saiful Azri Fouzi dijalankan bersama lebih 50 penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Tenaga Nasional Berhad.

Selain kilang, pihak berkuasa turut merobohkan stor dan rumah pekerja yang terletak 50 meter dari Sungai Aur.

Mohammad Saiful berkata pihaknya mengeluarkan tiga notis pengosongan pada 4 Disember 2018, 15 Januari 2019 dan 3 Februari 2021 namun pemilik premis masih berdegil.

“Tindakan diambil mengikut Seksyen 425 dan 426A Kanun Tanah Negara 1965, sabit kesalahan penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau keduanya,” katanya.

Pada 24 November tahun lepas, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) merobohkan premis yang dibina atas tanah kerajaan terutama struktur berhampiran sungai.