Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kilang papan ceroboh tanah Kerajaan Selangor diroboh

KLANG, 11 MAC: Sebuah kilang papan yang dibina atas tanah seluas satu ekar milik Kerajaan Negeri di Jalan Jeti, Pelabuhan Klang dirobohkan pagi tadi.

Operasi diketuai Penolong Pegawai Daerah Klang, Mohammad Saiful Azri Fouzi dijalankan bersama lebih 50 penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Tenaga Nasional Berhad.

Selain kilang, pihak berkuasa turut merobohkan stor dan rumah pekerja yang terletak 50 meter dari Sungai Aur.

Mohammad Saiful berkata pihaknya mengeluarkan tiga notis pengosongan pada 4 Disember 2018, 15 Januari 2019 dan 3 Februari 2021 namun pemilik premis masih berdegil.

“Tindakan diambil mengikut Seksyen 425 dan 426A Kanun Tanah Negara 1965, sabit kesalahan penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau keduanya,” katanya.

Pada 24 November tahun lepas, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) merobohkan premis yang dibina atas tanah kerajaan terutama struktur berhampiran sungai.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Lebih 1,000 ekar tanah Kerajaan Negeri diceroboh

SHAH ALAM, 6 NOV: Tanah seluas 1,055.27 ekar milik Kerajaan Negeri diceroboh untuk kegiatan pertanian, pembuangan sampah dan pembinaan struktur rumah.

Dato’ Menteri Besar berkata pencerobohan di Kuala Langat melibatkan 353 ekar, Klang (212.77 ekar) dan Kuala Selangor serta Petaling (100 ekar).

“Kegiatan sama juga dikesan di Hulu Langat (84 ekar), Gombak (80 ekar), Sepang (72 ekar) Hulu Selangor (50 ekar) dan Sabak Bernam (3.5 ekar).

“Tindakan diambil mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar mengenai keluasan tanah diceroboh pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin menjelaskan penggunaan dron untuk memantau pencemaran sungai di Selangor turut berfungsi mengesan pencerobohan tanah berhampiran sungai.