Categories
AGENDA NASIONAL

Cemar Sungai Gong: Lima lelaki tidak dibenar ikat jamin

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat yang didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang, tidak dibenar dibebaskan dengan ikat jamin.

Hakim Syafeera Mohd Said membuat keputusan itu selepas menimbang hujahan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad dan peguam Datuk M Reza Hassan yang mewakili kesemua tertuduh.

Kelima-lima lelaki tersebut iaitu empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik – Yip Kok Wai, 53; Yip Kok Mun, 58; Yip Kok Kuin, 50 dan Yip Kok Wong, 60; serta pengurus bengkel tersebut, Ho Voon Leong, 59, yang berada di dalam kandang tertuduh dilihat saling berpandangan selepas mendengar keputusan mahkamah.

Kesemua mereka yang tiba di Mahkamah Selayang pada 8.45 pagi kemudiannya dibawa ke Penjara Bentong, Pahang pada 11.05 pagi.

Terdahulu Muhamad Iskandar tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan kes tersebut tidak boleh dijamin.

“Kes ini mengakibatkan enam juta penduduk di Malaysia tidak ada air selama lima hari. Isu ini juga telah mendapat perhatian pucuk pimpinan teratas negara.

“Sekiranya mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan saya, saya memohon mahkamah mengenakan jaminan RM2 juta bagi setiap tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, M Reza merayu jaminan yang rendah dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

“Ketika kejadian anak-anak guam saya yang menyerah diri di balai polis… selain itu, mereka juga bersedia untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Sebelum itu, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Bagi pertuduhan pertama, semua mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Kelima-lima lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang antara 2 dan 3 Sept lepas mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama dituduh melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel sama ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lebih 40 wakil media tempatan berada di depan pintu mahkamah seawal 7 pagi sebelum dibenarkan masuk pada 8 pagi.

Susulan pencemaran minyak daripada kilang itu pada 3 Sept lalu, empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Punca Sungai Selangor tercemar, kilang selenggara jentera disita

RAWANG, 3 SEPT: Kilang menyelenggara mesin dan jentera di sini, yang dipercayai menjadi punca pencemaran bau Sungai Selangor sehingga menjejaskan bekalan air 1.2 juta pemegang akaun disita sehingga tarikh dimaklumkan.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mendapati kilang tersebut gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat ditetapkan selain menemui bau seakan-akan pelarut mengalir ke sungai.

“Kita arahkan kilang ini ditutup sementara menunggu keputusan siasatan. Pemantauan rapi dari semasa ke semasa dilakukan Luas bersama agensi berkaitan bagi memastikan pencemaran bau dikawal secepat mungkin,” katanya selepas meninjau kawasan kilang hari ini.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna, Tuan Hee Loy Sian menunjukkan contoh air yang tercemar ketika Sidang Media berkenaan pencemaran air dan bau di Rawang pada 3 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Loy Sian berkata kilang tersebut pernah dikompaun RM60,000 atas kesalahan sama sebelum ini tetapi masih mengulangi perkara tersebut.

“Ia membuktikan tahap kesedaran serta tanggungjawab pengusaha kilang masih rendah, kita kesal sikap sesetengah pihak mengambil jalan mudah buang sisa di dalam sungai,” katanya.

Tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) negeri ini terpaksa dihenti tugas pagi ini.

Gangguan melibatkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

LRA Rantau Panjang dihenti tugas jam 7.15 pagi manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) pada 9 pagi.