Categories
SELANGOR

Hutang NFC dipandang sepi tanpa sebarang tindakan

tony-puaKUALA LUMPUR 23 OKT : Tawaran untuk mengambil alih kesemua aset dan liabiliti projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) kini menemui jalan buntu apabila rundingan antara syarikat Kirimitonas Agro Sdn Bhd (KASB) bersama kerajaan gagal dimeterai.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, mengesahkan perkara berkenaan berdasarkan jawapan bertulis yang diterima daripada Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, berhubung kedudukan pinjaman RM250 juta kepada NFC yang masih belum diselesaikan.

Katanya, jawapan bertulis itu menyatakan bahawa syarikat yang ditubuhkan hasil usahasama antara Otoshitos Sdn Bhd dan Hannan Food Group dipilih berdasarkan persetujuan mereka untuk menyuntik modal sebanyak RM20 juta bagi memulih kembali projek NFC.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, jawapan yang diberi itu turut menyatakan kerjasama berkenaan adalah bagi memastikan projek NFC dapat diteruskan untuk menjamin bekalan daging negara mencukupi dan selaras dengan objektif penubuhannya, namun sehingga kini kedua-dua pihak tidak dapat mencapai persetujuan, selain rundingan terbabit sudah tamat.

“Saya tidak terkejut apabila menerima maklum balas itu daripada pihak Kerajaan. Tidak ada sesiapa yang sanggup melangsaikan hutang NFC dan perlu menyuntik dana tambahan untuk menjayakan projek berkenaan.

“Kita tidak terkejut dengan keputusan itu kerana sedar tidak akan ada syarikat berminat untuk mengambil alih semua pinjaman NFC berjumlah RM250 juta dan terpaksa menambah pelaburan untuk menjayakan projek terbabit,” katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau juga mempersoalkan tindakan kerajaan yang masih berdiam diri dan tidak menuntut semula dana itu daripada keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, selain tindakan tegas yang gagal diambil ke atas pegawai dan menteri bertanggungjawab.

“Kenapa sampai sekarang satu sen masih belum dipulangkan dan kenapa kerajaan tidak ambil tindakan undang-undang terhadap syarikat NFC dan keluarga Shahrizat untuk mendapat balik wang terbabit walaupun sudah disarankan Ketua Audit Negara,” katanya.

Sehubungan itu, Pua berkata, laporan terhadap penyalahgunaan dana awam bagi projek NFC akan dibentangkan di Parlimen selepas ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bersetuju dengan perkara itu.

-NFN-