Categories
AGENDA NASIONAL

DNS: Kerajaan Negeri disaran beri subsidi kit ujian kendiri Covid-19

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri disaran memberi subsidi kepada peenduduk menerusi pembelian kit ujian kendiri Covid-19.

Wakil rakyat Bukit Gasing berkata kit berkenaan boleh dijual serendah RM10 dan beliau yakin ia akan mendapat sambutan kerana harganya yang mampu milik.

“Terima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana menjadi yang pertama mengumumkan pemberian 60,000 kit percuma kepada rakyat.

“Saya ingin mencadangkan selepas pemberian 60,000 percuma ini…kita menjual kit ini dengan harga yang murah iaitu RM10 supaya dengan subsidi kecil ia lebih ‘sustainable’ untuk Kerajaan Negeri menjual beratus-ratus ribu atau berjuta-juta kit,” katanya.

Rajiv Rishyakaran berkata demikian ketika membahaskan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada persidangan Dewan Negeri Selangor semalam.

Beliau berkata pelbagai pihak khususnya majikan perlu menbeli kit ini untuk menjalankan ujian sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi memastikan tempat kerja bebas Covid-19.

“Di Bukit Gasing saya menjual dengan harga subsidi kepada penduduk bagi memastikan mereka dapat membelinya dengan harga yang murah.

“Saya telah menjualnya sebanyak 3,000 kit dalam tempoh seminggu, penduduk memang mahu jalani ujian cuma tak mampu apabila dijual RM40 di farmasi,” katanya.

Rajiv juga yakin Kerajaan Selangor dapat membeli dengan kuantiti yang banyak dan kemudian mampu memberi subsidi kepada rakyat dalam usaha memerangi Covid-19.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

11 kit ujian kendiri Covid-19 dilulus dengan bersyarat – menteri

PUTRAJAYA, 13 OGOS: Sebanyak 11 kit ujian kendiri Covid-19 diberikan kelulusan secara bersyarat setakat ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata daripada 11 kit ujian itu, tujuh kit ujian menggunakan sampel saliva (air liur) dan empat lagi menggunakan sampel nasal swab (calitan hidung).

“Kit ujian yang telah mendapat kelulusan bersyarat menerusi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) Kementerian Kesihatan (KKM) itu, boleh diperoleh di fasiliti kesihatan awam dan swasta,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang menggunakan kit ujian disaran melaporkan keputusan ujian mereka menerusi aplikasi MySejahtera, bagi membolehkan pemantauan sewajarnya dilakukan oleh KKM.

Kit ujian itu adalah BERIGHT-Covid-19 Antigen Rapid Test Device (Oral Fluid); ALLTest Covid-19 Antigen Rapid Test (Oral Fluid); JusChek Covid-19 Antigen Rapid Test (Oral Fluid); Salixium Covid-19 Rapid Antigen Rapid Test; Gmate Covid-19 Ag Saliva; dan Longsee 2019-nCoV Ag & Influenza A/B Rapid Co-Detection Kit (Immunochromatography);

Sichuan Xincheng SARS-CoV-2 Antigen Assay, Flowflex™ SARS-CoV-2 Antigen Rapid Test (Self-testing); STANDARD Q Covid-19 Ag Saliva Home Test; ProDetect ™ Covid-19 Antigen Rapid Test (Saliva); dan NEWGENE Bioengineering Covid-19 Antigen Detection Kit.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bimbing orang awam kaedah betul guna kit ujian kendiri Covid-19

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Orang awam yang menjalankan ujian kendiri Covid-19 perlu dibimbing oleh pengamal perubatan semasa menjalankan ujian tersebut bagi mendapat keputusan yang tepat.

Timbalan Pengarah Institut Kajian, Pembangunan dan Inovasi, International Medical University (IMU) Prof Dr Azizi Ayob berkata walaupun secara umum manual yang disediakan dalam kit ujian kendiri mudah difahami, namun orang awam masih perlu mendapatkan pandangan daripada pakar mengenai teknik yang betul bagi mengelakkan berlaku keputusan negatif palsu mahupun positif palsu.

“Ini kerana dalam sebarang ujian kemungkinan berlaku kesilapan adalah tinggi iaitu ketika pengambilan sampel air liur, menjalankan ujian dan juga sewaktu intepretasi keputusan. Jadi bagi mengurangkan kesilapan ini bimbingan masih perlu diberikan,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut menyarankan supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkatkan kesedaran mengenai kaedah penggunaan kit ujian kendiri Covid-19 yang betul, bagi memastikan keputusan yang diterima tepat dan prosedur keselamatan tidak diabaikan.

Selain itu, beliau berkata walaupun bersifat kendiri, pengguna juga perlu dididik mengenai langkah keselamatan dan kebersihan semasa menjalankan ujian supaya tiada individu lain yang terdedah memandangkan pengendalian sampel itu melibatkan virus yang berbahaya dan boleh membawa maut.

Dr Azizi berkata kaedah keselamatan tidak perlu terlalu rigid seperti memakai peralatan perlindungan diri (PPE) sebagaimana diamalkan di hospital dan klinik namun perlu memastikan individu yang menjalankan ujian tidak menjadi punca infeksi kepada orang lain.

“Ini termasuk mengurangkan pendedahan kepada umum dengan menjalankan ujian di bilik khas, memakai sarung tangan dan pensaniasi tangan serta melupuskan kit ujian dengan cara terbaik bagi memastikan virus tidak merebak.

“Oleh kerana ujian ini dilakukan di rumah masing-masing, cara yang praktikal untuk pelupusan ialah dengan menggunakan dua lapisan plastik sampah bagi setiap individu dan dibungkus dengan ketat sebelum dibuang,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Azizi berkata tiada arahan yang spesifik dikeluarkan untuk kit ujian ini sebagaimana yang dilakukan oleh premis makmal dan kesihatan iaitu kesemua bahan ujian klinikal perlu mematuhi keselamatan kaedah penghapusan yang ditetapkan.

Dalam pada itu beliau berkata orang awam perlu mempunyai disiplin kendiri yang tinggi terutama apabila mendapat keputusan ujian positif Covid-19 dengan memaklumkan kepada pihak berwajib, membuat pengesanan kontak dan menjalankan isolasi.

Dr Azizi yang juga Presiden Ikatan Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) meminta pesakit melaporkan terus kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah, klinik atau hospital berdekatan sekiranya gejala bertambah teruk untuk mendapatkan rawatan segera.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Kesihatan Am, Hospital Pakar Kasih Cyberjaya, Dr Hanafiah Bashirun pula mencadangkan KKM mengeluarkan video manual kaedah dan langkah keselamatan menggunakan kit ujian itu sebagai gambaran lebih jelas kepada orang awam.

Beliau juga beranggapan kit ujian kendiri ini dapat membantu meringankan beban pihak hospital, klinik dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang berdepan dengan ratusan ribu sampel yang perlu diproses setiap hari.

Dr Hanafiah juga mahu kerajaan mengawal pembelian kit ujian secara dalam talian bagi memastikan hanya produk yang mendapat kelulusan KKM dijual kepada umum.

“Ini bagi memastikan tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan apabila permintaan kit ujian kendiri ini meningkat kelak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Satu lagi kit ujian kendiri Covid-19 diberi kelulusan bersyarat

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Satu lagi kit ujian kendiri Covid-19 diberi kelulusan bersyarat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk dijual bagi kegunaan orang awam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi laman Facebook hari ini, berkata kit berkenaan ialah Beright Covid-19 Antigen Rapid Test Device (Oral Fluid) yang dibuat Hangzhou Alltest Biotech Co.,Ltd.

Sementara itu, menurut portal MDA, kit itu boleh didapati farmasi komuniti berdaftar atau fasiliti kesihatan swasta.

“Penggunaan kit ujian kendiri Covid-19 ini adalah terhad untuk tujuan saringan sahaja dan semua keputusan ujian memerlukan pengesahan lanjut menggunakan RT-PCR,” menurut MDA.

Sebelum ini, MDA memberikan kelulusan bersyarat kepada dua kit iaitu ‘Kit Ujian Pantas Antigen Salixium Covid-19’ buatan syarikat tempatan, Reszon Diagnostics International Sdn Bhd dan satu lagi kit kegunaan rumah, Gmate® Covid-19 buatan Korea Selatan, yang diberi kelulusan, kepada Citymedic Sdn Bhd.

Senarai itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan ia boleh juga disemak menerusi portal MDA.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kit ujian kendiri bantu orang ramai kesan status jangkitan Covid-19

SHAH ALAM, 20 JULAI: Penggunaan kit ujian kendiri Covid-19 membantu orang ramai mengesan dan mengetahui status jangkitan wabak berkenaan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Facebook memaklumkan peralatan tersebut membantu memudahkan pengesanan dan pengawalan jangkitan sekali gus mengurangkan bebanan petugas kesihatan.

“Ia tidak menggantikan fungsi pengesanan tindak balas berantai polimeras masa nyata (RT-PCR) tetapi boleh digunakan untuk tujuan berkaitan bagi mendapatkan keputusan dengan cepat sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

Bagaimanapun KKM menjelaskan kit ujian tersebut perlu digunakan dengan cara yang betul mengikut arahan dan dilupuskan dengan tatacara selamat.

Peralatan tersebut membantu untuk saringan kendiri, kontak rapat dan yang bersesuaian.

Ia boleh didapati di farmasi atau fasiliti swasta berdaftar dan perlu dipastikan mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) KKM.

Kerajaan Selangor menerusi Selgate Healthcare turut menambah baik fungsi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi membantu dalam pengawasan kendiri pesakit Covid-19.

Kerjasama ini melibatkan talian khas dengan pusat panggilan yang beroperasi 24 jam bagi membimbing penggunaan kit ujian kendiri berkenaan.