Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Majoriti remaja di Klang Utara selesai dos pertama vaksin

KLANG, 11 OKT: Majoriti remaja sekitar Klang Utara selesai menerima suntikan dos pertama di pusat vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi di sini sejak 23 September.

Suntikan membabitkan 12,000 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun manakala murid 12 tahun menerima dos pertama esok, kata yang dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu.

“PPV ini mampu menyuntik 1,500 individu dalam masa sehari. Walaupun jumlah itu agak besar namun proses pemberian vaksin berjalan lancar setakat ini,” kata Shamzul Ibrahim.

Beliau ditemui selepas menerima pek makanan tengah hari sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di sini hari ini.

Shamzul berkata PPV berkenaan turut menyediakan khidmat vaksin secara pandu lalu kepada pelajar orang kelainan upaya (OKU) dengan enam individu mendapat manfaat setakat ini.

Shamzul Ibrahim

“Mereka perlu maklumkan kepada guru terlebih dahulu dan minta kebenaran polis yang mengawal di pintu masuk PPV,” katanya menambah suntikan dos kedua bermula Khamis.

Pada 23 September, pengarah Jabatan Kesihatan Selangor berkata sebanyak 399 sekolah negeri ini terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata sekolah terlibat meliputi institusi kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor dan sekolah swasta.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia menyasar 80 peratus remaja di seluruh negara lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.

Categories
SELANGOR

MPK Lupus Barangan Yang Disita

KLANG, 5 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) melupuskan kira-kira 2856 keping cakera padat digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) cetak rompak serta 262 unit barangan komputer kafe siber haram di sini.

Pengarah Jabatan Komunikasi Dan Pengaduan Awam MPK, Norfiza Mahfiz berkata, barangan komputer kafe siber, DVD dan VCD itu adalah sitaan bagi September dan Disember tahun lalu.

Menurutnya, selain daripada pelupusan barangan berkenaan, majlis juga turut memusnahkan bahan-bahan sitaan pusat snuker, antaranya kayu dan bola snuker serta bola pool.

?Selain daripada pelupusan untuk sitaan terdahulu, MPK juga memperhebatkan operasi untuk pelbagai kesalahan lain, antaranya jualan barangan seks, premis besi buruk dan rumah yang dijadikan premis perniagaan.

?Malah operasi seperti ini juga mendapat reaksi positif masyarakat setempat yang prihatin dengan menyalurkan maklumat segera kepada majlis jika terdapatnya aktiviti yang melanggar peraturan di kawasan mereka,? katanya.

Norfiza berkata, MPK pada masa yang sama turut mengadakan kerjasama dengan polis untuk beberapa siri operasi, antaranya premis besi buruk sekitar Klang Utara.

Menurutnya, selain operasi berkenaan, beberapa isu antaranya penjaja warga asing, peniaga haram dan rumah urut tidak berlesen juga akan digempur bagi mengelakkan gejala tidak bermoral berleluasa, di samping membanteras aktivti yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.