Categories
AGENDA NASIONAL

86.4 peratus remaja lengkap dos vaksin

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Seramai 2,719,106 individu atau 86.4 peratus daripada populasi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan menerusi laman CovidNow, seramai 2,828,401 individu atau 89.9 peratus golongan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi dewasa pula, sebanyak 22,714,044 individu atau 97 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 23,044,061 atau 98.4 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Sementara itu, bagi vaksinasi harian sebanyak 125,927 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 4,417 dos pertama, 6,721 dos lengkap serta 114,789 dos penggalak.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 53,960,016 dos.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Sasar 10,000 remaja terima Vaksin Selangor

KLANG, 24 OKT: Sekurang-kurangnya 10,000 remaja disasar menerima vaksin Covid-19 di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja bermula hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini lebih 3,000 individu berusia 12 hingga 17 tahun sudah dikenal pasti antaranya membabitkan pelajar maahad tahfiz dan mereka yang tidak lagi bersekolah.

Menurutnya, inisistif Kerajaan Negeri menjadi pelengkap kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja untuk mempercepatkan imuniti kelompok golongan itu serta memberi perlindungan kepada golongan tercicir.

“Sambutan hari pertama program ini agak mengalakkan, sekiranya ini berterusan kita mungkin boleh dapat sekurang-kurangnya 10,000 remaja.

“Kita fokus remaja yang tidak dapat janji temu di bawah PICK Remaja,” katanya selepas meninjau hari pertama Selvax Remaja di Dewan Serbanguna Majlis Perbandaran Klang, Pandamaran Jaya di sini, hari ini.

Program Selvax Remaja bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan diperluas ke beberapa kawasan DUN antaranya Pandamaran, Bukit Lanjan dan Tanjung Sepat.

Pada 7 Oktober Amirudin mengumumkan Selvax diperluas kepada penerima remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini diikuti Selvax bergerak.

Inisiatif melibatkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Categories
AGENDA NASIONAL

80 peratus remaja Malaysia sudah terima vaksin

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Malaysia menjadi antara negara yang memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada remaja terpantas di dunia, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata 80 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Pfizer dalam masa kurang dari dua bulan.

“Satu daripada pemberian vaksin Covid-19 kepada remaja yang terpantas di dunia.

“Terima kasih, @DrNoorAzmi (Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali), @DrMahHS (Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon) dan semua di CITF-A (Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Remaja). #LindungDiriLindungSemua,” katanya dalam ciapan di Twitter beliau hari ini.

Dr Noor Azmi merupakan Pengerusi CITF-A manakala Dr Mah sebelum ini bertanggungjawab mengendalikan vaksinasi untuk kumpulan itu.

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi portal COVIDNOW, sebanyak 1,367,216 remaja berusia 12 hingga 17 tahun atau 43.4 peratus telah lengkap divaksin setakat semalam.

Sejumlah 2,524,156 remaja pula menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dilancarkan pada 8 Sept lepas.

Bagi populasi dewasa pula, 22,084,594 individu atau 94.3 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka bagi tempoh sama manakala 97.3 peratus atau 22,792,916 individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Selain itu, sebanyak 235,607 dos harian vaksin diberikan semalam melibatkan golongan dewasa dan remaja, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin di bawah PICK sejak dilancarkan pada 24 Feb adalah 48,673,215.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Majoriti remaja di Klang Utara selesai dos pertama vaksin

KLANG, 11 OKT: Majoriti remaja sekitar Klang Utara selesai menerima suntikan dos pertama di pusat vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi di sini sejak 23 September.

Suntikan membabitkan 12,000 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun manakala murid 12 tahun menerima dos pertama esok, kata yang dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu.

“PPV ini mampu menyuntik 1,500 individu dalam masa sehari. Walaupun jumlah itu agak besar namun proses pemberian vaksin berjalan lancar setakat ini,” kata Shamzul Ibrahim.

Beliau ditemui selepas menerima pek makanan tengah hari sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di sini hari ini.

Shamzul berkata PPV berkenaan turut menyediakan khidmat vaksin secara pandu lalu kepada pelajar orang kelainan upaya (OKU) dengan enam individu mendapat manfaat setakat ini.

Shamzul Ibrahim

“Mereka perlu maklumkan kepada guru terlebih dahulu dan minta kebenaran polis yang mengawal di pintu masuk PPV,” katanya menambah suntikan dos kedua bermula Khamis.

Pada 23 September, pengarah Jabatan Kesihatan Selangor berkata sebanyak 399 sekolah negeri ini terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata sekolah terlibat meliputi institusi kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor dan sekolah swasta.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia menyasar 80 peratus remaja di seluruh negara lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 80 peratus pelajar 12-17 tahun terima satu dos vaksin

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Hampir 80 peratus pelajar berumur 12 hingga 17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 hingga kini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Dalam perkongsian di Facebook, beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pelaksanaan program vaksinasi kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun atau Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bermula pada awal September lepas.

Jelasnya, KPM dan KKM telah mengadakan perbincangan bagi meneliti pendekatan terbaik untuk menyediakan maklumat berkaitan status pelaksanaan PICK Remaja bagi murid sekolah KPM dan maklumat tersebut boleh dikongsikan kepada umum sepertimana data vaksinasi yang lain.

“Alhamdulillah, hari ini KKM melancarkan fitur baharu mengenai perincian vaksinasi bagi peringkat sekolah di bawah KPM dalam laman sesawang COVIDNOW.

“Melalui fitur baharu ini, ibu bapa atau penjaga boleh membuat semakan mengenai kadar vaksinasi murid bagi sekolah anak masing-masing. Semakan boleh dibuat melalui pautan https://covidnow.moh.gov.my/school,” katanya.

Radzi berkata usaha tersebut dapat menyediakan maklumat telus kepada masyarakat khususnya ibu, bapa serta penjaga dan juga sebahagian daripada langkah peralihan negara ke fasa endemik.

– BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

100 peratus remaja Sekinchan capai vaksin penuh hujung Oktober

SHAH ALAM, 3 OKT: Golongan remaja di Sekinchan dijangka mencapai 100 peratus vaksin lengkap dua dos menjelang akhir bulan ini, kata wakil rakyatnya.

Ng Suee Lim berkata ketika ini program pemberian suntikan pelalian Covid-19 terhadap individu berusia 12 hingga 17 tahun giat dijalankan bagi mencapai sasaran tersebut.

“Kita bekerjasama erat dengan pejabat kesihatan daerah (PKD) Sabak Bernam untuk memberi suntikan kepada golongan berkenaan mengambil kira sesi persekolahan secara bersemuka hampir tiba.

“Justeru, melihat kepada perkembangan ini saya percaya keseluruhan remaja di Sekinchan selesai mendapat dua dos vaksin pada hujung Oktober,” katanya ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin memaklumkan KKM juga menjangkakan 60 peratus daripada remaja mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November.

Mengulas lanjut, Suee Lim yang juga speaker Dewan Negeri Selangor berkata lebih 90 peratus penduduk dewasa termasuk warga asing di kawasan itu lengkap menerima dos pelalian setakat ini.

Menurutnya, perkembangan tersebut didorong pelaksanaan berterusan program jangkauan luar (outreach) vaksinasi Covid-19 dengan kerjasama pejabat kesihatan berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penyebar berita palsu vaksin remaja berdepan tindakan undang-undang

BAGAN SERAI, 3 OKT: Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang menularkan video dan berita tidak benar mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja melibatkan pelajar sekolah di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata perbuatan tersebut bukan sahaja akan menganggu kelancaran program, malah akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa serta pelajar yang akan mengambil vaksin.

“Saya memberi amaran tegas kepada sesiapa (penyebar video dan berita tidak benar) kerana perkara itu (berita tidak benar) tidak baik ditularkan sedangkan kita mahu menyelamatkan pelajar dan kesihatan mereka serta tidak mahu program vaksin membabitkan pelajar terganggu.

“Saya ingatkan semua orang, jangan memandai-mandai hantar video yang tidak benar kerana ia menjadikan orang takut, risau dan bimbang kerana macam-macam kes tidak benar dilaporkan. Saya kesal dan sangat marah dengan perkara yang tidak benar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke rumah mangsa banjir dan menziarahi tiga anak yatim piatu Mohd Omar Mikail, 7, Mohd Zaiful Iman Zulkifli, 11, dan Amar Nordiana, 16, yang kematian kedua-dua ibu bapa mereka akibat Covid-19, di Kampung Tanjung Bugis semalam.

Noor Azmi mengulas video yang tular mengenai beberapa kejadian pelajar sekolah termasuk dakwaan seorang pelajar meninggalkan dunia di Ipoh selepas suntikan vaksin, baru-baru ini.

Beliau yang juga ahli parlimen Bagan Serai berkata pihaknya mendapati tiada kematian membabitkan pelajar yang menerima suntikan vaksin setakat ini.

Justeru beliau meminta ibu bapa agar memantau keadaan anak-anak mereka yang sudah menerima suntikan vaksin dan segera membawa anak-anak mendapatkan rawatan di hospital serta melaporkan di aplikasi MySejahtera sekiranya mengalami sakit dada, sesak nafas atau jantung berdengup laju.

Menurutnya setakat ini, Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga tidak melaporkan mengenai kesan sampingan pengambilan vaksin terhadap remaja.

“Saya akan pantau setiap hari jika ada laporan, kita akan secara terus dan telus memaklumkan untuk pengetahuan rakyat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Sedia tawar vaksin negeri, percepat proses suntikan kepada remaja

GOMBAK, 2 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) sedia ditawar kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun sebagai langkah melindungi golongan itu daripada jangkitan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau atau EXCO akan membentangkan cadangan itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secepat mungkin .

“Ini berdasarkan keputusan yang dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan yang mana vaksin Sinovac boleh diberikan kepada remaja.

“Semoga pelan itu akan mempercepatkan proses vaksinasi golongan remaja dan mereka turut dilindungi daripada jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau ditemui pada program serahan Notis 5A kepada 19 penduduk Gombak serta sumbangan kewangan kepada 20 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu di Dewan Rakyat, Padang Awam Batu Caves, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan Notis 5A kepada salah seorang penduduk DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat, Padang Awam Batu Caves pada 2 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mengulas lanjut Amirudin berkata bagi tujuan itu pihaknya perlu merangka pelan baharu memandangkan sebelum ini baki pelalian Selvax dirancang untuk suntikan penggalak atau dos ketiga.

Sementara itu katanya pusingan kedua program Selvax bergerak akan diteruskan ke beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas pelan rancangan melibatkan kos pentadbiran selesai.

“Kita dapat sambutan baik. Sasar 300 hingga 400 hadir (setiap DUN) tetapi cecah 600 individu membuktikan ramai yang perlukan vaksin. Kita baru habis antara 13 ke 15 DUN dan akan tambah lagi.

“Kita akan cuba merangkum sebanyak mungkin DUN atau tumpukan kawasan terpencil, yang penduduknya sukar untuk keluar (disuntik),” katanya.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 13 September menggunakan bas dan van bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Peringkat pertama melibatkan beberapa DUN antaranya Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Hulu Bernam, Dengkil dan Kampung Tunku.

Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja lelaki tidak sabar kembali ke sekolah selepas divaksin

BANGI, 1 OKT: Seorang remaja lelaki yang menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja tidak sabar untuk kembali ke sekolah seperti sebelum pandemik Covid-19.

Ahmad Amin Othman, 16, yang selesai menerima dos pertama mengakui jemu mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan sehingga menjejaskan prestasi.

Ahmad Amin Othman

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi berkata dia juga rindu untuk melakukan aktiviti seperti bersukan di sekolah bersama rakan sekelas.

“Saya gembira apabila kerajaan mengumumkan remaja usia 12 hingga 17 tahun layak divaksin yang memberi petanda bahawa sekolah akan dibuka tidak lama lagi. Lagipun bila duduk rumah lama sangat, rasa rindu nak ke sekolah berjumpa kawan-kawan.

“Paling penting boleh belajar dalam kelas, selama ini tidak dapat fokus belajar dalam talian. Adakalanya kena marah dengan guru gara-gara lambat masuk disebabkan gangguan internet,” katanya yang juga anak yatim.

Aishah Elysa Mohamad Rosli

Anak bongsu daripada empat beradik itu antara 4,000 remaja sekitar Hulu Langat yang disasarkan menerima pelalian Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Bangi Avenue semalam.

Sementara itu, pelajar aliran perakaunan di sekolah sama, Aishah Elysa Mohamad Rosli, 16, berkata meskipun takut jarum namun tetap bersemangat mengambil vaksin demi memastikan diri dilindungi daripada jangkitan Covid-19.

Esther Low Pui Ting

“Sebelum datang saya rasa sangat berdebar sebab dari kecil memang takut dengan jarum suntikan, tetapi ibu bapa beri dorongan kepada saya selain mengambil pendekatan untuk tidak fikir negatif,” katanya.

Ashley Tok Pei Ye, 16, pula bersepakat untuk hadir menerima vaksin bersama kawan karibnya Esther Low Pui Ting bagi melepaskan kerinduan selepas hampir enam bulan tidak bersua-muka.

Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Atur dialog kakitangan agama tolak vaksin bersama mufti

KLANG, 30 SEPT: Kakitangan institusi agama di negeri ini yang enggan menerima vaksin akan dibawa bertemu golongan agamawan termasuk mufti.

EXCO hal ehwal agama islam berkata pendekatan itu antara usaha memujuk kumpulan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), pegawai masjid dan jurunikah untuk menerima suntikan pelalian

“Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah memujuk tetapi masih ada enggan. Jika alasan agama maka kita temukan mereka dengan alim ulama termasuk mufti untuk berdialog dan bersoal jawab.

“Kalau alasan kesihatan kita boleh aturkan mereka dengan pakar kesihatan untuk memberikan maklumat lebih jelas,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau ditemui selepas mengedar 1,000 pek makanan bersama Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) DUN Sungai Kandis dalam program vaskin remaja di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin, di sini hari ini.

Pada 22 September,  Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan kekecewaan apabila dimaklumkan seramai 96 individu dalam kalangan guru Kafa, ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah menolak untuk divaksin.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga kecewa apabila hanya 203 individu sertai program vaksinasi khas Covid-19 untuk petugas Jais sedangkan seramai 873 orang diarahkan hadir.

Baginda bertitah akan meneliti nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu bapa lega anak divaksin, kurang risiko jangkitan luar rumah

KUALA SELANGOR, 30 SEPT: Seorang ibu mengakui gembira selepas dimaklumkan pihak sekolah anaknya menerima suntikan vaksin.

Sapinah Hanafi,51.

Sapinah Hanafi, 51 berkata beliau bimbang dengan keselamatan Muhammad Syafiq Sabri, 13, kerana terlalu aktif dan mungkin memberi risiko kepadanya apabila berada di luar rumah.

“Dia hiperaktif, lasak dan suka berkawan, itu saya risau jadi apabila cikgu cakap dia dapat vaksin, saya gembira kerana Covid-19 boleh membawa kemudaratan,” katanya.

Beliau ditemui SelangorKini pada program suntikan vaksin remaja dan murid berkeperluan khas di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini, hari ini.

Mohd Noor Yaacob, 43, memaklumkan anaknya Muhammad Danish Haiqal, 15, teruja dan tidak sabar sebaik dimaklum menerima vaksin.

Mohd Noor Yaacob, 43.

“Saya beritahu semalam (kelmarin) terus dia gembira, saya pun lega sebab dia beri kerjasama untuk menerima suntikan.

“Sebagai bapa, saya bersyukur kerana secara tidak langsung memudahkan kami sekeluarga dan berasa lebih yakin apabila berada di luar rumah,” katanya.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sasar 10,000 remaja Kuala Selangor divaksin

KUALA SELANGOR, 29 SEPT: Seramai 10,000 remaja berusia 16 dan 17 tahun disasar menerima suntikan vaksin di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Pengerusi pasukan petugas khas imunisasi Covid-19 Kuala Selangor berkata sejumlah 8,268 individu selesai disuntik sejak 23 September hingga semalam.

“Kita harap dengan jumlah penerima sebelum ini dan mereka yang hadir hari ini kita dapat mencapai 10,000 remaja divaksin di Kuala Selangor,” kata Mohd Faizal Abdul Raji di sini hari ini.

Beliau yang juga pegawai daerah Kuala Selangor berkata sebanyak 1,500 dos disediakan setiap hari dengan suntikan kedua mulai 14 Oktober.

Mengulas remaja yang tidak hadir meski sudah mendaftar, beliau berpandangan mereka mempunyai alasan peribadi termasuk berkemungkinan menolak vaksin.

“Baki yang tidak hadir ini ada sebab masing-masing mungkin ada ibu bapa memilih menghantar anak ke tempat vaksin lain dan mungkin juga ada yang menolak vaksin,” katanya.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November.