Categories
AGENSI SELANGOR

STFC: Penularan tempatan sumbang kes baharu Covid-19 meningkat

SHAH ALAM, 28 SEPT: Selangor merekodkan 11 kes baharu Covid-19 dan satu daripadanya adalah jangkitan luar negara membabitkan pengembara bukan warganegara dari India.

Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan angka berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan kes di Selangor meningkat kepada 2,246.

“10 kes diklasifikasikan sebagai jangkitan tempatan. Malaysia pula mencatatkan 115 kes baru yang melibatkan 112 jangkitan tempatan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia dalam kenyataan sebelum itu memaklumkan enam daripada kes tempatan di Selangor direkodkan oleh kluster baharu iaitu kluster Jalan Apas yang kesemuanya melibatkan warganegara.

Sehingga kini seramai 66 individu disaring dengan lapan dikesan positif, 55 negatif manakala dua lagi kes masih menunggu keputusan.

Manakala empat kes tempatan lain adalah saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah yang kesemuanya melibatkan warganegara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster baharu Jalan Apas dikesan di Selangor

SHAH ALAM, 28 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti satu kluster baharu di Selangor iaitu kluster Jalan Apas.

Ketua pengarah kesihatan berkata kes indeks ke-10,782 dan ke-10,783 merupakan pasangan suami isteri warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna, Sabah dari 13 hingga 16 September.

“Kedua-dua kes indeks mula bergejala demam, batuk, dan selesema pada 18 September 2020 yang kemudian mendapatkan rawatan di pusat perubatan pada 19 September.

“Mereka kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 24 September, didapati positif Covid-19 pada 26 September dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan hasil saringan kontak rapat mendapati enam lagi kes positif direkodkan semalam dan sehingga kini seramai 66 individu disaring.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada jumlah ini lapan dikesan positif, 55 negatif manakala dua lagi kes masih menunggu keputusan.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyahkuman dijalankan di lokasi-lokasi yang terbabit. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.