Categories
PENDAPAT RENCANA

Indahnya Islam di kompleks seni Selangor

Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor tidak asing lagi dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara sebagai pusat perkembangan seni Islam berlandaskan nilai-nilai ajaran al-Quran.

Sarat dengan nilai warisan ketamadunan dan seni Islam, kompleks yang terletak di tengah bandar raya Shah Alam, bersebelahan dengan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu sedia menanti kehadiran pengunjung pada Selasa hingga Ahad bermula jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang.

Dibina dengan daya kreativiti tinggi, pengunjung berpeluang menjamah mata di setiap ruang yang mempamerkan keindahan dan kesucian Islam. Ia satu-satunya kompleks seni Islam seumpamanya di dunia hasil perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di bawah inisiatif Kerajaan Negeri.

Tourism Selangor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dan disokong oleh Hotel Concorde Shah Alam membawa delegasi media tempatan dalam Media FAM Trip yang menjenamakan Vibrant Shah Alam pada 12 dan 13 Oktober lalu.

Kami dibawa secara khusus melawat setiap pelusuk kompleks Islam itu sebagai sebuah destinasi yang memberi fokus kepada sektor pelancongan berteraskan kesenian dan kebudayaan, dan juga ilmu pengetahuan.

Pusat penawar inspirasi kehidupan

Melangkah masuk ke ruang utama, kami disambut dengan air pancut di ruang hadapan kompleks berkonsepkan seni alkaf tiga dimensi, ‘Alif, Lam dan Mim’.

Di bahagian tengah arca (alkaf) air pancut seperti dicantas dan mengeluarkan umbut yang membawa maksud harapan, iaitu harapan kepada Allah SWT, manakala air yang mengalir pula umpama rahmat Allah SWT yang berpanjangan buat umat manusia.

Berkeluasan kira-kira 1,858 meter persegi, kami menghayati keindahan kompleks setinggi tiga aras berbentuk sarang lebah yang menggambarkan iman dan ihsan.

Timbalan Pengurus Besar (Lawatan, Acara dan Wakaf) Yayasan Restu, Zarina Mahusin berkata, kompleks yang menjadi pusat penawar inspirasi kehidupan itu mengetengahkan unsur kesenian dan medium dakwah sebagai tarikan umum pelbagai lapisan masyarakat yang menghargai serta meminati seni.

“Bahagian atas jika dilihat di ruang hadapan mempunyai dua bentuk replika rehal bermaksud dua peninggalan Rasulullah SAW, jika diikut kita tidak akan sesat selama-lamanya iaitu al-Quran dan as-Sunnah,” katanya.

Melanjut langkah ke ruang tengah kompleks, kami dapat menikmati keindahan dekorasi antaranya hiasan pokok paku resam iaitu batang pokok yang digunakan untuk menyalin manuskrip al-Quran.

Pokok berkenaan tidak boleh ditanam di situ kerana ia dikatakan tumbuh liar di kawasan berbukit.

Replika rumah Rasulullah SAW

Apa yang paling menarik perhatian kami adalah replika kediaman Baginda Rasulullah SAW bersama Siti Khadijah r.a. yang dibina berpandukan pelan asal. Kami berpeluang merasai suasana masuk ke dalam rumah itu.

Terdapat beberapa bilik yang teratur sederhana tetapi menarik. Turut dipamerkan juga katil, jubah dan ruang makan selain ruang solat.

Suasananya seperti digambarkan. Replika rumah Rasulullah SAW ini menarik perhatian. Tidak hairan ia dikunjungi ribuan pengunjung setiap hari.

Antara tarikan lain yang berkaitan dengan seni Islam adalah Galeri al-Quran Mushaf Malaysia, Galeri Nur Fatimah, Galeri as-Sakinah, Bahagian Penyalinan Mushaf al-Quran, Grafik, Reka Bentuk, Pewarnaan dan Penerapan Emas termasuk Galeri Cenderamata.

Terdapat pelbagai jenis kesenian khat termasuk warisan kesenian dari Asia Barat yang berlandaskan al-Quran turut dipamerkan selain satu galeri yang dicipta untuk menggambarkan keadaan di Gua Hira  semasa wahyu diturunkan.

Pameran Rehlah Nabawiyah

Di Galeri Utama kompleks ini turut diadakan Pameran Rehlah Nabawiyah atau perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW yang dibuka kepada orang ramai.

Bercirikan hologram, paparan visual, lukisan tiga dimensi (3D), serta lebih 21 segmen mengenai Rasulullah SAW, ia merupakan pameran pertama di Asia Tenggara. Hampir semuanya menggunakan tenaga tempatan yang terbabit segi rekaan dan penggunaan teknologi bertujuan supaya pencinta Rasulullah SAW merasai pengalaman dan melihat sendiri suasana di zaman baginda.

Harga tiket masuk ke pameran itu serendah RM5 bagi kanak-kanak, RM15 bagi pelajar sekolah dan dewasa RM25.

Antara objektif pameran ini ialah mendekatkan ummah dengan sirah dan pusaka peninggalan Nabi SAW. Ia menjadi pembuktian keimanan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Selain itu, mendedahkan kepada masyarakat usaha dakwah yang dilakukan Rasulullah SAW dan para sahabat, mengajak masyarakat supaya mencintai ilmu dan ulama, memanfaatkan teknologi moden dan ICT sebagai medium dakwah efektif serta mengembalikan masyarakat Islam kepada identiti mereka yang sebenar.

Bilik kebal al-Quran tulisan tangan

Berada di aras dua, kami bertuah apabila dibenarkan memasuki bilik kebal yang menyimpan manuskrip al-Quran tulisan tangan anak tempatan. Bilik sama turut menyimpan helaian rambut Nabi Muhammad SAW.

Zarina berkata, manuskrip yang ditulis atas kertas khas diimport dari Jerman bersaiz tiga kali empat kaki itu perlu melalui proses kajian dan penyelidikan menyeluruh bagi menjadikan mushaf terbitan Malaysia mempunyai identiti tersendiri.

“Di sini, proses menyalin al-Quran dilakukan oleh sembilan kumpulan. Proses tulisan khat itu menggunakan 10 inci batang pokok paku resam dan dicelup satu persatu dengan dakwat.

“Hiasan yang dihasilkan mempunyai erti tersendiri kerana warna dan bentuk yang menjadi bingkai pada setiap helaian mempunyai maksud berkaitan budaya, alam semula jadi serta mercu sesebuah negeri. Contohnya di Selangor, kami menggunakan motif buah sukun. Terdapat 20 reka bentuk berlainan untuk negeri ini,” katanya.

Bingkai pada lembaran al-Quran disaluti emas 24k dan pihaknya mempunyai pasukan khas yang mengkaji secara khusus mengenai sesuatu tempat untuk mendapatkan reka bentuk dan warna yang diinginkan.

Untuk rekod, sejak lebih 30 tahun Yayasan Restu sudah bergiat aktif dalam penerbitan naskhah al-Quran bermula dari proses menyalin untuk dijadikan manuskrip, memeriksa, membuat reka bentuk hiasan sebelum dibawa untuk cetakan di Nasyrul Quran di Putrajaya iaitu kompleks pencetakan al-Quran kedua terbesar di dunia. Setakat ini, Yayasan Restu mempunyai 12 manuskrip yang disimpan rapi di dalam bilik kebal kerana usaha untuk menyalin mushaf al-Quran daripada penyalin, Othman Taha yang berasal dari Madinah itu bukan suatu kerja mudah.

Motif yang dihasilkan mengikut kedatangan Islam di negara ini dimulai dengan Malaysia, Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Perlis, Sarawak dan Sabah serta kembali semula ke Malaysia.

Ini hanya sebahagian daripada bahan pameran di kompleks berkenaan. Peminat seni Islam boleh mengambil peluang untuk menerokai lebih dekat kompleks itu yang mempunyai sembilan galeri.

Kompleks Seni Islam Antarabangsa

Alamat: Kompleks Taman Seni Islam Antarabangsa, No. 2A Pesiaran Damai, Seksyen 10, 40100 Shah Alam, Selangor

Nombor Telefon: 03 55119001

Waktu Operasi: 9.30 pagi hingga 5.30 petang (Selasa-Ahad)

  • Dibina di atas tapak seluas 14 hektar berhampiran Masjid Negeri, Muzium Shah Alam, Taman Tasik Shah Alam
  • Pameran sarat dengan seni kaligrafi Islam, seni bina, reka bentuk dalaman, lukisan dan manuskrip al-Quran.
  • Ia berfungsi sebagai pusat pameran dan pengeluaran untuk Yayasan Restu, sebuah persatuan yang ditubuhkan pada tahun 1987.
  • Bertujuan untuk memelihara dan mempromosikan seni dan budaya Islam.
  • Mempunyai sembilan galeri, dewan kuliah, pusat kanak-kanak dan pelbagai bilik aktiviti.
  • Antara paparan yang paling terkenal di sini ialah manuskrip Quran yang asal dikatakan bernilai lebih RM20 juta.
Categories
AGAMA PELANCONGAN SELANGOR

Rehlah Nabawiyyah, papar kisah hidup Rasulullah SAW

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 28 NOV: Orang ramai kini boleh menyaksikan secara lebih dekat kisah kehidupan Rasulullah SAW melalui pameran Rehlah Nabawiyyah yang bermula sejak 18 November lalu.

Pameran yang diadakan di Galeri Utama, Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Seksyen 10 di sini, memaparkan perjalanan hidup sebelum kelahiran sehingga kewafatan baginda.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata, pengunjung yang hadir akan mengalami sendiri kisah hidup Rasulullah SAW dalam pelbagai bentuk seperti lukisan tiga dimensi (3D), model, replika, video, hologram serta 21 segmen sirah.

“Ia adalah antara tarikan utama kepada pengunjung selain dapat merasai sendiri pengalaman hebat kisah Rasulullah SAW yang amat mencintai kita sebagai umatnya.

“Tujuan utama pameran ini adalah berkonsepkan ilmu dan dakwah secara realiti dalam bentuk teknologi terkini untuk dihayati sepenuhnya dengan lebih mendalam dan berkesan mengenai kisah sejarah baginda.

“Pameran ini juga selari dengan aspirasi Yayasan Restu dan Nasyrul Quran dalam menyebarkan ilmu Al-Quran dan usaha dakwah yang berterusan untuk dimanfaatkan ummah,” katanya dalam sidang media pameran Rehlah Nabawiyyah di sini, hari ini.

Bertemakan “Bukan Sekadar Sejarah tapi Peradaban”, ia adalah suatu kecemerlangan yang tercapai hasil daripada fizikal, intelektual dan spiritual yang terdapat dalam diri Rasulullah SAW.

Abdul Latiff berkata, bersempena sambutan Hari Keputeraan Rasulullah SAW (Maulidur Rasul) pada Jumaat ini, harga tiket masuk dijual RM10 bagi kanak-kanak dan dewasa berbanding harga asal RM15 (kanak-kanak) dan RM25 (dewasa).

“Hampir keseluruhan pameran ini menggunakan tenaga tempatan yang terbabit dari segi rekaan dan penggunaan teknologi.

“Saya juga percaya, belum ada lagi pameran mengenai Rasulullah SAW yang seumpama ini di Malaysia,” katanya.

=EZY=