Categories
SELANGOR

MB : Perkukuh Hubungan Selangor-Jepun

bon-odori-1

mb-&-duta-jepunSHAH ALAM 7 JULAI : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap hubungan antara negara Jepun dan Malaysia khususnya Selangor akan lebih erat pada masa akan datang supaya pembangunan di negeri itu berkembang lebih maju.

Menurutnya, hubungan yang terjalin sebelum ini sudah menjadikan pembangunan di Shah Alam pesat dengan industri perkilangan.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha sama dari negara Jepun apabila melibatkan pembangunan atau festival seperti ini kerana ia melibatkan sebahagian daripada pembangunan negeri.

“Kita harap kerjasama seperti ini dapat dikekalkan dan ditambah baik bagi penduduk negeri ini dan kita akan melihat pembangunan yang mungkin kita akan bangunkan dengan kerjasama syarikat-syarikat dari Jepun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Bon Odori ke 37 di Kompleks Sukan Panasonic, di sini.

bon-odori2

Hadir sama Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong dan Duta Jepun Ke Malaysia, Shigeru Nakamura.

Dalam majlis itu, lebih 30,000 pengunjung pelbagai bangsa dan agama hadir. Ada di antara mereka memakai pakaian kimono dan zori.

Terdapat 35 gerai menjual pakaian dan makanan Jepun.

Perayaan Bon Odori merupakan perayaan yang disambut oleh masyarakat Jepun pada musim panas sebagai membalas jasa nenek moyang mereka.

Difahamkan seramai 40,000 pengunjung hadir ke festival itu pada tahun lalu yang juga diadakan di Shah Alam.