Categories
SELANGOR

MB : Perkukuh Hubungan Selangor-Jepun

bon-odori-1

mb-&-duta-jepunSHAH ALAM 7 JULAI : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap hubungan antara negara Jepun dan Malaysia khususnya Selangor akan lebih erat pada masa akan datang supaya pembangunan di negeri itu berkembang lebih maju.

Menurutnya, hubungan yang terjalin sebelum ini sudah menjadikan pembangunan di Shah Alam pesat dengan industri perkilangan.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha sama dari negara Jepun apabila melibatkan pembangunan atau festival seperti ini kerana ia melibatkan sebahagian daripada pembangunan negeri.

“Kita harap kerjasama seperti ini dapat dikekalkan dan ditambah baik bagi penduduk negeri ini dan kita akan melihat pembangunan yang mungkin kita akan bangunkan dengan kerjasama syarikat-syarikat dari Jepun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Bon Odori ke 37 di Kompleks Sukan Panasonic, di sini.

bon-odori2

Hadir sama Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong dan Duta Jepun Ke Malaysia, Shigeru Nakamura.

Dalam majlis itu, lebih 30,000 pengunjung pelbagai bangsa dan agama hadir. Ada di antara mereka memakai pakaian kimono dan zori.

Terdapat 35 gerai menjual pakaian dan makanan Jepun.

Perayaan Bon Odori merupakan perayaan yang disambut oleh masyarakat Jepun pada musim panas sebagai membalas jasa nenek moyang mereka.

Difahamkan seramai 40,000 pengunjung hadir ke festival itu pada tahun lalu yang juga diadakan di Shah Alam.

Selangor Desak Sekolah Tutup Jika Jerebu Cecah IPU 150

elizabeth pakai topeng muka budak jerebu 02

SHAH ALAM 25 JUN : Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong mempersoalkan arahan Kementerian Pelajaran yang hanya membenarkan sekolah ditutup sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 300, iaitu paras merbahaya.

Elizabeth berkata adalah lebih munasabah jika sekolah dibenarkan tutup jika masalah jerebu melebihi paras 150 IPU iaitu pada tahap tidak sihat.

“Saya rasa tahap bacaan IPU 300 itu terlalu lambat, lebih baik jika bacaan mencecah 150 terus tutup sekolah kerana kita mesti faham paru-paru kanak-kanak tidak tahan seperti orang dewasa.

“Ini cadangan saya, mereka perlu lihat semula lebih baik tutup sekolah dan diganti persekolahan itu pada hari minggu daripada menjejaskan kesihatan pelajar,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengedarkan topeng muka kepada penduduk Bukit Lanjan di pasar pagi Desa Jaya di Petaling Jaya pagi ini.

Semalam, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) memaklumkan Kementerian Pelajaran mengeluarkan arahan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan supaya menutup sekolah sekiranya IPU berada ditahapĀ  melebihi 300.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Persekutuan wajar mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) itu kerana ia akan memberi kesan kesihatan kepada pelajar.

Elizabeth berkata arahan kementerian tidak konsisten dengan tindakannya semalam di mana sekolah-sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor ditutup apabila paras IPU berada di bawah 200.

?Tindakan Kementerian untuk membuka semula sekolah-sekolah di negeri Selangor dan Kuala Lumpur adalah tidak wajar. Semalam keadaan di kebanyakkan tempat dibawah IPU 200 ditutup. Tetapi hari ini bacaan IPU melebihi 200, sekolah dibuka.

“Perkara ini sudah tentu akan merisaukan ibu bapa dan guru,” katanya ketika ditemui di program pemberian topeng muka kepada orang ramai di Bukit Lanjan.

Pada pagi ini, kualiti udara di Pelabuhan Klang, Selangor kini dikategorikan sebagai bahaya apabila bacaan IPU mencatatkan 495 setakat 8 pagi.

Portal Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melaporkan empat kawasan di Selangor iaitu Petaling Jaya, Banting, Shah Alam dan Kuala Selangor mencatat IPU sangat tidak sihat dengan bacaan lebih 200.

Elizabeth turut memaklumkan Kerajaan Negeri sudah mengedarkan sebanyak 250,000 topeng muka kepada penduduk Selangor termasuk ke sekolah-sekolah kerana mendapat permintaan yang tinggi.