Categories
PBT SELANGOR

MBSA tawar diskaun kompaun 70 peratus Sabtu ini

SHAH ALAM, 18 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan diskaun kompaun sehingga 70 peratus sempena Hari MBSA dan Anda di Plaza Shah Alam di sini, Sabtu ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad berkata orang ramai boleh membuat pembayaran berkenaan mulai jam 11 pagi hingga 5 petang.

“Sepanjang bulan Oktober, MBSA melaksanakan kempen pengurangan kompaun RM10 bagi kompaun tempat letak kereta dan menawarkan pengurangan kompaun sehingga 70 peratus daripada bayaran sebenar kompaun yang dikenakan untuk kompaun-kompaun terpilih,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata tujuan program Hari MBSA dan Anda sebagai platform kepada orang ramai khususnya warga Shah Alam untuk bertemu dengan pihak pengurusan MBSA bagi menyalurkan aduan dan permasalahan.

“Selain itu program ini juga merupakan komitmen berterusan pihak majlis untuk mempertingkatkan lagi sistem penyampaian kepada komuniti setempat.

“Antara perkhidmatan yang disediakan semasa program ini adalah seperti penyemakan dan pembayaran cukai taksiran, penyemakan dan pembayaran kompaun khususnya kompaun trafik, menerima semakan aduan permohonan ubah suai premis dan sebagainya,” katanya.

Pada 30 September MBSA menawarkan diskaun sehingga 70 peratus daripada bayaran sebenar bagi kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK).

Datuk Bandar Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata pengurangan itu ditawarkan sepanjang Oktober depan sempena sambutan ulang tahun Bandar Raya Shah Alam ke-21.

Categories
PBT SELANGOR

MPK periksa 305 premis, keluar 86 kompaun sepanjang Ogos

SHAH ALAM, 2 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan 86 kompaun atas kesalahan berniaga tanpa lesen sepanjang Ogos lalu.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa Shahrul Hazri Abdul Majid berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 305 premis dalam tempoh sama.

“Selain itu, sebanyak 18 notis penutupan diberikan di bawah Seksyen 18(1) (F) Akta 342, lima dikenakan kompaun di bawah Akta 342, empat sitaan di bawah UUK3 PTPP, tiga sitaan di bawah UUK3 (1) Pem MPK 2007 dan satu sitaan di bawah UUK3 pusat siber.

“Seramai 282 penguat kuasa digerakkan menunjukkan kesungguhan MPK dalam menegakkan undang-undang tanpa sebarang kompromi,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Shahrul Hazri lagi, berkata pihaknya melakukan dua sitaan di sekitar blok PKNS, Jalan Pasar Baru 3 Off, Jalan Meru, Klang berniaga tanpa lesen MPK semalam.

“Penguat kuasa MPK juga membantu Ibu Pejabat Polis Klang dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu serbuan di premis “bitcoin” di Jalan Bestari 6A, Bandar Bestari, Klang.

“Sejumlah 149 unit “server bitcoin”  satu unit komputer dijumpai dan premis ini disita serta rampasan dibawa ke stor pejabat penguat kuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh ditahan sambut hari jadi, lima positif dadah

SHAH ALAM, 23 JUN: Polis menahan tujuh warga tempatan termasuk seorang wanita atas kesalahan menghadiri majlis sambutan hari jadi di sebuah kondominium mewah di Seksyen 7 awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata penahanan individu berusia 21 hingga 37 tahun itu dilakukan selepas pihaknya melakukan pemeriksaan di kondominium tersebut susulan aduan orang awam berhubung aktiviti berkumpul.

“Pihak polis menjalankan siasatan dan pemeriksaan pematuhan secara menyeluruh di alamat tersebut lalu mendapati ada majlis hari jadi sedang berlangsung dan menahan tujuh individu yang berada di kondominum itu.

“Kami juga merampas lima paket dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 4.42 gram, dan satu paket dadah mengandungi tujuh biji pil yaba dengan berat kasar 0.72 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baharudin berkata sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan menghadiri aktiviti dengan kehadiran ramai sehingga menyukarkan penjarakan fizikal.

Katanya, kesemua individu terbabit dikompaun RM4,000 setiap seorang dan kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi menjalani ujian saringan air kencing.

“Hasil saringan mendapati lima individu termasuk wanita berkenaan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.

“Kesemua suspek direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-BERNAMA