Categories
NASIONAL

Gandingan Anwar-Azmin terajui KEADILAN 2018-2021

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 NOV: Gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan meneruskan kepimpinan KEADILAN bagi penggal 2018-2021.

Anwar yang dipilih selaku Presiden KEADILAN selepas menang tanpa bertanding sementara Mohamed Azmin mengekalkan kedudukan selaku Timbalan Presiden selepas menewaskan pencabarnya, Rafizi Ramli.

Posisi Naib Presiden pula dianggotai Nurul Izzah Anwar, mantan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamarudin, Tian Chua dan Dr Xavier Jayakumar.

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) akan dipimpin Akmal Nasrullah Mohd Nasir manakala Muhammad Hilman Idham bertindak selaku Timbalan Ketua AMK.

Haniza Talha akan mengemudi Wanita KEADILAN manakala Dr Daroyah Alwi bertindak selaku Timbalan.

Manakala 20 pemimpin KEADILAN termasuk Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengisi kedudukan selaku Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Pengumuman kepimpinan baharu itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Rashid Din.

Rashid kelihatan sebak dalam ucapannya turut berterima kasih kepada semua pengundi dan ahli JPP yang menjayakan pemilihan parti walaupun berhadapan teguran dan kritikan daripada pelbagai pihak.

Dalam perkembangan sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Ahmad Kasim dilantik sebagai Pengerusi Tetap KEADILAN baharu bagi menggantikan Ismail Yusof yang telah berkhidmat selama tiga penggal.

Manakala Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Wliayah Persekutuan, Osman Karim dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Tetap KEADILAN bagi menggantikan Abdul Wahab Ibrahim.

Datuk Seri Saifuddin Nasution pula kekal sebagai Setiausaha Agung KEADILAN sehingga lantikan baharu dibuat.

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan diperingat jangan jadi laksa ‘ceroi’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 NOV: Kerajaan diingatkan jangan menjadi seperti ‘laksa ceroi’ yang kuahnya cair dan tidak sedap dimakan.

Pembahas Kedah, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, sebaliknya kerajaan perlu menjadi seperti laksa yang mempunyai kuah yang pekat dan enak seperti yang digembar-gemburkan.

“Jangan jadi macam orang Kedah kata ‘laksa ceroi’, beritahu orang laksanya kuah pekat tetapi bila beli kuahnya cair.

“Begitu juga dengan kerajaan, kena berusaha tunaikan manifesto, tak boleh asyik guna alasan hutang banyak, kalau macam itu sampai bila pun kekal begini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden di Kongres Nasional KEADILAN Ke-13 di IDCC di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, kegagalan Kerajaan menunaikan manifesto menyebabkan pemimpin parti peringkat akar umbi terpaksa menjawab dengan rakyat khasnya di kawasan luar bandar.

Katanya, masyarakat di luar bandar pada masa ini terhimpit akibat tekanan kos sara hidup yang tinggi berbanding para Menteri yang memperolehi gaji yang tinggi.

“Kita tak pertikaikan gaji Menteri tinggi kerana itu hak mereka tetapi perlulah lihat masalah rakyat bawahan,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Hargai reformis 1998, santuni pengorbanan mereka seadilnya

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 NOV: Ahli KEADILAN disarankan mengiktiraf dan menghargai reformis yang berjuang sejak 1998.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ramai reformis tidak mendapat pangkat atau ganjaran, namun terus bertungkus lumus berjuang untuk parti itu.

“Mereka hilang kerja akibat dibuang dan dipecat, mereka yang jatuh muflis akibat gagal membayar hutang membiayai perjuangan, cedera dipukul, dihina, dicaci, disiksa, dilokap, dan pelbagai penderitaan dialami.

“Mereka tidak mendapat ganjaran jauh sekali menjadi wakil rakyat atau menteri. Namun mereka tegar berdiri menyatakan hak kepada pemimpin yang rakus dan zalim.

“Hari ini, selepas parti menang menjadi kerajaan pun mereka tetap kembali ke kampung, desa dan warung bertungkus lumus berjuang untuk meneruskan hidup, justeru, layanilah mereka seadilnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan dasarnya di Kongres Nasional KEADILAN Ke 13, yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Dr Azizah turut membaca pantun resmi padi supaya diikuti ahli KEADILAN.

Beliau turut menyoroti tahun kesediaan parti berkenaan ketika tahun 2014, untuk diteladani dan tidak diulangi semula.

Katanya, ketika menghampiri Pilihan Raya Umum (PRU), terdapat ahli yang mengkhianati parti bahkan menyerang sehingga beliau keseorangan dalam parlimen.

“Ada yang berputus asa dengan politik tetapi lebih menyedihkan mereka menyertai lawan dan menyerang kita. Ketika itu, kita benar-benar kenal siapa sahabat, siapa opportunis.

“Meskipun kita belum sampai ke tahap pengorbanan yang membawa kepada terkorban nyawa, namun penahanan, pemenjaraan, penghinaan serta segala kesusahan, lalui agenda reformasi bersama-sama.

“Saya ingin nasihatkan kepada semua anggota, sayangilah parti ini ketika senang dan susah,” katanya.