Categories
AGENDA NASIONAL

Secangkir kopi jalanan, ilham percutian di Australia

KOTA BHARU, 14 FEB: Mengadaptasi inspirasi daripada peniaga kopi jalanan versi kereta di Australia, seorang bekas pegawai jualan tiket di sebuah syarikat penerbangan mencipta kelainan menjual kopi bru dekat Jalan Bayam di sini menggunakan van klasik demi meneruskan kelangsungan hidup.

Wan Mohd Naim Wan Mohd Ghazi, 35, yang kini bergelar barista berkata idea untuk menyajikan secangkir kopi yang paling nikmat untuk pencinta kopi menggunakan van klasik itu timbul selepas beliau diberhentikan kerja berikutan pandemik Covid-19 sejak Jun tahun lalu.

“Selepas enam tahun berkhidmat, saya diberhentikan kerja dengan ditawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) , saya mula mencari idea untuk menjana pendapatan lain demi meneruskan kehidupan.

“Dari situ tercetus idea untuk berniaga kopi bru menggunakan konsep kenderaan hasil pengalaman ketika saya bercuti di Australia sekitar tahun 2013, yang konsep ini popular dalam kalangan masyarakat di sana,” katanya ketika ditemui Bernama di Van’s Street Coffee miliknya di Jalan Bayam di sini.

Bercerita lanjut, bapa kepada seorang cahaya mata yang berusia lima tahun itu berkata, sekitar November tahun lalu beliau mula mengikuti bengkel untuk menjadi barista terlatih, boleh menghasilkan pelbagai jenis kopi termasuk seni kopi selama dua bulan.

Wan Mohd Naim berkata pada awalnya beliau hanya memperkenalkan kepada rakan-rakan terdekat termasuk keluarga untuk mencuba kopi yang dihasilkan dan tidak menyangka kopinya itu mendapat pujian mereka sebelum mengambil keputusan untuk melakukannya secara serius.

“Saya melabur sebanyak RM20,000 untuk memulakan perniagaan ini termasuk membeli mesin untuk menghasilkan kopi serta alatan dan juga membeli van lama ini daripada ibu saudara berharga RM10,000 dan melakukan pengubahsuaian lengkap dengan kaunter untuk membancuh kopi seperti di kafe,” katanya.

Berkongsi cabaran pada permulaan perniagaannya sejak sebulan lalu, beliau berkata pada awal pembukaan van kopi jalanan itu, beliau hanya mampu menjual sekitar 15 cawan kepada pelanggan, namun kini semakin bertambah dari hari ke hari selepas beliau mempromosikan di media sosial.

“Kini pelanggan saya mempunyai pelbagai pilihan kopi yang bermutu tinggi yang diperoleh daripada pembekal tempatan antaranya Latte, Cappucino, Americano, Hazelnut, Caramel, Mocha dan sebagainya yang dijual serendah RM5 sehingga RM8 secawan.

“Malah, lagi unik saya mula mencipta perisa kopi bermusim. Bermula minggu lalu saya mula memperkenalkan kepada pelanggan perisa kopi baharu, Coffee Orange’s Street dan juga Orangened Street sempena sambutan Tahun Baharu Cina sehingga 28 Feb nanti,” katanya yang turut dibantu dua pekerja.

Hampir setiap hari kecuali Ahad, Wan Mohd Naim akan membuka pintu belakang van klasik berwarna merahnya itu bermula 3 petang sehingga 9 malam untuk menarik perhatian pelanggan di sekitar Jalan Bayam.

“Matlamat saya membuka perniagaan kopi jalanan ini selain untuk menjana pendapatan, saya juga ingin memberi peluang kepada sesiapa untuk berpeluang menikmati kopi bru yang mempunyai cita rasa ‘kopi mahal’ namun hanya pada harga jalanan,” katanya yang mampu meraih sekitar RM8,000 sebulan.

Seorang pelanggan tetap Mohd Nizarmuddin Mohamad Nor, 33, ketika ditemui berkata hampir setiap hari beliau akan membeli kopi jualan Wan Mohd Naim memandangkan ia mempunyai cita rasa yang tinggi namun dijual pada harga jalanan.

“Bagi penggemar kopi, van kopi jalanan ini adalah pilihan terbaik bagi menikmati rasa kopi bru yang enak seperti di restoran kopi yang popular namun dijual pada harga berpatutan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pengusaha kopi disaran pelbagaikan produk

KUALA LUMPUR, 15 JUL: Malaysia adalah antara pengeluar produk kopi campuran tiga dalam satu yang terbaik di rantau ini, namun pengusahanya dilihat masih memberi tumpuan kepada penghasilan kopi campuran berbanding menghasilkan inovasi terkini dalam produk kopi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, pengusaha produk itu perlu melakukan anjakan dengan mengambil kira trend penggemar kopi semasa untuk terus bersaing dalam industri itu.

“Sekarang orang Jepun telah mencipta mesin kopi dengan kapsul contohnya, ini adalah trend yang baharu. Saya rasa pengusaha kopi perlu meneroka lebih jauh daripada hanya mengeluarkan produk kopi campuran tiga dalam satu sahaja.

“Sehingga kini kita adalah pengeluar produk kopi campuran tiga dalam satu yang terbaik di rantau ini, tetapi citarasa pengguna kini sudah berubah kepada bentuk kapsul, dan kita perlu ke arah itu juga,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang ingin tahu usaha kementerian dalam meningkatkan pendapatan pengusaha tanaman kopi, dan meningkatkan penghasilan kopi tempatan supaya seterusnya boleh dieksport ke pasaran luar.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Masyarakat harus berani tampil buat aduan kecurangan moral

KUCHING, 21 Mei: Masyarakat harus berani tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa terutamanya kepada polis untuk bersama menangani salah guna kuasa dan kecurangan moral yang berlaku dalam masyarakat, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Merujuk kepada tangkapan seorang guru yang dituduh mencabul kehormatan tiga murid di Daerah Lawas, beliau turut meminta supaya pihak polis dapat membuat siasatan yang rapi supaya kes seumpama ini dapat diadili dengan sewajarnya.

“Adalah sangat mendukacitakan sekiranya seorang guru yang diharap mendidik dan mengasuh anak tergamak melakukan tindakan yang tidak bermoral ini, dan kalau dapatan siasatan itu benar maka pelakunya harus dibawa ke muka pengadilan dan dihukum dengan sewajarnya.

“Kita tidak boleh membiarkan kegiatan jenayah terus menular dan pelakunya bebas melepaskan diri dari tindakan undang undang,” Baru, yang juga Anggota Parlimen Selangau dan Anggota Dewan Undangan Negeri Ba’kelalan, berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, seorang guru, 31, ditahan di Balai Polis Karamunsing,Kota Kinabalu Sabah pada 15 Mei.

Suspek lelaki itu, yang bertugas di Lawas sejak Januari 2012 hingga sekarang, ditahan untuk membantu siasatan kes gangguan seksual serta liwat membabitkan murid lelaki di sebuah sekolah rendah di Lawas pada 2016. -BERNAMA