Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KPDNHEP pantau harga barangan keperluan sekolah

SEMENYIH, 26 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau harga barangan keperluan sekolah di 254 premis di seluruh negara, setakat semalam.

Timbalan Pengarah Penguat kuasa Pencegahannya, Azman Adam berkata pemantauan itu membabitkan 3,030 barangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya langkah itu bertujuan menyekat dan mengelakkan kenaikan harga berterusan dan pengambilan keuntungan yang tidak munasabah.

“Setakat ini, kita sudah mengeluarkan 220 notis kepada peniaga di seluruh negara kerana ada antara mereka mengenakan harga mengelirukan.

“Kita turut memberikan peniaga ini lima hari untuk memberi jawapan terhadap notis terbabit,” katanya ketika ditemui pada Pemeriksaan Harga Pakaian dan Barangan Sekolah 2019 di Pasaraya Mydin Semenyih di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Penguat kuasa Selangor, Azizan Abdullah.

Azman berkata pemeriksaan pro aktif itu sudah dilaksanakan di seluruh negara bermula 18 Disember lalu hingga 3 Januari tahun hadapan.

Beliau berkata KPDNHEP akan mengenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan denda RM50,000 bagi kesalahan pertama, RM100,000 kesalahan kedua atau lima tahun penjara atau kedua-keduanya sekali.

“Namun, sekiranya ia perusahaan diperbadankan kita akan mengenakan denda antara RM100,000 hingga RM250,000.

“Pada masa sama, kita mahu memastikan mereka mematuhi undang-undang dan pengguna dapat menikmati harga yang sepatutnya,” katanya.

Seramai 20 penguat kuasa KPDNHEP Selangor dan Putrajaya melaksanakan pemeriksaan harga barangan sekolah membabitkan baju kurung, baju kemeja lengan pendek dan lengan panjang, kain baju kurung sekolah rendah dan menengah, seluar panjang sekolah rendah dan menengah, tudung sekolah, kasut sekolah dan stoking sekolah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KPDNHEP pantau rapi harga barang musim perayaan

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Sebanyak 2,300 penguat kuasa akan menjalankan pemantauan di pasar raya, pasar awam dan kedai runcit di seluruh negara bagi memastikan peniaga mematuhi harga kawalan 19 jenis barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bersempena Krismas tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dr Alauddin Sidal berkata mereka yang didapati menaikkan harga tanpa alasan munasabah dan tidak meletakkan tanda harga akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Beliau berkata bagi kesalahan individu menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000. 

“Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan kawalan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000, dan syarikat pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sebuah pasar raya di sini hari ini sempena pelaksanaan SHMMP Krismas 2019.

Katanya, pihaknya turut mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Rakan KPDNHEP dan agensi kerajaan lain di setiap negeri bagi menyalurkan maklumat kenaikan harga barangan. 

Alauddin berkata pengguna juga boleh menyalurkan aduan kepada kementerian melalui portal [email protected] atau menghubungi 1800 886 800 selain melalui aplikasi telefon pintar Ez ADU.

KPDNHEP menyenaraikan 19 jenis barangan antaranya ayam, ayam belanda import, telur ayam, cili merah dan tomato bagi pelaksanaan SHMMP Krismas 2019 berkuat kuasa hari ini sehingga 31 Disember ini.

-BERNAMA 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan senarai 19 barangan kawalan harga sempena Krismas

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan 19 jenis barangan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2019 berkuat kuasa dari 22 hingga 31 Disember ini.

Timbalan Menteri berkenaan, Chong Chieng Jen berkata jenis barangan tahun ini meningkat berbanding 16 jenis barangan sebelum ini, di samping skim itu akan dilaksana selama 10 hari melibatkan tiga hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan enam hari selepas perayaan berbanding lima hari pelaksanaannya tahun lalu.

Beliau berkata skim tersebut akan dilaksana di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Kementerian telah mengenal pasti pertambahan barangan melibatkan cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing) dan ubi kentang import (China).

“Kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, daging kambing dan daging babi,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen di sini hari ini

Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan untuk memastikan harga berpatutan bagi manfaat pengguna dan peniaga.

Perincian barangan terlibat ialah:

1. Ayam hidup

2. Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)

3. Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)

4. Ayam tua hidup (*Harga maksimum di Sarawak sahaja)

5. Ayam belanda import

6. Kepak Ayam (*Harga maksimum di Sabah, Sarawak & Labuan sahaja)

7. Daging kambing tempatan bertulang (*Harga maksimum di Semenanjung sahaja)

8. Daging kambing import bertulang atau biri-biri import bertulang .

9. Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji)

10. Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji)

11. Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji)

12. Ubi kentang import (China)

13. Kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing)

14. Cili merah

15. Tomato

16. Lada benggala hijau

17. Babi hidup (Kawalan diperingkat ladang sahaja)

18. Daging babi (perut) (*Harga maksimum di Sabah, Sarawak & Labuan sahaja)

19. Daging babi (daging dan lemak) (*Harga maksimum di Sabah, Sarawak & Labuan sahaja)

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian akan bertindak tegas terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim tersebut mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Pengguna boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian ini melalui Portal [email protected], Call Centre 1800 886 800, emel [email protected], aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088, talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC) Whatsapp ke 019- 279 4317 atau melaporkan ke mana-mana 73 pejabat KPDNHEP di seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP mahu tingkat kecekapan penghantaran e-dagang

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (MTKSHN) berhasrat mempertingkatkan aspek kecekapan sistem penghantaran e-dagang dalam usaha mengurangkan kos berkaitan perniagaan.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kecekapan sistem penghantaran ​​​itu penting kerana platform e-dagang berupaya memintas rantaian perniagaan konvensional yang biasanya melibatkan kos gaji pekerja, utiliti dan penghantaran tinggi.

“Kita seharusnya memanfaatkan teknologi yang ada sekarang iaitu e-dagang untuk meningkatkan kecekapan (sistem penghantaran) kerana kita lihat aspek ini termasuk dalam salah satu penguasaan teknologi maklumat.

“Bayangkan jika barangan mudah rosak seperti ikan dan sayur boleh kita buka platform e-Dagang, sudah tentu kecekapan penghantaran itu yang paling penting (bagi menjaga kualiti barangan itu),” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif: Pencapaian KPDNHEP Sepanjang Tahun 2019 yang disiarkan secara langsung di TV1, malam tadi.

Beliau berkata KPDNHEP ingin mengikuti jejak langkah sebuah syarikat e-dagang China iaitu JD.com yang menggunakan sistem penghantaran pintar seperti robot dan dron dalam urusan perniagaan mereka.

Menerusi program berdurasi 60 minit itu, Saifuddin turut mengupas mengenai pencapaian kementerian itu sepanjang tahun ini, antaranya Program Food Bank yang memanfaatkan 400,000 isi rumah dan juga inisiatif pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 yang memberi faedah kepada lebih 900,000 pengguna pengangkutan awam.

Beliau berkata antara paling membanggakan ialah hampir tidak kedengaran keluhan dan rungutan yang serius daripada pengguna melibatkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

“Hal itu berikutan hampir kesemua peniaga patuh dengan harga telah kita tetapkan sempena musim perayaan…tahap kepatuhan itu tinggi jadi pengguna rasa lega.

“Sebelum ini jumlah hari yang kita tetapkan untuk SHMMP ialah 51 hari, namun kita naikkan kepada 102 hari kerana kita dapati tahap kepatuhan peniaga yang amat positif,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga makanan siap masak paling banyak terima aduan

SABAK BERNAM, 25 NOV: Aduan tertinggi daripada pengguna yang diterima oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ialah berkaitan dengan harga makanan yang siap dimasak di restoran dan kedai makan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata harga makanan siap masak yang mahal di restoran dan kedai makan lebih banyak dilaporkan oleh pengguna berbanding isu berkaitan kepenggunaan yang lain mahupun kenaikan harga barangan mentah termasuk ikan.

“Setakat ini, tiada aduan ketara berkaitan kekurangan bekalan makanan namun lebih berkisar kepada harga makanan siap dimasak. Ini menunjukkan rakyat Malaysia yang makan di luar terpaksa berbelanja lebih tinggi.

“(Kenaikan) Harga barangan mentah pula sekadar mengikut musim yang mana jika bekalan banyak, harga ada rendah dan sebaliknya,” katanya selepas melawat Jeti 3,000 di sini, hari ini.

Ditanya mengenai langkah kementerian itu dalam menangani kemungkinan berlakunya kenaikan harga ikan sepanjang musim tengkujuh, Saifuddin Nasution berkata penguatkuasaan dan pemantauan berkaitan perkara tersebut dilakukan secara berterusan namun ia tetap berdasarkan kepada aduan daripada pengguna.

Katanya ini kerana pemantauan harga barangan itu bukan dilakukan pada musim tengkujuh sahaja namun ia dibuat secara berkala dan setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan mengenai isu berkenaan.

“Disebabkan itu, kita lakukan lawatan di jeti-jeti di sini bagi memahami bagaimana rantaian sistem bekalan barangan mentah ini dilaksanakan. (Pertambahan) Harga ikan (di pasar atau pasar raya) adalah bergantung kepada jarak bahan makanan itu dihantar dan juga jenisnya.

“Contohnya, harga tangkapan mewah hari ini di jeti ini iaitu ikan tongkol dijual pada harga RM6 sekilogram di sini namun meningkat kepada RM9 hingga RM10 di lokasi lain kerana ia bergantung kepada saiz, kos pengangkutan dan sebagainya,” katanya.

Justeru kata Saifuddin Nasution, menerusi program ‘turun padang’ itu, pihaknya dapat lebih memahami rantaian sistem bekalan ikan bagi membantu KPDNHEP mengetahui harga akhir untuk pengguna.

“Jadi, bahagian penguatkuasaan akan lebih mudah menyusun gerak kerja mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP rampas lebih 10,000 kasut, selipar tiruan

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Sebanyak 10,190 pasang kasut dan selipar tiruan pelbagai jenama antarabangsa dianggarkan bernilai RM365,400 dirampas dalam serbuan berasingan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur semalam.

Pengarahnya Ariffin Samsudin berkata operasi serbuan pada 12.30 tengah hari itu dilakukan di tiga premis di Jalan 3/2B Taman Desa Bakti dan Jalan Melati 18, Taman Seri Melati, Batu Caves selepas risikan selama sebulan di lokasi berkenaan.

“Kasut tiruan yang dirampas membabitkan pelbagai jenama seperti Adidas, Nike, Vans dan Converse. Serbuan dilakukan di ketiga-tiga premis dan pemilik stor berjaya ditahan ketika membuka stornya untuk memulakan perniagaan di Taman Desa Bakti,” katanya di lokasi serbuan di Taman Seri Melati, di sini hari ini.

Ariffin berkata ketika ditahan, pemilik yang berusia 60 tahun itu mengaku selain dua stornya di Taman Desa Bakti, terdapat satu lagi premis miliknya di Taman Seri Melati, lantas pihaknya melakukan serbuan di lokasi berkenaan.

Kesemua barangan tiruan itu dipercayai diperoleh dari luar negara untuk edaran di sekitar Lembah Klang, dengan harga jualan serendah RM10 bagi setiap pasang selipar manakala kasut dijual dengan harga RM45 ke atas.
 
“Kami juga percaya, premis ini beroperasi lebih dua tahun dan pemilik terlibat dengan penjualan kasut ini selama 30 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dikenakan denda serta penjara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 112,105 unit barangan tiruan dianggar bernilai RM4.33 juta disita sejak Januari lalu hingga kini membabitkan 143 kes direkodkan KPDNHEP Kuala Lumpur di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Ariffin berkata pihaknya mengambil tindakan berterusan dalam penguatkuasaan hak harta intelek bagi memastikan ia dilindungi dan dihormati, sekali gus memastikan Malaysia tidak menjadi pusat jualan barang tiruan. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penjualan barangan tiruan diminta mengemukakan aduan dengan melayari portal KPDNHEP menerusi [email protected] atau hubungi pusat panggilan kami di talian 1800 886 800 selain menghantar mesej melalui aplikasi Whatsapp di nombor 019 279 4317,” katanya. 

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP lantik 79 penyelaras kepenggunaan Parlimen

KOTA KINABALU, 8 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melantik 79 Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP) di lapan negeri dan Wilayah Persekutuan bagi membantu masyarakat mengemukakan isu kepenggunaan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya dalam proses melantik PKP bagi kawasan Parlimen di Perak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak.

“Sehingga kini, PKP yang dilantik adalah bagi kawasan Parlimen Sabah dan Labuan, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Daripada jumlah itu, 26 PKP dilantik di Sabah dan Labuan,” katanya pada majlis penyampaian watikah PKP Sabah dan Labuan di sini, hari ini.

Katanya, kementeriannya juga bersetuju mewujudkan jawatan PKP bagi seluruh 222 kawasan Parlimen.

“PKP yang dilantik untuk seorang setiap Parlimen perlu aktif memainkan peranan mereka khususnya sebagai fasilitator bagi membantu masyarakat mengemukakan isu kepenggunaan di peringkat akar umbi kepada kementerian serta jabatan yang lain,” katanya.

Beliau berkata, ini juga memerlukan PKP yang dilantik menguasai dan memperkasakan ilmu kepenggunaan bagi membantu golongan pengguna di kawasan Parlimen masing-masing.

“PKP umpama jambatan penghubung di antara kementerian dan pengguna di luar sana. Untuk itu, PKP perlu menjalinkan kerjasama erat dengan KPDNHEP negeri dan agensi di negeri masing-masing,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 4,000 cermin mata tiruan jenama terkenal disita

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur merampas 4,320 unit cermin mata dan bekas menyimpan cermin mata jenama Ray-Ban yang dipercayai tiruan bernilai RM90,783, dalam serbuan di tiga premis di Wangsa Maju dan Lorong Haji Taib di sini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Azeem Nazuri berkata, operasi yang bermula kira-kira 2.30 petang semalam itu disertai sembilan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur bersama beberapa wakil cap dagang.

“Pasukan serbuan menahan tiga individu berumur lingkungan 20-an hingga 50-an terdiri daripada dua lelaki serta seorang wanita untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Azeem berkata, statistik bagi 2019 setakat hari ini menunjukkan terdapat 82 kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dengan jumlah sitaan sebanyak 60,482 unit bernilai RM2,214,111.

“Sehingga kini, sebanyak 20 tangkapan dibuat membabitkan empat warga tempatan dan 16 warga asing,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

KPDNHEP: Waspada beli barang dalam talian

SUNGAI BULOH, 6 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati ketika membeli barangan dalam talian.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hal itu kerana kes penipuan membabitkan dalam talian semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Katanya, faktor lain berpunca daripada kadar bilangan pendaftaran syarikat e-dagang yang semakin meningkat di negara ini.

“Bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini, pihak kami menerima kira-kira 11,393 kes membabitkan pelbagai aduan daripada masyarakat.

“Malah, daripada jumlah itu, 25.7 peratus adalah aduan berkaitan penipuan transaksi dalam talian iaitu kedua tertinggi selepas aduan harga barang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan ‘1st Student Entrepreneurship Program’ di Kolej Vokasional Sungai Buloh, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha KPDNHEP merangkap Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Datuk Muez Abd Aziz.

Pada masa sama, Saifuddin Nasution turut menasihatkan pembeli supaya berwaspada ketika melakukan transaksi pembayaran sewaktu membeli-belah secara dalam talian.

“Kita ingin menasihatkan pembeli supaya lebih berhati-hati ketika mahu melakukan transaksi pembayaran, baik dengan syarikat atau individu yang menjualnya.

“Bagi mengelakkan menjadi mangsa, pembeli digalakkan menyemak profil dan syarikat penjual terlebih dahulu melalui laman sesawang KPDNHEP serta penjual yang berdaftar mestilah mendapat pensijilan Biztrust,” katanya.

Categories
SELANGOR

SACC Mall terima penarafan Zon Perdagangan Terpilih

SHAH ALAM, 17 JULAI: Shah Alam Convention Centre (SACC) Mall di bawah kendalian PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menerima penarafan Zon Perdagangan Terpilih (ZPT) peringkat Zon Tengah daripada Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, penarafan itu ekoran pusat beli-belah berkenaan mencapai tahap terbaik dalam pematuhan undang-undang yang dikuat kuasakan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, selama tiga tahun berturut-turut.

“Kami sentiasa memastikan peniaga mematuhi undang-undang ditetapkan kerajaan supaya perniagaan di dalam pusat beli-belah milik PREC dapat dijalankan dengan telus dan hak pengguna terpelihara dengan baik daripada disalahguna,” katanya kepada SelangorKini.

Penarafan itu disampaikan Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam majlis yang berlangsung di Sunway Velocity Mall.

Pada masa sama, Fakru Radzi berkata, SACC Mall adalah salah satu daya untuk menggamit perhatian pelancong ke Shah Alam selain Kompleks PKNS Shah Alam yang sentiasa dibanjiri pengunjung terutama ketika bulan puasa.

Katanya, ia juga salah satu faktor penting buat PREC untuk melaksanakan kerja penambahbaikan terhadap aset miliknya supaya mesra pengguna dan terus kekal relevan.

“Pengisian program berimpak tinggi menarik lebih ramai pengunjung ke pusat beli-belah kami seperti ‘PREC Beyblade Battle’ yang akan berlangsung ‪pada 21 Julai‬ ini.

“Selain itu, turut diadakan Pertandingan Teater Peringkat Selangor dengan pembabitan pelajar sekolah rendah dan menengah ‪pada 24 Julai‬ ini,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin Nasution menerusi catatan di Facebook berkata, ZPT adalah sistem penarafan yang diwujudkan KPDNHEP bagi memberi pengiktirafan kepada kompleks perniagaan yang menjalankan perniagaan secara beretika selaras akta dan peraturan dikuatkuasakan kementerian.

Antara penerima penarafan peringkat zon tengah di Selangor adalah Aeon Mall Shah Alam dan Gateaway@KLIA 2, manakala penerima di Wilayah Persekutuan adalah Sunway Velocity Mall, Pavilion dan Suria KLCC serta penerima di Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah Alamanda Shopping Centre.

Categories
NASIONAL

KPDNHEP bangunkan e-dagang, bantu turun harga barang

GEORGE TOWN, 14 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang membangunkan sistem e-dagang dalam usaha mengurangkan harga barangan terutama barang keperluan serta kos sara hidup rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sistem itu sedang dibangunkan oleh pasukan khas di kementeriannya dan beliau sendiri memantau serta meneliti kemajuan pembangunan sistem berkenaan.

“Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) baru-baru ini bersetuju untuk KPDNHEP membangunkan sistem berkenaan bagi menjual barangan keperluan terus kepada pengguna supaya dapat mengurangkan harga barang dan pada masa sama kos sara hidup juga dapat diturunkan.

“Saya tidak dapat maklumkan bila sistem itu dapat diguna pakai kerana sekarang ini pasukan khas sedang membangunkannya dan kita akan buat beberapa percubaan sebelum ia dapat diguna oleh orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ASEAN Product Trade Centre (APTC), di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga banyak belajar daripada sebuah syarikat e-dagang di China ketika beliau mengadakan lawatan kerja ke negeri itu pada Februari lalu dan 20 pegawai tinggi KPDNHEP turut dihantar untuk berkursus selama dua minggu.

Saifuddin Nasution berkata, syarikat itu menjual pelbagai barangan keperluan dan runcit dengan harga yang murah dan pihaknya turut belajar beberapa perkara bagi mengurangkan kos supaya barang dapat dijual dengan harga murah.

Katanya, barangan di negara ini dijual dengan harga yang mahal kerana melalui beberapa lapisan sebelum sampai kepada pengguna.

Terdahulu dalam ucapannya, Saifuddin Nasution berkata, KPDNHEP menyambut baik inisiatif syarikat Suiwah Corporation Berhad mengumpul pengeluar produk di APTC untuk memperluaskan perdagangan mereka ke negara China.

Beliau berkata, APTC adalah tempat untuk mempamerkan produk Malaysia dan akan dikunjungi pedagang dari luar negara terutama China dan secara tidak langsung menjadi pusat sehenti.

“Usaha individu untuk meluaskan peluang perniagaan ke China bukan senang dan mungkin memerlukan sumber serta modal yang lebih jadi usaha dibuat syarikat Suiwah ini harus dipuji kerana mereka bergabung tenaga serta sumber dengan pedagang, pengilang di Malaysia untuk mengadakan APTC,” katanya.

Malaysia juga akan menghantar 2,000 produk untuk dipamerkan di China sempena expo di sana pada September ini dan APTC itu adalah peluang yang baik untuk menarik lebih pedagang serta pengilang untuk memperluaskan perniagaan mereka ke luar negara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Beri masa kerajaan muktamad pelaksanaan subsidi petrol

NIBONG TEBAL, 13 JULAI: Kerajaan meminta rakyat memberikan sedikit masa untuk memuktamadkan mekanisme pelaksanaan sistem subsidi petrol secara bersasar terutama kepada golongan berpendapatan rendah atau B40.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun pelaksanaannya tidak mengikut sasaran pada suku kedua tahun ini seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019, namun pihaknya optimis ia dapat dilaksanakan tahun ini.

Katanya, sepanjang tempoh dari Januari hingga Jun tahun ini, pihaknya mengadakan banyak pertemuan dengan pemegang taruh seperti syarikat minyak, pengusaha stesen minyak, persatuan pengguna, Bank Negara, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan sekretariat yang membina data penerima untuk mencari mekanisme terbaik bagi pelaksanaan sistem terbaharu itu.

“Kami mengambil masa dua suku pertama ini kami penuhkan begitu dan sekarang kami telah pun berjaya siapkannya, tapi prosesnya harus dengan izin ataupun perkenan daripada jemaah menteri. Kami kini sedang menyiapkan kertas jemaah menteri yang merupakan kertas bersama antara KPDNHEP dan Kementerian Kewangan.

“Sekarang kita dah masuk minggu kedua bulan Julai. Saya optimis kita boleh bentangkan (kertas jemaah menteri) dalam bulan ini juga. Bila kita dah selesaikan yang itu dan kita boleh umumkan. Sabar, insyaAllah kita akan umumkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kempen Kesedaran Keselamatan Petroleum di BH Petrol Jawi, di sini hari ini.

Rakyat Malaysia dianggar menggunakan kira-kira 1.2 bilion liter petrol sebulan dengan 90 peratus daripadanya ialah RON95 bersubsidi, manakala selebihnya RON97.

Pada Februari lepas, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 dihadkan pada kadar RM2.08 untuk semua pengguna tanpa mengira kenaikan harga minyak global.

Saifuddin Nasution berkata kertas jemaah menteri itu merangkumi semua perancangan dan mekanisme pelaksaan sistem subsidi petrol secara bersasar itu termasuk garis masa dan jumlah penerima yang diterangkan secara terperinci.

Beliau berkata buat masa ini semuanya berjalan lancar dan pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah dalam penyediaan kertas jemaah menteri itu.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata tahap kesedaran masyarakat terhadap pengendalian bahan petrol dan keselamatan di stesen minyak semakin meningkat selepas pelaksanaan kempen berkenaan.

Beliau berkata perkara itu berdasarkan kepada jumlah kemalangan di stesen minyak yang masih berada pada tahap rendah.

“Tapi itu bukan bermakna kita boleh berpeluk tubuh, ini adalah usaha berterusan. Kita tidak boleh ambil sikap sudah terhantuk baru terngadah, dah kena baru kita nak kesal. Jadi, sekarang kita usahakan dari awal,” katanya.

-BERNAMA