Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Padah jual topeng muka mahal, premis didenda RM10,000

SHAH ALAM, 27 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) baru-baru ini mengenakan kompaun sebanyak RM10,000 kepada sebuah premis di Petaling Jaya yang menjual topeng muka melebihi harga kawalan.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata pemeriksaan ke atas sebuah premis di Bandar Sunway dibuat hasil aduan orang awam, lapor Sinar Harian.

“Siasatan mendapati premis terbabit menjual topeng muka pada harga RM10 sepeket (3 keping) sedangkan harga maksimum yang ditetapkan ialah RM2.40 sepeket (3 keping),” katanya.

Susulan itu, pemilik premis yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun hadir ke pejabat KPDNHEP Petaling Jaya kelmarin untuk membayar kompaun tersebut.

Menjual topeng muka melebihi harga kawalan adalah salah menurut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP minta pengeluar penutup hidung dan mulut tingkat pengeluaran

KULIM, 14 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meminta pengeluar penutup hidung dan mulut tempatan meningkatkan pengeluaran produk itu terutama jenis tiga lapisan dalam usaha memenuhi permintaan orang ramai pada masa ini .

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya menemui lima pemain industri terbesar yang mengeluarkan produk itu berikutan terdapat aduan kekurangan bekalan di pasaran berbanding permintaan yang tinggi susulan jangkitan koronavirus 2019 (Covid-19).

“Setelah mendengar pandangan (pemain) industri, kementerian telah meminta pengeluar meningkatkan pengeluaran …kementerian telah mendapatkan angka berkenaan keupayaan pengeluaran mereka,,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan cawangan pertama kedai serbaneka 99 Speed Mart di Serdang, dekat sini, hari ini.

Bagi tujuan itu, katanya pihaknya telah meminta Kementerian Sumber Manusia meluluskan permohonan tambahan syif operasi bekerja 24 jam supaya kilang berkenaan dapat meningkatkan pengeluaran penutup hidung dan mulut bagi kegunaan orang ramai.

“…sebab mereka pun ada masalah tersendiri misalnya untuk tambah pengeluaran mereka kena tambah syif. Mereka minta saya tolong cakap dengan Kementerian Sumber Manusia supaya mempercepatkan kebenaran kilang tambah syif sebab nak beroperasi 24 jam,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata pihaknya juga akan meminta sejumlah peruntukan daripada Kementerian Kewangan bagi membeli penutup hidung dan muka untuk diagihkan kepada orang ramai namun mekanisme pengagihannya ditentukan kemudian.

Beliau turut menasihatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga penutup hidung dan mulut kerana ia tersenarai sebagai barangan kawalan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP serbu syarikat naik harga 100 peratus pembasmi kuman

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Sebuah syarikat pengeluar cecair pembasmi kuman di Kajang, kira-kira 23 kilometer dari sini, diserbu selepas dipercayai menaikkan harga lebih 100 peratus dalam tempoh kurang dua minggu.

Timbalan Pengarah Pencegahan Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Azman Adam berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang awam berhubung peningkatan harga cecair pembasmi kuman dikeluarkan syarikat berkenaan yang dijual secara dalam talian.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian dilakukan awal bulan lepas di laman sesawang syarikat berkenaan mendapati harga bagi satu pek cecair pembasmi kuman seberat lima liter dijual pada harga RM118 berbanding harga sebelumnya RM112.

“Bagi tempoh dua minggu kemudian, harga produk berkenaan terus meningkat hingga mencecah peningkatan 100 peratus iaitu RM228 yang direkodkan semalam di laman sesawang syarikat terbabit,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Azman berkata pihaknya turut merampas 37 pek cecair pembasmi kuman seberat lima liter setiap satu dianggarkan bernilai RM8,436 dalam serbuan itu.

“Kami memandang serius mengenai peningkatan harga cecair pembasmi kuman kerana permintaan semakin meningkat dalam kalangan pengguna berikutan penularan koronavirus 2019 (Covid-19),” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Harga dan Antipencatutan 2011.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan topeng hidung, mulut cukup – Saifuddin

PUTRAJAYA, 13 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan topeng hidung dan mulut mencukupi untuk keperluan orang ramai dalam mengawal jangkitan Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan akan membeli stok sedia ada sebanyak 400,000 keping topeng hidung dan mulut daripada pengeluar tempatan dan strategi pengedaran kepada orang ramai akan diumumkan kemudian supaya masyarakat tidak melakukan pembelian panik dengan jumlah yang banyak.

“Mereka (pengeluar tempatan) bersetuju (untuk membekal topeng hidung dan mulut) dan kami telah mengenal pasti jumlah topeng yang diperlukan. Saya juga telah memaklumkan kepada Kabinet dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Pada masa sama, kami sedang melihat kepada pilihan lain supaya pengeluar dapat meningkatkan pengeluaran mereka dan kami bersetuju untuk membantu apa sahaja masalah yang mereka hadapi. Jadi, setakat ini, kami bersedia untuk membuat pesanan kepada pengilang sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan,” katanya.

Datuk Seri Saifuddin Nasution. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri sesi dialog antara KPDNHEP dengan pemain industri mengenai impak Covid-19 serta cadangan untuk melegakan situasi itu, di sini hari ini.

Ditanya berapa banyak topeng yang ditempah, Saifuddin berkata: “Kami perlu bergantung kepada kapasiti mereka…sebagai contoh beberapa (pengilang) berkata mereka mempunyai stok sedia sebanyak 400,000 keping dan boleh menghasilkan 200,000 keping sehari, ada yang kata boleh hasilkan 100,000 keping seminggu, ada juga yang boleh sediakan 50,000 keping.

“Beberapa pengilang mengatakan mereka perlukan bantuan kerajaan. Kami akan beri komitmen untuk membantu mereka, tetapi seberapa banyak yang mereka ada kami (kerajaan) bersedia untuk membeli,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata aduan kekurangan topeng hidung dan mulut sebelum ini berpunca daripada permintaan mendadak menyebabkan pasaran domestik menghadapi kekurangan bekalan.

Mengenai tindakan sama ada KPDNHEP akan mengehadkan pembelian cecair pembasmi kuman dan topeng, beliau berkata pembelian secara besar-besaran tidak berlaku di seluruh negara sebaliknya hanya di negeri tertentu.

“Belum sampai masa itu (hadkan pembelian). Saya lebih tumpukan kepada mencukupkan bekalan dengan kerjasama pengeluar yang menyatakan persetujuan dan memberi angka berapa mereka mampu hasilkan,” katanya.

Sementara itu, mengenai sesi dialog bersama pemain industri, Saifuddin Nasution berkata kementerian akan mengambil pandangan dan cadangan mereka untuk dimajukan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerana kerajaan dalam proses merangka satu pakej rangsangan ekonomi yang akan dibentangkan Mac ini.

Beliau berkata perdagangan domestik adalah penyumbang signifikan ekonomi negara khususnya sektor pengedaran dan peruncitan, dan berharap menerusi sesi dialog itu, kerajaan dapat membantu pemain industri dalam melegakan masalah untuk menghadapi cabaran COVID-2019.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kenaikan harga simen – Saifuddin

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Hasil pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas harga simen mendapati tiada kenaikan harga berlaku di peringkat pengilangan simen.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan berkata pemeriksaan itu dibuat berikutan aduan diterima daripada Persatuan Pembina Johor (JMBA) serta melalui media sosial berhubung dakwaan berlakunya kenaikan harga simen dari 20 peratus hingga 50 peratus.

“Bertindak daripada aduan tersebut, Bahagian Penguatkuasa kementerian pantas memulakan siasatan sejak 3 Feb 2020 lagi dengan melawat pengadu, kilang-kilang yang diadu serta mengeluarkan Notis 21 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) kepada pemain industri berkaitan untuk membekalkan maklumat diperlukan pihak kementerian.

“Hasil daripada maklum balas Notis 21 AKHAP 2011 terhadap empat pengilang simen utama berkenaan, didapati tidak berlaku kenaikan harga simen di peringkat pengilangan simen,” katanya.

Beliau berkata serahan Notis Pengesahan Maklumat Barangan dan Notis bertulis di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 telah dikeluarkan KPDNHEP pada tarikh tersebut kepada empat pengilang simen utama iaitu Slag Cement (Southern) Sdn Bhd, Lafarge Cement Sdn Bhd, Holcim (Malaysia) Sdn Bhd dan YTL Perak Hanjoong Simen Sdn Bhd.

Saifuddin berkata berdasarkan perbandingan harga tahun ke tahun yang dibuat terhadap empat kilang terbabit bagi tempoh empat tahun berturut-turut bermula 2017 hingga tahun ini, didapati berlakunya penurunan harga dan kos untuk simen di peringkat pengilang.

Bahagian Penguatkuasa kementerian, katanya, akan menyediakan laporan terperinci berkenaan kenaikan harga simen setelah siasatan lengkap dilakukan di peringkat pemasaran am.

“Dalam mengorak langkah ke hadapan, pemeriksaan akan diteruskan di peringkat pemasaran am bagi mendapatkan butiran atau maklumat lanjut berhubung harga ditawarkan kepada peringkat pengedar,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita tanpa fakta atau bukti yang berasas.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, bukti atau ingin membantu siasatan boleh menghubungi KPDNHEP melalui saluran aduan KPDNHEP iaitu Portal [email protected], pusat panggilan 1800 886 800, emel [email protected], aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245/6088, talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC), WhatsApp 019-279 4317 atau lapor/hadir ke mana-mana 73 pejabat KPDNHEP di seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KPDNHEP kompaun peniaga jual topeng muka mahal

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan 19 kesalahan selepas menjalankan pemantauan ke atas 2,453 premis perniagaan berhubung penjualan topeng muka setakat ini, kata menterinya.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan memaklumkan 16 kes membabitkan jualan melebihi harga maksimum manakala tiga kes tidak mempamerkan tanda harga.

Beliau menegaskan topeng muka (pembedahan/perubatan) merupakan barang harga terkawal di bawah Perintah Kawalan Harga (Barang-Barang Harga Terkawal) 2009 dan Perintah Kawalan Harga (Penetapan Harga Maksimum) (No.2) 2009.

“Ini bermaksud mana-mana penjual yang menjual topeng muka melebihi harga diwartakan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya yang memaklumkan turut mengenakan kompaun RM67,400 dan rampasan berjumlah RM4,343.50 ketika pemantauan.

Beliau berkata pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan mempertingkatkan pemantauan di premis perniagaan yang menjual topeng muka sehingga koronavirus 2019 dapat dibendung bagi menangani sebarang jualan melebihi harga kawalan.

Saifuddin Nasution berkata bagi melindungi pengguna daripada pencatutan berikutan peningkatan permintaan, pegawai penguat kuasa KPDNHEP aktif melakukan pemeriksaan setiap hari di premis perniagaan yang menjual topeng muka seluruh negara mulai 25 Januari lalu.

Harga maksimum topeng muka adalah seperti berikut:-

-Topeng muka 1 ply (ear loop) 100 keping x 1 kotak (RM7 sekotak)
-Topeng muka 2 ply (ear loop) 100 keping x 1 kotak (RM10 sekotak, RM0.20 seunit)
-Topeng muka 3 ply (ear & head loop) 50 keping x 1 kotak (RM0.80 seunit)
-Topeng muka 3 ply (tie-on) 50 keping x 1 kotak (RM0.80 seunit)
-N95 20 keping x 1 kotak (RM6 seunit)

Saifuddin Nasution berharap dengan penegasan kementeriannya itu, peniaga akan terus mematuhi undang-undang berkaitan.

Beliau turut menyeru pengguna untuk peka serta mengadu kepada KPDNHEP melalui mana-mana sembilan saluran aduan kementerian itu termasuk aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317 sekiranya terjumpa sebarang insiden penjualan topeng muka melebihi harga kawalan oleh peniaga.

Katanya, sebarang hasil pemeriksaan dan tindakan yang diambil oleh KPDNHEP berkenaan isu topeng muka akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP pantau pembelian panik rakyat Singapura di Johor

PUTRAJAYA, 10 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan pemantauan di Johor sejak 8 Februari lalu bagi memastikan tiada pembelian panik barangan isi rumah oleh warga Singapura di negeri itu.

Kementerian dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pemeriksaan di sekitar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Kulai dilaksanakan untuk memastikan barang kawalan, makanan dan barangan asas yang lain mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia.

“Sebanyak 604 premis diperiksa oleh KPDNHEP Johor membabitkan 60 pegawai penguat kuasa sepanjang dua hari operasi dijalankan.

“Data yang diterima oleh kementerian daripada pemborong berkaitan stok barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung adalah mencukupi bagi pengguna di Johor,” jelasnya.

Menurut KPDNHEP, pemantauan turut dilaksanakan bagi memastikan tiada aktiviti menyorok barangan kawalan dalam kalangan peruncit dan harga dijual mengikut harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pemantauan itu, jelasnya, dijalankan susulan penularan klip video memaparkan pembelian panik di Singapura selepas kerajaan negara itu menaikkan amaran Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit dari tahap kuning kepada jingga bagi membendung penularan koronavirus 2019 (2019-nCov).

Sementara itu, KPDNHEP Johor menerima 65 aduan berkaitan penjualan penutup hidung dan mulut susulan penularan 2019-nCov.

Menurut kenyataan itu, daripada 187 pemeriksaan yang dijalankan, dua premis menjual barang kawalan tersebut pada harga lebih tinggi dari yang ditetapkan telah dikompaun, masing-masing RM500 dan RM10,000.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP kompaun peniaga naikkan harga topeng muka

KLANG, 6 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun bernilai RM21,700 kepada premis termasuk farmasi yang menaikkan harga topeng muka, kata timbalan ketua setiausahanya.

Dr Alauddin Sidal berkata pemeriksaan sehingga 25 Januari lalu di 1,314 premis seluruh negara dibuat berdasarkan 31 aduan orang ramai.

“KPDNHEP membuka sembilan kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan mengambil tindakan kepada sembilan premis serta merampas topeng muka bernilai RM3,475.50,” katanya selepas melawat kilang pembuatan topeng muka Cross Protection (M) di Jalan Meru hari ini.

Antara topeng muka ditetapkan di bawah kawalan harga AKHAP 2011 ialah:

-Topeng muka (pembedahan/perubatan) satu lapisan gelung telinga RM5 sekotak pada harga borong dan RM7 sekotak pada harga runcit

-Topeng muka (pembedahan/perubatan) dua lapisan gelung telinga RM8 sekotak pada harga borong dan RM10 atau RM 0.20 sen seunit pada harga runcit

-Topeng muka (pembedahan/perubatan) tiga lapisan gelung telinga/gelung kepala RM25 sekotak pada harga borong dan RM0.80 sen seunit pada harga runcit

Sebarang perlanggaran peruntukan akta berkenaan boleh menyebabkan individu didenda hingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun hingga RM50,000.

Syarikat pula boleh didenda hingga RM500,000 atau dikompaun hingga RM250,000.

Categories
NASIONAL

Tindakan tegas terhadap peniaga naik harga tidak munasabah

PUTRAJAYA, 19 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah sempena Tahun Baharu Cina.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementerian tidak akan bertolak ansur dengan pihak melakukan pencatutan atau tidak patuh kepada Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2020.

Rampasan serta tindakan tegas dalam bentuk denda dan/atau penjara juga akan dikenakan, kata beliau dalam satu kenyataan susulan aduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkenaan kenaikan harga sayuran baru-baru ini.

Beliau turut mengingatkan peniaga SHMMP Tahun Baharu Cina 2020 akan berkuat kuasa mulai 20 Januari hingga 2 Februari ini, dengan harga maksimum ditetapkan bagi 16 barangan keperluan utama.

“Lebih 2,300 pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan aktif memantau semua premis peniagaan bagi memastikan kepatuhan dengan SHMMP Tahun Baharu Cina 2020 dan tidak berlaku pencatutan,” katanya.

Saifuddin berkata pegawai penguatkuasa KPDNHEP diarahkan memberi Notis 21 di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 kepada premis menaikkan harga bagi mendapatkan penjelasan mengenai punca kenaikan.

Pengguna juga boleh menyumbang kepada usaha ini dengan melaporkan kepada KPDNHEP melalui mana-mana sembilan saluran aduan termasuk saluran WhatsApp di talian 019-2794317, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ops Catut 6.0: KPDNHEP sasar periksa 1,060 premis

BUKIT MERTAJAM, 8 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan pemeriksaan ke atas 1,060 premis dalam Operasi Antipencatutan 6.0 (Ops Catut 6.0) di seluruh negara bermula hari ini hingga 29 Februari depan.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata operasi itu dijalankan untuk memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan memanipulasikan harga barangan di pasaran.

“(Operasi) dimulakan di Pulau Pinang iaitu di Rex Industry Berhad. Kalau di kilang tidak berlaku pencatutan, kita akan (periksa) di rantaian sehingga ke peringkat runcit sama ada berlaku pencatutan atau tidak,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Ops Catut 6.0, di sini.

Beliau berkata 2,000 pegawai penguat kuasa ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan Ops Catut 6.0 terhadap premis yang disenaraikan dan pihaknya mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

“Sekiranya berlaku pencatutan, tindakan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. (Peniaga) boleh didakwa sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun,” katanya.

Menurutnya, Ops Catut mula dijalankan pada 1 September 2018 selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan dengan 22 kertas siasatan dibuka pada 2018 manakala 118 kertas siasatan dibuka pada 2019.

Sementara itu, Iskandar Halim berkata pihaknya kini giat menjalankan siasatan terhadap kenaikan harga bawang yang melampau susulan kekurangan bekalan makanan itu dari India.

“Kita sedang memantau supaya tiada yang ambil kesempatan. Kita sedang menyiasat penjualan bawang dengan harga tertinggi setakat ini berharga RM24 sekilogram,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Modus operandi baharu jual barang berjenama tiruan di hotel

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Seorang lelaki dan wanita yang sedang leka mengadakan jualan murah barangan berjenama terkenal tiruan ditahan dalam operasi di sebuah hotel di Bangsar di sini petang semalam dan 890 unit pelbagai jenis pakaian berjenama bernilai lebih RM400,000 turut dirampas.

Ketua Seksyen Siasatan Bahagian Penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya Shamsul Nizam Khalil berkata ia antara modus operandi baharu sindiket barangan tiruan yang dikesan mengadakan jualan di hotel untuk meyakinkan orang ramai dan mengaburi pihak berkuasa.

Katanya dalam serbuan oleh KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an menjual barangan seperti kaca mata, topi, skaf dan baju yang menggunakan jenama Gucci, Nike, Versace dan Dior.

“Mereka memperdaya orang ramai kononnya setiap barangan yang dijual diberikan diskaun yang tinggi dan menjualnya dengan harga serendah RM100 sehingga RM2,000 bergantung kepada jenis barang.

“Promosi berhubung jualan murah barangan berjenama di hotel ini kebiasaannya dibuat menerusi laman sosial Facebook,” katanya kepada pemberita di Stor KPDNHEP WPKL di sini, hari ini.

Menurutnya kebiasaannya jualan murah itu diadakan pada hujung minggu atau waktu perayaan.

Sehubungan itu Shamsul Nizam meminta orang ramai supaya berhati-hati apabila membeli barangan berjenama terkenal dan menggalakkan mereka supaya mendapatkannya terus daripada pengedar yang sah.

“Orang ramai boleh membuat laporan sekiranya mengesyaki barangan yang dijual di lokasi tertentu adalah tiruan,” katanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 102(1) (b) Akta Cap Dagangan 2019.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

KPDNHEP Selangor pantau harga barang menjelang Tahun Baharu Cina

SUBANG JAYA, 27 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), sebagai usaha menyekat kenaikan harga barangan menjelang Tahun Baharu Cina.

Timbalan Pengarahnya, Azizan Abdullah berkata langkah itu sekali gus melindungi pengguna daripada peniaga yang mengambil keuntungan berlebihan.

“Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kesesuaian untuk memastikan harga barangan berpatutan kepada pengguna serta peniaga.

“Kementerian akan mengenal pasti barangan yang dikawal bagi pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina dan melaksanakan pemantauan serta pemeriksaan,” katanya pada Majlis Anugerah Syor Pengguna 2019 (2019 Consumer Recommended Award) di Hotel Geno di sini.

Hadir sama, Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Dato’ Paduka Dr Key KV Yeo dan Yang Dipertua MTPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, John Lok.

Pada masa sama, Azizan berkata seramai 197 pegawai penguat kuasa akan memantau dan memeriksa pengilang, pengedar, pemborong serta peruncit di seluruh negeri.

“KPDNHEP Selangor turut bekerjasama dengan pegawai pemantau harga yang merupakan mata dan telinga pihak kami bagi menjalankan pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata kenaikan harga akan dipantau melalui Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatuan 2011 supaya setiap harga selaras dengan peraturan berkenaan.

“Sehubungan itu, saya menyarankan supaya peniaga mengikuti arahan dan beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna mesti mengetahui tanggungjawab dan hak mereka,” katanya.