OLEH ERMIZI MUHAMAD
PUTRAJAYA, 21 MEI: Pentadbiran Putrajaya kekal mempertahankan prinsip pemisahan kuasa eksekutif, legislatif, dan kehakiman, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, prinsip itu selaras keperluan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi tanpa wujudnya campur tangan kerajaan pentadbir, dalam institusi berkenaan.
“Pemisahan ini amat penting. Jika tiada keseimbangan dalam perkara ini, maka akan berlaku sesuatu tidak baik seperti isu yang tidak boleh dihalang dan dibentang.
“Ini sesuatu yang perlu kita ingat bahawa pentadbir menjadi tangan yang terkuat dalam melaksana urusan untuk membangunkan negara.
“Justeru, pentadbir perlu menjadi pentadbir yang baik dan tidak terpesong. Saya yakin, rakyat amat tahu bahawa penjawat awam perlu akur terhadap sistem demokrasi ini.
“Jika tiada pemisahan kuasa ini, maka akan ada satu pihak menguasai tiga bidang kuasa ini, manakala satu pihak itu tidak lagi boleh ditegur walaupun bertentangan dengan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertemuan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Putra, Bangunan Perdana Putra, pagi ini.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Terdahulu, ia adalah pertemuan kali pertama Tun Dr Mahathir dengan kakitangan JPM selepas dilantik semula menerajui kepimpinan tertinggi negara.
Terdahulu, Tun Dr Mahathir yang tiba tepat jam 8.25 pagi disambut tepukan gemuruh lebih 500 kakitangan JPM.
Pada masa sama, Tun Dr Mahathir berkata, pentadbiran Kerajaan Malaysia optimis dapat mengembalikan kegemilangan pentadbiran negara.
“Kita menghadapi masalah penyelesaian hutang yang meningkat sehingga trilion Ringgit Malaysia. Ini tidak pernah berlaku, di Malaysia.
“Bagaimana hendak menyelesaikan hutang ini bergantung kepada usaha dan daya fikir kita untuk mengatasi masalah ini.
“Untuk itu, kita perlukan pembabitan wakil rakyat dan pentadbiran yang tidak melakukan sesuatu perkara bertentangan dengan undang-undang,” katanya.