Categories
NASIONAL SELANGOR

‘Listen, Listen, Listen’ jadi gelombang kebangkitan Pro-M di UUM

Safwan Anang pilihanraya kampus

SHAH ALAM 30 OKT : Gelombang ‘Listen, listen, listen’ menjadi antara penyebab suara kebangkitan mahasiswa di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Pilihan Raya Kampus (PRK) pada kali ini apabila Pro Mahasiswa berjaya memperolehi 13 kerusi.

Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang, berkata peningkatan peratusan pelajar yang keluar mengundi dalam pilihan raya kampus itu merupakan petanda baik bahawa kesedaran mahasiswa untuk menunaikan hak dan tangggungjawab mereka adalah tinggi.

“Sudah bertahun-tahun kita kalah besar di Utara itu, dan pada tahun ini ia memberikan gambaran positif bahawa mahasiswa sedar, cuma mereka masih tersepit dengan pelbagai kekangan dan halangan.

“Rupanya dalam diam, mahasiswa UUM bangkit dan kebangkitan ini juga disebabkan oleh gelombang media sosial yang memainkan peranan penting kepada kesedaran mahasiswa,” kata Safwan ketika dihubungi TVSelangor.

Aktivis siswa, KS Bawani, yang meraih populariti melalui video ‘Listen, listen, listen’ di Internet, turut memenangi salah satu kerusi dalam pemilihan majlis perwakilan mahasiswa di UUM.

Pemilihan tersebut dilihat sebagai pertandingan paling sengit di kampus berkenaan apabila 13 calon pro-Mahasiswa berjaya merebut kerusi MPP.

Kumpulan calon pro-Aspirasi pula mendapat kelebihan dua kerusi ? 15 daripada keseluruhan 36 yang dipertandingkan.

Satu lagi kumpulan, dikenali dengan nama Hijrah, memenangi enam kerusi manakala dua lagi kerusi dimenangi calon bebas.

Kumpulan pro-Aspirasi hampir membolot keseluruhan kerusi dalam pertandingan pada tahun lalu di UUM, dengan menguasai 34 dari keseluruhan 36 kerusi.

PRK UUM Safwan Anang