Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Raja Muda Kedah bakal dimasyhur Pro-Canselor UUM

ALOR SETAR, 5 NOV: Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin akan dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang baharu, pada Istiadat Konvokesyen ke-31 universiti itu, di Dewan Mu’adzam Shah, Sintok, pada 11 November ini.

Naib Canselornya, Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, pada sesi itu juga, UUM akan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) (Pengurusan Logistik) kepada Pengarah Urusan dan Ketua Pengarah Eksekutif PKT Logistic Group Sdn Bhd, Datuk Micheal Tio.

Beliau berkata, Sultan Kedah merangkap Canselor UUM, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menyampaikan ijazah kehormat berkenaan pada sesi pertama sidang konvokesyen berkenaan.

Katanya, pada konvokesyen kali ini, seramai 6,156 graduan bakal menerima ijazah masing-masing bermula 11 hingga 15 November ini.

“Seramai 4,726 adalah graduan Sarjana Muda, manakala 1,430 graduan pasca siswazah terdiri daripada 326 Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan (tujuh), Doktor Pentadbiran Perniagaan (14) dan 1,083 graduan Ijazah Sarjana.

“Seramai 688 graduan mendapat ijazah kelas pertama dan 510 graduan bukan warganegara daripada 26 negara berjaya menamatkan pengajian kali ini,” katanya lapor BERNAMA.

Ahmad Bashawir berkata, ia turut membabitkan 44 graduan sulung daripada tiga program iaitu Sarjana Muda Pengurusan Acara seramai tiga graduan, Sarjana Sains (Analisis Data) (lima) dan Sarjana Sains (Kepengetuaan) (36) bakal menerima ijazah.

“Sebanyak 35 anugerah akan diberikan kepada 748 graduan dengan seorang graduan akan menerima Pingat Emas Canselor, dua graduan menerima Anugerah Pelajar DiRaja dan 41 graduan menerima Pingat Emas Naib Canselor,” katanya.

Sempena konvokesyen itu, UUM juga menganjurkan ekspo bertemakan ‘Ilmu, Budi, Bakti: Tonggak Pendidikan Keinsanan’ bermula 8 hingga 15 November ini dengan 130 gerai menjual pelbagai barangan.

Perasmian ekspo yang akan diadakan di padang kawad universiti itu akan disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, pada 9 November ini.

Categories
NASIONAL

UUM patut tumpu misi pendidikan bukan jadi ‘pengendali’ hotel

SHAH ALAM 26 JULAI: KEADILAN kecewa dan terkejut dengan laporan media memetik kenyataan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Mohamed Mustafa Isak bahawa UUM akan mengambil alih beberapa hotel di Lembah Klang dan Pulau Pinang bagi menjana pendapatan universiti itu.

Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin, berkata universiti tidak patut ditukarkan kedudukannya untuk menjadi pengendali hotel sementara tidak patut hilang tumpuan dan menyimpang daripada objektifnya sebagai institusi pendidikan.

“Mengapakah sesebuah universiti awam perlu menceburkan diri dalam perniagaan untuk menjana pendapatan sendiri?

UUM_01b“Bukankah universiti awam dibiayai pihak kerajaan sementara mengutip pelbagai jenis yuran daripada penuntutnya?,” soal Tze Tzin dalam kenyataan medianya.

Katanya, peranan universiti ialah pendidikan dan bukannya perniagaan.

“Dalam kes UUM, ingin kami tanya berapakah dana diperuntukkan kerajaan sepatutnya digunakan untuk tujuan pendidikan universiti digunakan untuk pelaburan oleh UUM?,” katanya.

Beliau berkata UUM perlu mengambil iktibar terdapat banyak perniagaan ditadbir badan kerajaan tidak berjaya.

Katanya, umpamanya Perwaja dalam industri besi keluli, Proton dalam industri kereta, MAS dalam sektor penerbangan, dan yang terkini 1MDB.

“Adakah UUM terdesak untuk mencari sumber kewangan akibat pemotongan bajet sehingga perlu membuat pelaburan yang sangat berisiko tinggi?

“KEADILAN sebelum ini menyeru kerajaan agar tidak memotong peruntukan kepada IPTA tetapi seruan itu langsung tidak diendahkan,” katanya.

Sim Tze berkata Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengalami potongan bajet melebihi RM1.4 bilion atau 16.5 peratus berbanding dengan tahun sebelum ini.

Katanya, peruntukan kepada UUM dipotong hampir 20 peratus pada 2016 berbanding tahun lepas, walaupun bilangan penuntut di UUM bertambah tujuh peratus dalam tempoh sama.

“Pemotongan peruntukan IPTA keputusan tidak bijak kerana menjejaskan kualiti pendidikan tinggi dan kini terbukti apabila sumber dan masa yang boleh digunakan untuk memperkasakan pendidikan dijuruskan ke bidang perniagaan,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

‘Listen, Listen, Listen’ jadi gelombang kebangkitan Pro-M di UUM

Safwan Anang pilihanraya kampus

SHAH ALAM 30 OKT : Gelombang ‘Listen, listen, listen’ menjadi antara penyebab suara kebangkitan mahasiswa di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Pilihan Raya Kampus (PRK) pada kali ini apabila Pro Mahasiswa berjaya memperolehi 13 kerusi.

Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang, berkata peningkatan peratusan pelajar yang keluar mengundi dalam pilihan raya kampus itu merupakan petanda baik bahawa kesedaran mahasiswa untuk menunaikan hak dan tangggungjawab mereka adalah tinggi.

“Sudah bertahun-tahun kita kalah besar di Utara itu, dan pada tahun ini ia memberikan gambaran positif bahawa mahasiswa sedar, cuma mereka masih tersepit dengan pelbagai kekangan dan halangan.

“Rupanya dalam diam, mahasiswa UUM bangkit dan kebangkitan ini juga disebabkan oleh gelombang media sosial yang memainkan peranan penting kepada kesedaran mahasiswa,” kata Safwan ketika dihubungi TVSelangor.

Aktivis siswa, KS Bawani, yang meraih populariti melalui video ‘Listen, listen, listen’ di Internet, turut memenangi salah satu kerusi dalam pemilihan majlis perwakilan mahasiswa di UUM.

Pemilihan tersebut dilihat sebagai pertandingan paling sengit di kampus berkenaan apabila 13 calon pro-Mahasiswa berjaya merebut kerusi MPP.

Kumpulan calon pro-Aspirasi pula mendapat kelebihan dua kerusi ? 15 daripada keseluruhan 36 yang dipertandingkan.

Satu lagi kumpulan, dikenali dengan nama Hijrah, memenangi enam kerusi manakala dua lagi kerusi dimenangi calon bebas.

Kumpulan pro-Aspirasi hampir membolot keseluruhan kerusi dalam pertandingan pada tahun lalu di UUM, dengan menguasai 34 dari keseluruhan 36 kerusi.

PRK UUM Safwan Anang

Categories
NASIONAL SELANGOR

Forum Kebebasan Akademik : 12,000 Saksi Siaran Langsung di TV Selangor

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

KUALA LUMPUR 23 JAN : Lebih 12,000 penonton menyaksikan siaran langsung secara dalam talian Forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi dipancarkan TV Selangor dari Dewan Perhimpuan Cina di sini malam tadi.

Jumlah dicatatkan adalah memberangsangkan kerana penonton selain Malaysia, adalah dari seluruh dunia seperti Brunei, Singapura, Britain, Arab Saudi, Switzerland dan yang lain.

Forum berlangsung lebih empat jam itu menampilkan panelis terdiri dari Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari, Dr Maszlee Malik dan pelajar undang-undang Univerisiti Utara Malaysia (UUM) KS Bawani serta moderator, Muhammad Kamil Abdul Munim dari Univerisiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Forum anjuran Kumpulan Anak Muda Indipenden (Kami) dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) juga berjaya dengan lebih 200 penonton hadir menyaksikannya.

Forum kebebasan akademik berkenaan dianjurkan bagi memberi penjelasan berkenaan insiden yang membabitkan Bawani dinafikan hak untuk bersuara oleh Presiden Suara Wanita 1Malaysia, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin dalam satu forum di Universiti Utara Malaysia(UUM) pada 8 Januari lalu.

Categories
NASIONAL

‘Saya Tidak Biadap Tetapi Hanya Minta Beri Pendapat’

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 04

KUALA LUMPUR 23 JAN : Aktivis Pelajar, KS Bawani menafikan bersikap biadap sewaktu forum di Universiti Utara Malaysia(UUM) pada 8 Januari lalu sebaliknya hanya mahu memberi pendapat berhubung pendidikan percuma.

Pelajar Undang-undang UUM itu berkata, pendapat diberikan selepas Presiden Suara Wanita 1Malaysia, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin melontarkan pertanyaan seandainya terdapat solusi mengenainya.

“Dalam masa isu PTPTN itu Puan Sharifah ada tanya, mansuh PTPTN ada solusi ke? Jadi saya angkat tangan kerana saya ada pendapat saya,” katanya yang merupakan Penyelaras Gabungan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) dalam Forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi di Dewan Perhimpunan Cina di sini malam tadi.

Tambahnya, dia hanya bertindak menyatakan pendapat selepas tidak diberi peluang semasa sesi soal jawab.

Dakwanya, sesi soal jawab yang sepatutnya berlangsung dalam beberapa peringkat seperti disingkatkan oleh penganjur.

“Ramai yang kata saya biadap tetapi saya tidak diberi peluang masa sesi soal jawab. Jadi saya nyatakan pendapat saya selepas itu dengan pergi ke pembesar suara.

“Saya pun tidak faham kerana forum itu ada bacaan ikrar kerana saya sudah banyak hadiri forum tetapi tak pernah diminta untuk baca ikrar,” katanya.

Forum tersebut juga disifatkan sebagai medan bagi ‘brainwash’ mahasiwa kerana katanya, ketika memperkatakan tajuk “Wanita Dan Politik” banyak dipaparkan video demo Bersih dan gambar protes PTPTN mahasiswa di Dataran Merdeka.

“Ditunjukkan Nurul Izzah dengan isu kebebasan agama dan Datuk S Ambiga dikatakan sebagai pencetus anarki negara.

“Forum semuanya memaparkan tentang pembangkang. Walaupun mereka tak menyatakan parti politik mana tetapi secara langsung kita boleh lihat sendiri. Isunya berkaitan satu pihak iaitu pembangkang,” katanya.

Categories
NASIONAL

‘Saya Bukan Hero, Saya Cuma Mahu Rakyat Dapat Pendidikan Percuma’

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 03

KUALA LUMPUR 18 JAN : Pendidikan adalah hak setiap rakyat sama seperti tempat tinggal dan makanan dan saya juga bukan hero yang perlu disanjung tinggi kerana saya percaya ramai lagi pejuang yang melakukan pelbagai usaha, lebih hebat dari saya demi rakyat, ungkap KS Bawani dengan rendah diri.

Bawani yang kini menuntut di tahun kedua jurusan Undang-undang di Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima pelbagai sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat atas keberaniannya menyuarakan idea pendidikan percuma dalam satu forum.

Rakaman forum tersebut menyaksikan bagaimana hujah Bawani dimatikan oleh tindakan moderator forum, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin yang bertindak menarik mikrofon di hadapan Bawani yang sedang menyampaikan hujah-hujahnya.

Susulan insiden itu, beliau kini menjadi sebutan dan diangkat sebagai ikon mahasiswa yang dilihat berani dalam menyuarakan pandangan yang nyata bertentangan dengan polisi kerajaan pemerintah.

“Jangan pandang saya seolah-olah saya di langit kerana saya hanyalah insan kerdil yang hanya bersuara untuk menuntut keadilan buat semua.

“Saya yakin Malaysia mampu memberikan pendidikan percuma sepertimana yang dlaksanakan negara-negara seperti Cuba, Brazil, Argentina yang mempunyai pendapatan negara kurang daripada Malaysia.

“Pendidikan bukanlah satu bentuk perniagaan, komoditi atau barangan untuk dijual beli, ia adalah hak setiap insan,” tegas Bawani.

Beliau yang turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Psikologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menghadiri sidang media anjuran pertubuhan yang dinaunginya sendiri, Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di sini pagi tadi.

Menurutnya lagi, mahasiswa perlu dibebaskan daripada kepompong pemerintah atau kerajaan bagi menjamin hak mahasiswa dalam menyuarakan pandangan serta idea baru demi kemajuan negara sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Ia perlu dilaksanakan dalam kehidupan sehari-hari kita dan bukan sekadar di atas kertas sahaja.

“Pihak universiti juga perlu neutral dan bebas tanpa diselimuti usaha-usaha ‘brainwash’ pihak tertentu.

“Biarkan mahasiswa sendiri menilai mana baik, mana buruk,” ujar Bawani.

Berusia 28 tahun, Bawani begitu konsisten dalam perjuangannya malah begitu aktif dalam pergerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperjuangkan hak rakyat sejak berusia belasan tahun lagi.

Sejak terlibat dalam NGO seperti Communication Development Center (CDC); iaitu sayap utama Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada usia 19 tahun lagi, Bawani secara aktif memberi kelas tambahan secara percuma di estet-estet dan kampung-kampung.

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 02

Categories
NASIONAL

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 01

KUALA LUMPUR 18 JAN : Kumpulan mahasiswa daripada seluruh tanah air hari ini menyatakan sokongan terhadap KS Bawani yang semakin dikenali ekoran satu rakaman video petikan forum ‘Seiringkah Mahasiswa dan Politik?’ di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini pagi tadi, pelbagai wakil kumpulan mahasiswa memenuhi ruang sidang media ‘Solidariti Mahasiswa Bersama Bawani’ anjuran Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) bagi menzahirkan sokongan padu terhadap pelajar tahun kedua jurusan Undang-undang UUM itu.

“Kami mengucap tahniah kepada saudari Bawani atas semangat sosialismenya yang tinggi dalam menentang budaya pembodohan yang dibentuk rejim kerajaan di pusat-pusat pengajian tinggi sejak sekian lama.

“Semangat beliau juga kita anggap sebagai salah satu pencetus kebangkitan rakyat secara seluruhnya untuk melawan kezaliman dan penindasan rejim,” ujar seorang aktivis mahasiswa, Khalid Ismath dalam ucapan solidaritinya pagi tadi.

Sementara itu, wakil Malaysia Youth and Student Democratic Movement (DEMA), Lee Kok Wai menuntut Presiden Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin memohon maaf secara terbuka kepada Bawani atas tindakannya merampas hak bersuara Bawani sebagai seorang mahasiswa.

“Kami menuntut beliau memohon maaf atas sikap sombong dan angkuhnya itu.

“Kami juga berharap agar mahasiswa seluruh negara mempunyai semangat yang sama seperti Bawani untuk menentang budaya ‘dengar’ ini,” jelas Kok Wai.

Bagaimanapun, Bawani dalam ucapannya berkata, secara peribadi beliau tidak pernah berniat menuntut sebarang permohonan maaf daripada Sharifah, malah beliau meminta agar komen-komen negatif terhadap Sharifah dihentikan.

“Ini bukan isu Bawani, bukan isu Sharifah dan saya minta tolong jangan kaitkan dengan isu perkauman pula.

“Sebaliknya, kita perlu bersatu untuk memperjuangkan isu yang lebih penting iaitu isu pendidikan percuma dan hak mahasiswa dalam bersuara,” tegas gadis yang turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Psikologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.

Baru-baru ini, warga maya khususnya dihidangkan dengan rakaman forum tersebut yang jelas menunjukkan Bawani dinafikan hak untuk bersuara serta menyatakan pandangannya ekoran tindakan kurang matang diperlihatkan Sharifah Zohra yang bertindak selaku moderator forum.

Susulan pendedahan rakaman itu, Sharifah Zohra menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk daripada Umno-BN sendiri yang menyifatkan tindakannya itu sebagai keterlaluan.

Sebaliknya, Bawani diangkat sebagai ikon mahasiswa, seterusnya menerima ribuan ucapan tahniah serta solidariti atas keberaniannya berhujah mengenai pendidikan percuma dalam forum anjuran bersama SW1M, yang dilihat sebagai satu bentuk program ‘brainwash’ golongan mahasiswa.

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 04 Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 05

Categories
NASIONAL

SAMM Anjur Forum, Tampilkan Sharifah Zohra, Bawani Sebagai Panelis

logo SAMM

SHAH ALAM, 16 JAN: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah menjemput Presiden Suara Wanita Satu Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen dan mahasiswi Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani ke satu forum bertajuk ‘Kebebasan Akedemik dan Hak Asasi.’

Forum yang akan diadakan pada jam 22 Januari, 8.30 malam itu akan dilangsungkan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur.

Selain itu, turut dijemput sebagai panelis forum tersebut, Pensyarah Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik.

Menurut pengarah segmentasi mahasiswa SAMM Wan Noor Farel Azli Wan Haron jemputan kepada ketiga-tiga panelis terbabit telah pun dihantar.

“Walaupun tidak setuju dengan pemikiran Zohra yang menghalau orang yang tidak setuju dengan regim penguasa BN agar keluar dari negara ini, namun SAMM merasakan perlunya Zohra diberi ruang untuk muncul secara waras dan teratur.

?(Ini) bagi menyatakan apa sebenarnya yang berlaku dan memberi ruang beliau menyatakan pendapat.

“Situasi negatif ini harus diambil kesempatan oleh anak muda untuk menjadikannya pertembungan pendapat yang positif berasaskan fakta dan ilmu,” menurut Wan Noor Farel Azli dalam satu kenyataan hari ini.

Sharifah Zohra dikritik hebat apabila beliau cuba menghalang Bawani daripada bercakap di dalam satu forum UUM bertajuk “Seiringkah Mahasiswa dan Politik?”

Dalam forum itu Sharifah Zohra cuba memaksa Bawani untuk berhenti berhujah apabila Bawani menyebut tentang gerakan BERSIH 2.0 dan isu pendidikan percuma.

Apabila Bawani tidak menendahkannya, Sharifah Zohra mengarahkan Bawani supaya berhenti berhujah dengan berkata “listen.., listen.., listen…” hampir sepuluh kali.

Sharifah Zohra turut mencapai pembesar suara dan menjauhkan dari Bawani yang tidak sempat menghabiskan hujahnya.

Sharifah Zohra juga dikatakan berkata dalam forum sama, bahawa binatang juga sama seperti manusia, turut mempunyai masalah.

Insiden tersebut menarik perhatian pelayar internet dalam dan luar negara dan mengundang pelbagai kecaman terhadap Sharifah Zohra.

Dilaporkan bahawa laman facebook milik Sharifah Zohra dihujani dengan pelbagai kritikan yang mengata beliau tidak berani berdebat secara terbuka dan sihat.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Jamin Terus Beri Air Percuma

SHAH ALAM, 29 OGOS : Kerajaan Negeri memberi jaminan akan meneruskan pemberian air percuma kepada rakyat di negeri ini sekiranya Pakatan Rakyat (PR) diberi mandat untuk terus memerintah Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri memiliki rizab simpanan tunai yang mencukupi malah meningkat sehingga RM2.1 bilion pada suku kedua tahun ini, berbanding RM1.9 bilion sebelumnya.

Kenyataan Abdul Khalid itu sekaligus menyangkal dakwaan Pensyarah Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia(UUM), Prof Amir Baharuddin yang mengatakan Selangor bakal berdepan defisit serius sekiranya meneruskan dasar pemberian air percuma kerana tidak mempunyai sumber pendapatan yang banyak untuk menanggung kos operasi dan penyelenggaraan air di negeri itu.

“Ada juga ahli akademik yang tidak pandai mengira. Apa yang penting ialah rakyat melihat apa yang sudah dilaksanakan Kerajaan Negeri baik dari segi pemberian air percuma, peningkatan rizab negeri dan keupayaan melaksanakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini.

Dakwanya lagi, Kerajaan Negeri tidak mempunyai kewangan daripada cukai pendapatan atau korporat, sebaliknya bergantung kepada kutipan cukai tanah dan pintu yang sememangnya tidak dapat membiayai bekalan air percuma bagi tempoh jangka panjang.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut menolak kenyataan Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang mengatakan tiada kenaikan tarif air sekiranya projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 siap.

Beliau berkata, Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air masih gagal memahami isu pembinaan Langat 2 yang sememangnya memerlukan dana yang besar untuk dilaksanakan.

Katanya, dana itu perlu dibayar sama ada melalui kutipan cukai atau kos tarif yang akan disalurkan untuk pelaksanaan projek tersebut.

“Tiada apa yang percuma walaupun dia memberi geran kepada Negeri Selangor. Ini kerana geran itu adalah hasil daripada kutipan cukai rakyat. Maknanya kita sudah bayar kepada Kerajaan Pusat lebih awal.

“Kenyataan Chin itu melihatkan beliau sebenarnya kurang faham tentang penggunaan belanjawan negara. Sebab itulah beliau tidak dilantik menjadi Menteri Kewangan,” sindir Abdul Khalid.

Categories
NASIONAL

Mukriz Calon MB, Bukti Umno Kedah Lemah

SHAH ALAM 26 JULAI : Kajian Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menyatakan bahawa anak mantan Perdana Menteri, Datuk Mukhriz Mahathir merupakan pilihan ramai sebagai bakal calon Menteri Besar Kedah menampakkan pergolakan di antara pemimpin Umno-BN di negeri berkenaan.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah, Mohd Nasir Zakaria berkata kajian yang dibentangkan oleh Prof Madya Dr Rohana Yusof dari UUM itu menunjukkan Umno-BN tidak mempunyai seorang nakhoda yang kuat sehinggakan Mukhriz dipilih.

Katanya, ia menunjukkan isyarat dari kajian itu membuktikan bahawa pimpinan Umno-BN negeri yang sedia ada tidak mampu dan lemah untuk mengemudi atau mengendalikan pentadbiran negeri.

“Beliau (Mukhriz) bukan Adun. Pada masa yang sama, Ketua Pembangkang Datuk Seri Mahdzir Khalid pula tiada ada apa, paling rendah.

“Begitu juga dengan Ketua Perhubungannya, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang tidak mendapat sokongan dalam kumpulan mereka. Itu satu perbandingan dalaman bagi Umno-BN sendiri,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Kajian itu dibuat membandingkan siapa yang menjadi pilihan rakyat Kedah di antara Mukhriz dan tiga lagi pemimpin Umno-BN Kedah iaitu Ketua Perhubungan, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, Ketua Penerangan, Datuk Seri Mohd Jamil Khir Baharom dan Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mengulas lanjut berkenaan janji Pakatan Rakyat, Nasir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata sebanyak 80 peratus janji itu sudah ditunaikan dalam tempoh empat tahun pentadbiran Pakatan.

“Di Kedah, kita sudah menunaikan 80 peratus janji kita. Malah tiada dalam manifesto turut dilaksanakan,” katanya.

Jelasnya, ia satu pencapaian yang luar biasa walaupun negeri menghadapi kekangan kewangan dan dibebani hutang yang ditinggalkan oleh pentadbiran Umno-BN sebelum itu.

“Walaubagaimanapun, ia satu cabaran bagi kita, kita akan mencuba melaksanakan janji yang masih belum ditunaikan dan kita juga akan persiapkan jentera kita untuk menghadapi PRU-13 akan datang,” katanya.