Categories
NASIONAL SELANGOR

FOMCA : Kenapa RON 97 lebih murah daripada RON 95 ?

fomca ron97SHAH ALAM 4 SEPT : Kerajaan perlu memberikan penjelasan kepada rakyat berkenaan harga Petrol RON 97 yang lebih murah berbanding RON 95, tegas Kumpulan Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA).

Menurut Pengarah Komunikasinya, Mohd Yusof Abdul Rahman, rakyat keliru keadaan itu berlaku kerana harga RON 95 sepatutnya lebih murah jika kerajaan serius untuk membantu rakyat berpendapatan rendah dalam pemberian subsidi bahan api itu.

“Keadaan itu menunjukkan kerajaan tidak telus dalam penstrukturan subsidinya,” kata Mohd Yusof ketika dihubungi TVSelangor.

Sebelum ini, Harga bagi RON95 selepas dinaikkan sebanyak RM0.20 sen ialah RM2.10 seliter dicampur dengan subsidi sebanyak RM0.63 sen seliter, jadi jumlah harganya ialah RM2.73 seliter.

Manakala RON97 pula berharga RM2.70 seliter lebih berkualiti tapi lebih murah sebanyak RM0.03 seliter yang akan menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM0.03 bagi seliter minyak diberikan subsidi.

Mohd Yusof berkata, tindakan kerajaan BN menaikkan harga sebanyak RM0.20 sen secara mendadak menyebabkan kesan rantaian kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang tinggi sehingga menjejaskan kos sara hidup rakyat.

Katanya, kerajaan boleh melakukan secara berperingkat pada waktu tertentu agar kesannya tidak terlalu besar kepada kehidupan rakya.

Tambah beliau, cadangan kerajaan memperkenalkan semula penggunaan RON92 adalah tindakan terkebelakang kerana jenis RON itu mempunyai kesan negatif terhadap alam sekitar.

“Kerajaan perlu mengekalkan RON 95 dengan cara kerajaan mengambil langkah untuk mencari jalan penyelesaian agar harganya tidak menyusahkan rakyat memandangkan bahan bakar tersebut digunakan oleh kenderaan dari golongan berpendapatan rendah,” kata beliau.-mza

Categories
SELANGOR

Kenaikan RON 95 jadi punca rantaian harga barang lain naik – Fomca

minyak-naik

SHAH ALAM, 3 SEPTEMBER – Tindakan kerajaan BN menaikkan harga minyak bakal menghimpit kehidupan rakyat lantaran ia memberi kesan kepada rantaian kenaikan harga barangan keperluan harian.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata situasi sama berlaku pada 2010 apabila kerajaan menaikkan harga minyak.

“Sebelum ini pun apabila berlaku apa sahaja kenaikan harga, memang memberi kesan kepada rantaian kenaikan harga barang.

“Setiap orang tidak boleh lari dari menerima kesan kenaikan harga barangan. Ini setiap golongan akan merasai,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Sekalipun pernah berjanji tiada kenaikan petrol selepas PRU 13, kerajaan BN menaikkan harga  RON95 dan diesel sebanyak 20 sen menjadikan harganya mencecah RM2.10 dan RM2.00 seliter mulai hari ini.

Mohd Yusof berkata, golongan berpendapatan rendah mengalami kesan lebih buruk berikutan mereka berdepan peningkatan kos sara hidup dengan ketara.

“Kenaikan ini bermakna pendapatan boleh guna rakyat semakin berkurang. Pastinya menyebabkan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Bagi mengekang kenaikan harga barangan lain, beliau berkata, kerajaan perlu memastikan tiada monopoli pihak tertentu untuk menaikkan harga barangan lain sewenang-wenangnya.

– FZL