Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia terus catat kenaikan

NEW YORK 24 MEI: Harga minyak meningkat lagi semalam, susulan jangkaan pengurangan bekalan yang akan dilanjutkan dan prestasi Wall Street yang ditutup tinggi.

Perniagaan merentasi zon Euro berada pada tahap paling kukuh sejak tahun 2011, menurut IHS Markit bagi bulan Mei, lapor REUTERS.

Ia sepadan dengan bacaan yang dicatatkan bulan lalu iaitu sebanyak 56.8, yang tertinggi sejak April 2011.

Bacaan mengatasi nilai 50 menunjukkan berlakunya pertumbuhan. Menurut Ketua Ekonomi Perniagaannya, Chris Williamson ia adalah hasil yang baik.

“Kita dapat mengesan kadar pertumbuhan yang baik di sini. Kejayaan kita mengekalkan paras tinggi ini pada bulan Mei adalah berita baik bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku kedua,” katanya.

Harga minyak agak tidak menentu dalam dagangan semalam berikutan jangkaan lanjutan pengurangan bekalan oleh pengeluar OPEC dan sekutunya.

Kejatuhan dalam inventori minyak mentah AS juga mengimbangi cadangan Rumah Putih untuk menjual sebahagian daripada rizab petroleum negara itu.

Niaga hadapan minyak mentah AS ditutup pada AS$51.47 setong, naik 34 cents atau 66 peratus. Minyak mentah Brent ditutup pada AS$54.19, naik 0.59 peratus.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Minyak naik, rumah jadi mahal tapi subsidi kroni tak dipotong

rafizi-pc-white-stripes-03

SHAH ALAM 6 SEPT: Kenaikan harga rumah yang heboh di kalangan rakyat, adalah rentetan kesempitan rakyat yang bertambah selepas kenaikan harga minyak, kata Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Pandan itu, berkata pasti pembekal bahan binaan dan pemaju terpaksa mengambil langkah menaikkan harga rumah, selain faktor pertambahan kos tenaga buruh.

Beliau juga percaya ada syarikat yang menaikkan harga demi kelangsungan perniagaan ataupun ‘tumpang sekaki’ mengambil kesempatan.

The Star yang memetik Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Datuk Seri Michael Yam Kong Choy, melaporkan peningkatan harga minyak dijangka turut menyumbang kepada peningkatan harga rumah sehingga 10 peratus.

Bagi mengelak masalah itu, Rafizi berkata, kerajaan perlu memotong subsidi kepada syarikat kroni sebelum meletakkan beban kewangan itu kepada rakyat.

“Potong subsidi korporat, kurangkan bayaran dan juga kurangkan insentif yang dibayar kepada syarikat besar, kebanyakan mereka ini kroni.

“Kecualilah kalau semua perkara ini sudah dibuat dan tidak ada pilihan, maka barulah kita boleh bercakap tentang harga minyak.

“Kalau tidak naikkan harga minyak tanpa kira berapa banyak wang dihabiskan untuk subsidi korporat, kesannya seperti yang berlaku sekarang (kenaikan harga),” katanya kepada TV Selangor.

Beliau berkata, kesukaran memiliki rumah menghantui golongan muda, aoatah lagi mereka dikejar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Betapa terpisahnya menteri dari realiti apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malik kata hanya 0.1 peratus sahaja harga barang akan naik.

“Tidak betul. Yang betul memahami keadaan adalah rakyat. Setiap kali harga minyak naik, rakyat merasai bebannya dengan semua harga barangan lain,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kenaikan RON 95 jadi punca rantaian harga barang lain naik – Fomca

minyak-naik

SHAH ALAM, 3 SEPTEMBER – Tindakan kerajaan BN menaikkan harga minyak bakal menghimpit kehidupan rakyat lantaran ia memberi kesan kepada rantaian kenaikan harga barangan keperluan harian.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata situasi sama berlaku pada 2010 apabila kerajaan menaikkan harga minyak.

“Sebelum ini pun apabila berlaku apa sahaja kenaikan harga, memang memberi kesan kepada rantaian kenaikan harga barang.

“Setiap orang tidak boleh lari dari menerima kesan kenaikan harga barangan. Ini setiap golongan akan merasai,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Sekalipun pernah berjanji tiada kenaikan petrol selepas PRU 13, kerajaan BN menaikkan harga  RON95 dan diesel sebanyak 20 sen menjadikan harganya mencecah RM2.10 dan RM2.00 seliter mulai hari ini.

Mohd Yusof berkata, golongan berpendapatan rendah mengalami kesan lebih buruk berikutan mereka berdepan peningkatan kos sara hidup dengan ketara.

“Kenaikan ini bermakna pendapatan boleh guna rakyat semakin berkurang. Pastinya menyebabkan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Bagi mengekang kenaikan harga barangan lain, beliau berkata, kerajaan perlu memastikan tiada monopoli pihak tertentu untuk menaikkan harga barangan lain sewenang-wenangnya.

– FZL