Categories
NASIONAL

Saksi: Polis Membuta Tuli Tembak Lelaki Tak Bersenjata

PETALING JAYA: Saksi kejadian anggota polis menembak mati lelaki yang tidak bersenjata di persimpangan lampu isyarat Lebuh Raya Pandan Permai di Ampang, tampil di Ibu Pejabat PKR sebelum membuat satu laporan polis hari ini.

Laporan polis tersebut dibuat bagi menjelaskan situsi sebenar kejadian pada 21 Ogos lalu seperti yang dilihat sendiri oleh kedua-dua saksi tersebut.

Saksi kejadian, Moses Kanesan, 23 memberitahu, kejadian yang berlaku di antara jam 1.00 hingga 2.00 pagi itu terjadi ketika beliau bersama mangsa, Dinesh Darmasena Wijemanna, 26, Nelawarasan A/L Yoakanathan, 24, dan seorang lagi rakan mangsa dalam perjalanan menuju ke kedai makan.

Menurutnya lagi, ketika dua kereta yang dinaiki mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat di Lebuhraya Pandan Permai, dua kereta lain berhenti secara mengejut dan membuat halangan terhadap kereta yang dinaiki oleh Dinesh.

Menurut seorang lagi saksi, Nelawarasan, Dinesh dilihat turun dari kereta yang dinaikinya dan menuju ke arah anggota polis tersebut tanpa membawa sebarang senjata seperti yang didakwa polis minggu lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa minggu lalu, Dinesh bersama empat lelaki lain dikatakan bertindak keluar dari kenderaan yang dinaikinya dengan bersenjatakan parang dan batang besi untuk menyerang anggota polis tersebut.

Nelawarasan menambah, ketika itulah kira-kira 10 hingga 15 das tembakan mula dilepaskan oleh anggota polis.

Dalam suasana panik tersebut, Dinesh dilihat berpatah menuju ke kereta yang dipandu oleh rakannya itu bagi mengelak dari terkena tembakan polis.

Selain itu, menurut Nelawarasan yang merupakan rakan mangsa, polis yang terlibat dalam kejadian tersebut langsung juga tidak menggambarkan bahawa mereka adalah anggota polis.

“Mereka menaiki kereta biasa, tiada logo polis, tidak berpakaian seragam dan tidak memberi amaran atau membuat tembakan amaran ke udara terlebih dahulu.

“Saya dapat lihat secara tiba-tiba anggota polis tersebut melepaskan tembakan secara berterusan dan melulu.

“Cara mereka memang tak menggambarkan mereka anggota polis sama sekali,” kata Moses dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR.

Dinesh yang cedera parah dalam kejadian tersebut meninggal dunia selang sehari kemudian, 23 Ogos baru-baru ini.

Dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Tropicana yang berhampiran Ibu Pejabat PKR sebentar tadi, Nelawarasan juga menuntut agar satu siasatan bebas dapat dijalankan oleh polis.

Dalam isu sama, Naib Presiden PKR, N Surendran berkata, kejadian yang menimpa Dinesh itu adalah kejadian tembakan melibatkan polis yang pertama kali mempunyai saksi.

“Ini bukan kejadian pertama melibatkan orang awam tertembak, tapi ini yang pertama mempunyai saksi orang awam yang melihatnya,” kata beliau.

Beliau turut memberitahu, sama seperti sebelum ini, polis telah menggunakan alasan sama iaitu diserang dengan menggunakan parang bagi menghalalkan tindakan polis menembak mana-mana suspek.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam pula memberitahu dalam satu jawapan Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat sebelum ini, seramai 279 orang telah ditembak mati oleh pasukan PDRM dari tahun 2000 hingga 2009.

Dari jumlah tersebut, 42 orang adalah berketurunan Melayu, 59 India, 54 Cina 113 warga Indonesia, Vietnam 5, 1 Filipina, 1 Negro dan 3 Pribumi.