Categories
ADN SELANGOR

Kabel elektrik dicuri, JKR diarah baiki lampu isyarat di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 5 OKT: Wakil rakyat Pelabuhan Klang mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang membaiki kerosakan lampu isyarat di persimpangan Jalan Tengku Badar susulan kecurian kabel elektrik baru-baru ini.

Azmizam Zaman Huri berkata agensi itu menggantikan keseluruhan kabel elektrik yang hilang bagi memastikan lampu isyarat di kawasan berkenaan kembali berfungsi.

“Semasa pemeriksaan dibuat, JKR mendapati kabel di kotak ‘feederpillar’ (pencawang elektrik) hilang dicuri dan dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan kecurian berlaku semula, JKR Klang menggali lubang yang lebih dalam di bawah tanah untuk menanam kabel baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut meminta kerjasama masyarakat supaya melaporkan kepada polis jika terdapat sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan lampu dan perabot jalan.

Categories
SELANGOR

Lampu isyarat pintar kawal trafik Petaling Jaya

Oleh: AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 24 JUN: Penggunaan lampu isyarat pintar di seluruh kawasan Petaling Jaya menjadi antara perancangan masa depan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Datuk Bandar MBPJ, Mohd Azizi Mohd Zain, berkata ia bagi mengurangkan kesesakan trafik terutama waktu puncak ekoran pertambahan kenderaan.

Mohd azizi mbpjKatanya, MBPJ turut berhasrat memiliki bilik kawalan sendiri bagi memantau lampu isyarat, sekali gus mengawal aliran trafik.

“Perkara ini yang perlu difikirkan untuk masa depan kerana kita sering menerima aduan kesesakan lalu lintas antaranya di Jalan Othman.

“MBPJ perlu memiliki monitor kawalan yang boleh mengawal lampu isyarat di seluruh Petaling Jaya. Jika ada, masalah kesesakan boleh diatasi,” katanya dalam satu temuramah bersama media di ibu pejabat MBPJ, baru-baru ini.

Mohd Azizi berkata, MBPJ hanya memiliki kamera litar tertutup (CCTV) untuk faktor keselamatan yang dikawal pihak penguatkuasa ketika ini.

-NFN-