Categories
AGENDA NASIONAL

Kawalan pusat kuarantin ditingkat, elak kes curi berulang

MELAKA, 13 FEB: Kawalan keselamatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara akan ditingkatkan bagi mencegah sebarang kejadian tidak diingini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata ini termasuk menambah jumlah anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas di 391 pusat yang masih beroperasi dan aktif.

Katanya, usaha itu juga bagi mengelak imej PKRC tercalar dengan isu negatif susulan kejadian kecurian yang dilaporkan oleh media baru-baru ini.

“Apabila terdapat ramai orang di situ, pelbagai masalah boleh timbul, jadi apa yang kita boleh lakukan ialah meningkatkan kawalan keselamatan di pusat-pusat tersebut.

“Dengan kehadiran lebih anggota APM di situ, mungkin rondaan boleh dilakukan sekerap mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program penyampaian Kit Bantuan Makanan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Udang hari ini.

Pada program tersebut, sebanyak 1,000 kit makanan disumbangkan kepada penduduk kawasan Parlimen Tangga Batu dalam usaha meringankan beban golongan yang terkesan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Khamis lalu, polis menahan dua lelaki selepas disyaki mencuri empat unit telefon bimbit milik pesakit di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Selangor dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata kerajaan menerusi Nadma akan menubuhkan Program Sukarelawan Pemerkasaan Komuniti bagi membendung penularan Covid-19.

Program dijangka melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin setempat dan anggota masyarakat dalam program pendidikan dan penguatkuasaan tatacara operasi piawai (SOP) serta pematuhan pencegahan Covid-19.

“Dengan adanya sukarelawan tersebut dalam kalangan komuniti, ia dilihat akan memberi kefahaman secara lebih luas tentang norma baharu serta bahayanya virus Covid-19 ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Kabel elektrik dicuri, JKR diarah baiki lampu isyarat di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 5 OKT: Wakil rakyat Pelabuhan Klang mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang membaiki kerosakan lampu isyarat di persimpangan Jalan Tengku Badar susulan kecurian kabel elektrik baru-baru ini.

Azmizam Zaman Huri berkata agensi itu menggantikan keseluruhan kabel elektrik yang hilang bagi memastikan lampu isyarat di kawasan berkenaan kembali berfungsi.

“Semasa pemeriksaan dibuat, JKR mendapati kabel di kotak ‘feederpillar’ (pencawang elektrik) hilang dicuri dan dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan kecurian berlaku semula, JKR Klang menggali lubang yang lebih dalam di bawah tanah untuk menanam kabel baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut meminta kerjasama masyarakat supaya melaporkan kepada polis jika terdapat sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan lampu dan perabot jalan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

Polis: Kereta model lama juga sering jadi sasaran penjenayah

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Persepsi masyarakat mengenai kereta model lama kurang menjadi pilihan penjenayah untuk dicuri perlu diubah kerana sebenarnya ia merupakan antara ‘barang panas’ yang sering menjadi sasaran di kalangan penjenayah ketika ini.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata model kereta lama buatan tempatan boleh dikatakan sering menjadi ‘pilihan’ penjenayah kerana nilai barang gantian yang terdapat pada kereta itu, selain wujudnya peluang untuk mencuri.

Menurutnya di Cheras terdapat 1.33 juta penduduk dan ada beberapa kawasan yang tidak mempunyai tempat parkir yang teratur sehingga menyebabkan mereka terpaksa meletak kenderaan di luar pagar rumah termasuk di tempat letak kereta pangsapuri dan kondominium yang tidak ada pengawal keselamatan.

“Ini memberi peluang dan ruang kepada penjenayah untuk mencuri kenderaan ini dengan menggunakan peralatan seperti pembaris dan tidak memerlukan peralatan berteknologi tinggi.

“Saya mahu masyarakat untuk ubah persepsi mereka mengenai kereta lama tidak akan dicuri kerana kita sudah terima banyak kes,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, semalam.

Sementara itu Mohamed Mokhsein berkata 132 kes curi kereta dan 264 kes curi motosikal dilaporkan di Cheras dalam tempoh Januari sehingga semalam dengan 27 orang ditahan berbanding 366 kes curi kereta dan 562 kes curi motosikal dilaporkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Merujuk kepada indeks jenayah di daerah Cheras pula, katanya ia menunjukkan penurunan 16.17 peratus iaitu pengurangan 148 kes bermula Januari sehingga Khamis lepas.

Beliau berkata dalam tempoh berkenaan, sebanyak 915 kes dicatatkan tahun ini berbanding 767 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

TNB serbu premis di Klang curi elektrik lombong kripto

PELABUHAN KLANG, 8 JULAI: Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerbu dua premis perniagaan matawang kripto di Taman Pendamar Indah di sini, kerana disyaki beroperasi dengan mencuri bekalan elektrik.

Serbuan Ops Bitcoin selama hampir dua jam bermula kira-kira 9 pagi itu, dijalankan 40 kakitangan SEAL (Special Engagement Against Losses) TNB bersama 12 penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan 15 kakitangan ST.

Pengarah Unit Perancangan dan Penyelarasan Penguatkuasaan ST Ir Shafie Mohamed berkata, siasatan selama sebulan yang dijalankan TNB menemukan satu pendawaian haram diwujudkan, untuk menyalurkan bekalan elektrik ke premis terbabit.

“Pendawaian haram ini dilakukan supaya bekalan elektrik disambung secara terus dan tidak melalui meter TNB. Dianggarkan premis ini telah beroperasi sejak tiga bulan lepas,” katanya kepada pemberita selepas serbuan berkenaan di sini, hari ini.

Kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan kerja pemotongan bekalan elektrik dalam Operasi Pengekangan Kes Penggunaan Elektrik Secara Curang oleh Premis Cryptocurrency di One Kesas pada 8 Julai 2020. Operasi bersepadu ini dijalankan bersama Suruhanjaya Tenaga dan Majlis Perbandaran Klang. Foto: BERNAMA

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Elya Marini Darmin.

Tambah Shafie, pihaknya menganggarkan TNB mengalami kerugian kira-kira RM30,000 setiap bulan bagi sebuah premis yang melakukan kegiatan mencuri elektrik berkenaan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 dan jika didapati bersalah, mereka boleh didenda dan dihukum penjara,” katanya.

Sementara itu, Elya Marini berkata, MPK mengenal pasti 21 premis di sekitar kawasan pentadbiran majlis perbandaran itu, yang melakukan kegiatan mencuri bekalan elektrik.

Katanya, MPK akan mengenal pasti pemilik premis berkenaan dan maklumat mengenainya akan disalurkan kepada ST serta TNB, untuk siasatan lanjut bagi dikenakan tindakan undang-undang.

“Siasatan dijalankan oleh ST dan TNB kerana mungkin sambungan itu dibuat sama ada oleh pemilik, penyewa atau penceroboh.

-BERNAMA