Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Teka-teki status tempoh PKP dijangka terjawab hari ini

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Teka-teki status penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir 14 April ini dilanjutkan atau tidak, dijangka terjawab hari ini.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media harian semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat satu pengumuman mengenai langkah berikutnya bagi membendung penularan Covid-19.

Kemungkinan juga berkaitan dengan status PKP yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia selepas mengharungi tempoh tiga minggu penguatkuasaan sejak 18 Mac lalu.

Kerajaan melaksanakan PKP dengan hasrat memutuskan rantaian penularan Covid-19, dengan fasa pertama dari 18-31 Mac, diikuti fasa kedua dari 1-14 April.

Setakat semalam perkembangan pandemik Covid-19 adalah memberangsangkan apabila seramai 121 pesakit disahkan pulih iaitu melebihi jumlah kes positif 109 direkodkan menjadikan keseluruhan kes positif ialah 4,228 kes, dengan 67 kematian.

Sementara itu kadar pematuhan PKP adalah 97 peratus setakat semalam dan polis mengeluarkan 95 notis kompaun RM1,000 setiap satu terhadap individu ingkar PKP.

Dalam perkembangan yang sama, jumlah keseluruhan zon merah di seluruh Malaysia ketika ini sebanyak 24 kawasan iaitu lokasi mencatat kes positif Covid-19 melebihi 41.

Sehingga kini, sebanyak empat lokasi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), membabitkan Simpang Renggam (Johor), Hulu Langat (Selangor), dan tiga bangunan di Kuala Lumpur iaitu Menara City One, Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion.

Simpang Renggam merupakan lokasi pertama di negara ini dikenakan PKPD berkuat kuasa 27 Mac lalu selepas 61 penduduknya dikesan positif Covid-19 kini dilanjutkan sehingga 14 April.

Selain itu, setakat semalam (9 April) tiga negeri terus mencatat jumlah kes positif Covid-19 tertinggi iaitu Selangor (1,118 kes), Kuala Lumpur (699 kes) dan Johor (503 kes).

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab rakyat secara keseluruhannya untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MKN putuskan lanjut tempoh kawalan atau tidak 30 Mac ini

PUTRAJAYA, 23 MAC: Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersidang sebelum tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 31 Mac ini bagi menentukan sama ada ia perlu dilanjutkan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sebelum tamat pada 31 Mac, MKN akan bersidang sama ada langkah yang diambil dalam tempoh itu (PKP) memadai atau perlu dilanjutkan untuk tempoh seminggu atau dua minggu dari tarikh tamat pada 31 Mac,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, keputusan itu bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat terhadap PKP yang kini berada pada kadar hampir 90 peratus.

“Tetapi masih terdapat mereka yang tidak mematuhi (PKP) yang saya harapkan sampai 100 peratus,” tegasnya.

Beliau berkata dari satu sudut, PKP boleh dikatakan berkesan tetapi jika pergerakan dapat dikurangkan ke paras paling minimum iaitu hanya keluar untuk membeli barangan keperluan, maka ia dianggap berjaya.

Muhyiddin berkata, pihak polis dan tentera sudah diarah menegur orang ramai secara berhemah, supaya mereka segera pulang ke kediaman selepas membeli barangan keperluan atau ubat-ubatan.

“Sudah ada penambahbaikan dengan tindakan diambil Kementerian Kesihatan dengan dibantu agensi lain dan kerjasama semua pihak.

“Ini termasuk kumpulan tabligh yang berbaki belum keluar lagi (membuat saringan Covid-19), kemungkinan besar PKP ini menunjukkan kesan yang positif kalau kiranya data dan angka ini lebih rendah (mereka yang tidak patuh),” katanya.

Muhyiddin juga sekali lagi merayu kepada masyarakat agar duduk di rumah bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA