Categories
AGENDA NASIONAL

MKN putuskan lanjut tempoh kawalan atau tidak 30 Mac ini

PUTRAJAYA, 23 MAC: Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersidang sebelum tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 31 Mac ini bagi menentukan sama ada ia perlu dilanjutkan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sebelum tamat pada 31 Mac, MKN akan bersidang sama ada langkah yang diambil dalam tempoh itu (PKP) memadai atau perlu dilanjutkan untuk tempoh seminggu atau dua minggu dari tarikh tamat pada 31 Mac,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, keputusan itu bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat terhadap PKP yang kini berada pada kadar hampir 90 peratus.

“Tetapi masih terdapat mereka yang tidak mematuhi (PKP) yang saya harapkan sampai 100 peratus,” tegasnya.

Beliau berkata dari satu sudut, PKP boleh dikatakan berkesan tetapi jika pergerakan dapat dikurangkan ke paras paling minimum iaitu hanya keluar untuk membeli barangan keperluan, maka ia dianggap berjaya.

Muhyiddin berkata, pihak polis dan tentera sudah diarah menegur orang ramai secara berhemah, supaya mereka segera pulang ke kediaman selepas membeli barangan keperluan atau ubat-ubatan.

“Sudah ada penambahbaikan dengan tindakan diambil Kementerian Kesihatan dengan dibantu agensi lain dan kerjasama semua pihak.

“Ini termasuk kumpulan tabligh yang berbaki belum keluar lagi (membuat saringan Covid-19), kemungkinan besar PKP ini menunjukkan kesan yang positif kalau kiranya data dan angka ini lebih rendah (mereka yang tidak patuh),” katanya.

Muhyiddin juga sekali lagi merayu kepada masyarakat agar duduk di rumah bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KWSP tunggu perancangan EAC tentu hala tuju

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menunggu perancangan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang baru ditubuhkan, dalam usaha menentukan hala tuju masa depan lebih jelas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias berkata, pihaknya optimis EAC dapat mengetengahkan hala tuju dasar lebih baik, termasuk membabitkan kebergantungan negara terhadap komoditi serta pelan kepelbagaian ekonomi.

“Kami amat gembira dengan pelbagai perancangan hebat yang akan dihasilkan EAC dan mahu melihat maklum balas kerajaan berhubung Revolusi Industri 4.0,” katanya lapor BERNAMA.

Pada masa sama, katanya, KWSP akan menjalin kerjasama dengan pengurus dana luar dalam usaha menembusi pasaran Amerika Latin yang juga sebahagian daripada langkah mempelbagaikan portfolionya di peringkat luar negara.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak akan dilakukan secara melulu, sebliknya menyasarkan untuk memasuki pelaburan lebih kecil, pada masa ini.

“Kami amat mengenali pasaran ini kerana berada di dalamnya dan teruja serta berminat dengan pasaran ASEAN, namun ini semua bergantung kepada nilai pelaburan yang terbabit.

“Pada masa ini, 4.8 peratus daripada jumlah aset itu dilabur di ASEAN dengan pendedahan pelaburan yang besar di Singapura,” katanya.

Mengulas pelaburan KWSP di United Kingdom, Tunku Alizakri berkata, dana itu optimis terhadap potensinya sebagai destinasi pelaburan walaupun negara itu berdepan ketidaktentuan membabitkan kesan Brexit.

Secara keseluruhan, KWSP sudah melabur RM222.61 bilion atau 26.7 peratus daripada jumlah aset dana simpanan persaraan itu di kira-kira 40 negara bagi mempelbagaikan portfolionya.

Pada 2018, KWSP mencatat pendaftaran pelaburan kasar RM50.88 bilion dengan aset pelaburan RM833.76 bilion, manakala carumannya meningkat 9.08 peratus kepada RM71.47 bilion, pada tahun lalu sementara pengeluaran pula berkurangan kepada RM48.10 bilion daripada RM49.40 bilion, pada 2017.

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

EAC diharap mampu tangani masalah ekonomi negara

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik langkah Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamed dalam menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi sebagaimana yang dilaporkan menerusi beberapa portal media semalam.

Majlis yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri dijangka akan memainkan peranan utama dalam menangani masalah yang melanda negara terutamanya dalam hal ekonomi. Melalui Majlis ini, kerajaan juga dijangka akan memastikan pertumbuhan ekonomi secara mampan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terutamanya golongan miskin khususnya B40 terjamin.

PKPIM berharap agar penubuhan Majlis ini dapat memberikan perhatian yang mustahak terhadap nasib rakyat di luar bandar terutamanya pekebun kecil, peneroka FELDA dan nelayan.

PKPIM juga menggesa kerajaan untuk mengutamakan keperluan ekonomi rakyat dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan. Hal ini termasuklah perkara-perkara yang berkaitan kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah.

PKPIM yang mewakili keluhan generasi muda juga menggesa kerajaan supaya lebih prihatin akan bebanan yang dihadapi generasi muda kini seperti peluang pekerjaan, hal berkaitan perumahan mampu milik dan juga menangani kebimbangan masalah kemuflisan yang melanda dalam kalangan anak muda yang disebabkan oleh bebanan hutang.

PKPIM juga mendesak para ahli politik untuk segera menghentikan sandiwara politik yang kelihatan tidak berkesudahan seterusnya kembali menumpukan pelaksanaan matlamat kebajikan rakyat bagi memastikan kesejahteraan mereka terpelihara.

PKPIM menegaskan bahawa sudah tiba masanya Jemaah Menteri pimpinan Tun Dr Mahathir untuk berhenti menyalahkan kerajaan lama dan sebaliknya mengemukakan dasar-dasar ekonomi yang mampan dan kukuh bagi memastikan cita-cita mengembalikan ketenteraman hidup rakyat menjadi kenyataan.

AHMAD FAHMI ADZHA MOHD NASARUDIN
Setiausaha Agung, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Categories
EKONOMI NASIONAL

Sambut baik EAC demi penuhi harapan rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 FEB: Langkah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (EAC) disambut baik Ahli Dewan Negeri Selangor bagi memulihkan keyakinan dan memenuhi harapan rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, kebangkitan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu menuntut Kerajaan Pakatan Harapan meletakkan kembali negara ke landasan sebenar melalui dasar, inisiatif peduli dan prihatin terhadap nasib rakyat.

Katanya, ia juga membuktikan sikap proaktif dan kepedulian kerajaan terhadap isu serta permasalahan harian rakyat seperti kos sara hidup, pengangguran dan pemilikan aset.

“Kerajaan sedar harapan rakyat begitu tinggi selepas perubahan yang berlaku, pada 9 Mei 2018.

“Justeru, penubuhan EAC yang dipengerusikan sendiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah langkah signifikan untuk kerajaan segera mendakap aspirasi rakyat dan menyelesaikan permasalahan yang membelenggu kehidupan rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli pula berharap ahli EAC terdiri daripada menteri dan pakar ekonomi daripada agensi atau jabatan berkaitan mampu mencari kaedah terbaik untuk mengurus ekonomi negara yang mencabar ketika ini.

Beliau juga berhadap majlis itu mampu mencari serta meneroka pelaburan baru untuk menjana ekonomi negara.

“Saya melihat ini langkah yang positif dan tepat dalam usaha kerajaan menangani isu ekonomi serta sara hidup rakyat yang gawat juga merunsingkan.

“Pada masa sama, ia dapat mengembalikan keyakinan bahawa pengurusan ekonomi negara berada di tangan pakar untuk membantu memulihkan ekonomi semasa bagi mengurangkan kegusaran rakyat,” katanya.

Sementara itu, ADN Kinrara, Ng Sze Han berkata, rekod membuktikan EAC mampu menangani krisis ekonomi dalam tempoh singkat berbanding negara ASEAN lain, pada 1998.

“Oleh itu, pengumuman EAC dengan komposisi anggota terdiri dariada tokoh kerajaan dan swasta yang dilihat berkemampuan tinggi, pasti akan meletakkan ekonomi negara di landasan betul melalui pendekataan lebih kolektif serta menyeluruh,” katanya.

ADN Kajang Hee Loy Sian pula menggesa supaya kerajaan turut melantik ahli ekonomi yang boleh mewakili suara generasi muda.

“Satu langkah yang amat baik untuk menangani masalah ekonomi negara dengan keanggotaan merangkumi Perdana Menteri, Menteri Kanan dan pakar ekonomi yang mampu memberi input, cara penyelesaian serta pelaksnaan segera.

“Bagaimanapun, saya cadang masukkan pakar ekonomi orang muda supaya boleh menangani masalah membabitkan golongan itu kerana mereka paling banyak menghadapi masalah pengganguran dan peluang pekerjaan termasuk isu sara hidup,” katanya.

Categories
EKONOMI NASIONAL

EAC fokus penyelesaian hidup rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

SEPANG, 12 FEB: Majlis Tindakan Ekonomi Negara (EAC) bakal menumpukan kepada aspek pelaksanaan khusus dalam mencari penyelesaian positif terhadap kehidupan rakyat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beberapa langkah akan diambil segera kerana terdapat perkara yang dilihat sebagai keperluan mendesak.

“Orientasi majlis ini adalah tindakan kerana kita sudah ada polisi jangka panjang dan sederhana tetapi paling penting soal pelaksanaan yang dapat menghasilkan kesan positif.

“Antara matlamat utamanya untuk menangani masalah rakyat seperti kos sara hidup semakin tinggi dan harga barang semakin mahal.

“Majlis ini akan melihat pendekatan segera dan jangka sederhana yang boleh diambil,” katanya kepada media selepas pelancaran AMAL By Malaysia Airlines di Kompleks Kejuruteraan Syarikat Penerbangan Malaysia, di sini.

Katanya, EAC yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mengadakan mesyuarat pertama dalam masa terdekat.

Pada masa sama, beliau turut menafikan penubuhan EAC ekoran masalah prestasi menteri.

“Tidak benar, bukan soal satu menteri. Kita dalam Pakatan Harapan bekerja sebagai satu pasukan, malahan keputusan yang dibuat jemaah menteri juga secara kolektif,” katanya.

EAC turut dianggotai Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking serta 12 anggota lain.

Pelantikan kesemua ahli EAC berkuat kuasa serta dan sekateriat Majlis adalah Unit Penyelarasan Perlaksanaan di Jabatan Perdana Menteri.

Categories
SELANGOR

EAC langkah tepat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 FEB: Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang berfungsi untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi, kewangan serta kebajikan adalah langkah tepat ketika rakyat terhimpit dengan kos sara hidup ketika ini.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata, ia dapat mencari solusi bagi menangani masalah ekonomi berbangkit, kenaikan harga barang atau perkara yang dikritik rakyat mahupun pembangkang.

“Pakatan Harapan wajib memberi keutamaan dalam hal kebajikan rakyat, oleh itu saya dan semua pihak tentunya mengalu-alukan penubuhan majlis ini.

“Saya berharap dengan adanya majlis ini, mereka akan terus dan aktif mencari serta membantu rakyat dalam pelbagai sudut kerana rakyat sememangnya dahagakan bantuan dari kerajaan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Suee Lim yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor berkata, pelantikan ahli majlis berkenaan akan membantu memulihkan dan mengukuhkan ekonomi negara.

“Dengan adanya, pakar ekonomi seperti Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram serta menteri tentunya akan memberi idea bernas dalam usaha memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Pengerusi EAC yang turut dianggotai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Penubuhan EAC suntik keyakinan rakyat

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Ahli akademik menyambut baik penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang diumumkan semalam dan dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta dibarisi 16 individu berpengaruh.

Sambil mengalu-alukan penubuhan EAC itu, mereka turut menyifatkan penubuhan majlis itu tepat pada masanya selain dapat menangani pelbagai isu membabitkan kesejahteraan rakyat.

Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, EAC terbukti dianggotai mereka yang memiliki pelbagai latar belakang dan pengalaman berbanding Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

“Kebanyakan mereka adalah individu berjaya yang mempunyai rekod prestasi masing-masing dan komposisi (EAC) turut disertai sebilangan besar yang bukannya ahli politik.

“Diharapkan mereka ini dapat membantu kerajaan menunaikan janji manifesto yang sememangnya menjadi perkara diutamakan rakyat pada masa ini,” katanya kepada BERNAMA.

Malah, Shazali turut menyifatkan barisan ahli EAC itu mampu menyuntik keyakinan rakyat bahawa isu yang membabitkan kepentingan orang ramai akan diberi keutamaan serta ditangani.

“Adalah diharapkan idea baharu bagi menangani isu kesejahteraan rakyat itu dapat diketengahkan anggota majlis dan satu landasan dapat diwujudkan untuk mendapatkan cadangan serta maklum balas orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng menganggap EAC itu sebagai versi kecil Majlis Tindakan Ekonomi Negara serta CEP yang diperluaskan.

“Sudah tiba masanya untuk mewujudkan sebuah majlis yang dapat menghasilkan hala tuju ekonomi, dasar dan strategi baharu di bawah kerajaan yang berusia sembilan bulan ini.

“Lebih penting lagi, ini akan membawa kepada pembentukan satu pelan tindakan yang dapat dilaksanakan secara meluas seperti mana dilakukan oleh Majlis Tindakan Enonomi Negara sebelum ini,” katanya.

*Sumber: BERNAMA