Categories
NASIONAL

SPRM tawar sistem, khidmat nasihat bagi Kerajaan Negeri

KUCHING, 12 JUL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan satu sistem dan khidmat nasihat bagi kerajaan negeri melaksanakan langkah perisytiharan harta terhadap semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Beebi Koya berkata, perisytiharan harta itu bertujuan memastikan urusan pentadbiran dan pengurusan yang lebih telus.

“Usul mewajibkan perisytiharan telah diluluskan di Parlimen, jadi kini kami (SPRM) akan ke setiap negeri, supaya mereka (negeri-negeri) juga mengambil prinsip ini dan menerima usul berkenaan untuk dilaksanakan di peringkat Dewan Undangan Negeri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa, di sini, hari ini.

“Mereka (kerajaan-kerajaan negeri) perlu menunjukkan komitmen terhadap isu ini kerana pengisytiharan harta ini ada kebaikannya yang akan menampilkan sesebuah negeri itu komited untuk sebuah pentadbiran yang lebih telus,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata, usaha Sarawak yang menempatkan seorang Pegawai Integriti di setiap jabatan dan agensi termasuk di Pejabat Ketua Menteri adalah satu langkah yang baik dan proses perisytiharan harta itu merupakan kesinambungan daripada usaha berkenaan.

“Itu perkara yang SPRM tekankan, kerana jika negeri mengadakan perisytiharan harta, ia memudahkan orang ramai untuk menilai dan mempercayai pentabdiran mereka,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Latheefa berkata SPRM sedang menyiasat kes-kes melibatkan individu berprofil tinggi, bukan sahaja di Sarawak tetapi di seluruh negara.

“Namun, selagi kes ini masih disiasat, SPRM tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat berkaitan dan SPRM akan membuat siasatan dengan adil,” katanya.

Baru-baru ini, Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor dipetik dalam media tempatan sebagai berkata sebarang laporan atau aduan mengenai rasuah membabitkan individu berprofil tinggi di negeri ini akan dirujuk kepada ibu pejabat SPRM di Putrajaya kerana SPRM Sarawak hanya bertindak sebagai pejabat perhubungan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Latheefa komited perangi rasuah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 JUN: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Beebi Koya komited akan menggalas tugas diamanatkan itu sebaiknya.

Latheefa dalam satu kenyataan berkata, sudah banyak pendapat yang dikeluarkan sejak pelantikan beliau diumum sehari sebelum Aidilfitri namun baginya setiap orang berhak mengeluarkan pendapat masing-masing.

 

“Sesiapapun berhak menyoal, mengkritik atau mengeluarkan pendapat masing-masing, ini tidak mengapa. Tugas saya jelas iaitu untuk membanteras rasuah di mana-mana sahaja.

“Dengan sokongan dan dokongan rakyat dan pegawai saya di SPRM, kami akan dapat mengubah Malaysia kepada satu masyarakat yang alah kepada rasuah dan bebas dari rasuah,” katanya.

Sementara itu, Latheefa berkata, beliau akan melihat kepada tindakan jangka masa panjang termasuk pendidikan bagi mewujudkan satu budaya yang tidak bertoleransi kepada rasuah.

“Adalah hak asas setiap rakyat Malaysia untuk dibenarkan hidup, bekerja dan makmur dalam satu persekitaran yang bebas rasuah. Dengan pertolongan Allah SWT, saya berharap untuk berjaya dalam tugas ini,” katanya.

Latheefa yang jua Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun lalu selepas Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menamatkan kontraknya lebih awal.

Pelantikan Latheefa adalah untuk tempoh kontrak dua tahun dan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

Categories
NASIONAL

Latheefa bukan lagi ahli KEADILAN – Saifuddin

PUTRAJAYA, 5 JUN: Ibu Pejabat KEADILAN sudah menerima surat pengunduran Latheefa Beebi Koya sebagai ahli parti itu, Isnin lalu, susulan pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, surat tersebut melalui e-mel ditujukan kepada Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Berhubung statusnya sekarang ketika saya memberi kenyataan ini, kami menganggap beliau bukan anggota parti,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri di Kompleks di Seri Perdana, di sini hari ini.

“Oleh kerana Anwar baru kembali dari Arab Saudi selepas menunaikan Umrah, beliau tidak membaca e-mel tersebut,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pelantikan Latheefa dibuat mengikut saluran yang memenuhi keperluan perlembagaan.

“Beliau juga melepaskan keanggotaannya dalam KEADILAN. Jadi pada saya beliau telah memenuhi syarat-syarat utama yang diperlukan,” katanya yang juga Menteri Luar.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan, memaklumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Latheefa menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon memendekkan kontrak beliau lebihawal daripada yang sepatutnya pada 17 Mei 2020.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Srikandi KEADILAN: Pelantikan Latheefa Koya iktiraf peranan wanita

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 JUN: Pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu adalah satu pengiktirafan kepada peranan wanita di era Malaysia Baharu.

Ketua Srikandi KEADILAN, Nurainie Haziqah Shafii berkata, buat pertama kali dalam sejarah, seorang wanita memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Katanya, gerakan itu menyambut baik pelantikan berkenaan bagi menggantikan Datuk Seri Shukri Abdul dan disifatkan satu pelantikan yang tepat.

“Latheefa dikenali sebagai seorang peguam yang berani, lantang bersuara serta tidak gentar dalam mencari keadilan.

“Di era Malaysia Baharu ini, pengalaman beliau selama 17 tahun sebagai peguamcara dan peguambela menjadikan Latheefa sebagai individu yang paling sesuai mengetuai badan pencegah rasuah negara,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Pelantikannya selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Nurainie berkata, Srikandi KEADILAN menyambut baik keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencalonkan seorang wanita bagi jawatan tertinggi dalam badan mencegah rasuah di Malaysia.

“Srikandi KEADILAN mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada Puan Latheefa Koya.

“Semoga pelantikan ini akan terus memperkukuh usaha kerajaan dalam memerangi rasuah dan meningkatkan imej serta integriti rakyat Malaysia di mata dunia,” katanya.