Categories
NASIONAL

Srikandi KEADILAN: Pelantikan Latheefa Koya iktiraf peranan wanita

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 JUN: Pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu adalah satu pengiktirafan kepada peranan wanita di era Malaysia Baharu.

Ketua Srikandi KEADILAN, Nurainie Haziqah Shafii berkata, buat pertama kali dalam sejarah, seorang wanita memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Katanya, gerakan itu menyambut baik pelantikan berkenaan bagi menggantikan Datuk Seri Shukri Abdul dan disifatkan satu pelantikan yang tepat.

“Latheefa dikenali sebagai seorang peguam yang berani, lantang bersuara serta tidak gentar dalam mencari keadilan.

“Di era Malaysia Baharu ini, pengalaman beliau selama 17 tahun sebagai peguamcara dan peguambela menjadikan Latheefa sebagai individu yang paling sesuai mengetuai badan pencegah rasuah negara,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Pelantikannya selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Nurainie berkata, Srikandi KEADILAN menyambut baik keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencalonkan seorang wanita bagi jawatan tertinggi dalam badan mencegah rasuah di Malaysia.

“Srikandi KEADILAN mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada Puan Latheefa Koya.

“Semoga pelantikan ini akan terus memperkukuh usaha kerajaan dalam memerangi rasuah dan meningkatkan imej serta integriti rakyat Malaysia di mata dunia,” katanya.

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mum-nicure Srikandi KEADILAN zahir penghargaan buat kaum ibu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 13 MEI: Seramai 30 ibu terpilih di sekitar Petaling Jaya diraikan dalam Program Mum-nicure sempena sambutan Hari Ibu anjuran Srikandi KEADILAN Pusat di Dewan Dato’ Hormat di sini, semalam.

Ketua Srikandinya, Nurainie Haziqah Shafii berkata, Mum-nicure, gabungan perkataan Mum iaitu ibu, dan Manicure bermaksud tatarias kuku adalah aktiviti bagi menzahirkan penghargaan terhadap kaum ibu di atas segala pengorbanan dan penat lelah mereka menjaga keluarga masing-masing.

“Pengorbanan kaum ibu memastikan keluarga masing-masing terjaga, sehinggakan ada dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai masa untuk memanjakan diri dengan perkara seperti ini.

“Sebagai tanda terima kasih di atas kesudian peserta menyertai program ini, mereka turut dihadiahkan bunga ros kerana ia adalah bunga yang sangat sinonim dengan kaum wanita.

“Malah, salah seorang ibu yang menyertai program ini berkata dalam kiriman Facebook bahawa seumur hidup, ini pertama kali beliau dapat bunga,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau turut menyatakan komitmen mengadakan program seumpama itu di seluruh Malaysia dibantu setiap cabang Srikandi Keadilan Negeri untuk lebih mengeratkan silaturahim bersama rakyat, terutama kaum wanita.

“Di antara program bakal dijalankan adalah iftar bersama anak yatim, ibu tunggal dan asnaf bersempena Ramadan.

“Kita juga akan mengadakan program rundingan imej dan sesi sembang santai bersama tokoh pimpinan wanita tempatan bertujuan meningkatkan keyakinan diri selain mengalakkan kaum wanita untuk menceburkan diri dalam bidang dimonopoli kaum lelaki,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

KEADILAN perlu ungguli wanita muda

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 MAC: KEADILAN perlu menjadi parti yang mengungguli pembabitan wanita muda ke arah melahirkan pemimpin disegani pada masa akan datang.

Ketua Srikandinya, Nurainie Haziqah Shafii berkata, peranan wanita muda itu harus dilihat dalam semua aspek dan ruang yang setaraf tanpa mengira jantina.

Katanya, tumpuan parti perlu utuh bagi memastikan lebih ramai wanita muda diberikan peluang memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan negara.

“Prinsip dan kepercayaan ini seiring dengan tema sambutan tahun ini iaitu ‘Fikir Kesaksamaan, Bina dengan Kebijaksanaan, Berinovasi untuk Perubahan’ (Think Equal, Build Smart, Innovate for Change).

“Sempena hari wanita sedunia, Srikandi sebagai pentas bagi wanita muda turut meraikan sambutan bersejarah ini dalam semangat merayakan kepelbagaian dan potensi wanita di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Nurainie berkata, sambutan terbabit bukan menjurus kepada meraikan wanita sahaja, tetapi menjadi agenda penting untuk membawa arus pembangunan dalam kehidupan wanita merangkumi aspek politik, kesihatan, sosial, ekonomi dan pendidikan.

“Saya percaya, wanita muda kini lebih cakna dan berfikiran matang mengenai isu semasa, malah mampu menyumbang kepada inovasi pembangunan negara,” katanya.