Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM perlu peruntukan sendiri berkait pemunya benefisiari

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Terdapat keperluan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai peruntukannya sendiri berkaitan pemunya benifisiari (beneficial ownership) dalam Akta SPRM 2009.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, perkara itu penting untuk menyokong siasatan dan memastikan pihak terlibat tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang dan penguatkuasaan.

“Kerajaan akan meminda Akta SPRM 2009 bagi membolehkan pihak berkuasa mengetahui siapa pemunya benifisiari semasa siasatan dijalankan.

“Kerajaan melihat satu keperluan untuk perkara ini kerana terdapat banyak kes yang mana nama individu lain digunakan sebagai ‘proksi’ untuk menghalang pemilik asal daripada terdedah kepada tindakan yang mungkin,” katanya selepas merasmikan Bengkel Serantau Mempromosi Ketelusan Pemunya Benifisiari di Asia Tenggara di sini, hari ini.

Latheefa berkata, kuasa penuh undang-undang sedia ada akan dilaksanakan kepada pesalah untuk memastikan tiada pemunya benifisiari yang tidak jelas atau berselindung melakukan aktiviti rasuah dan perusahaan jenayah.

Pada 10 Jan lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan bercadang memasukkan peruntukan baharu dalam Akta SPRM mengenai tanggungjawab mendedahkan pemunya benefisiari.

Beliau berkata, ia adalah antara perkara yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Khas mengenai Antirasuah yang dipengerusikan beliau di Putrajaya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

SPRM: Tiada siapa boleh sembunyi rasuah skala besar

PUTRAJAYA, 16 JUL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mampu mengesan rekod mana-mana individu atau pihak yang didakwa melakukan rasuah berskala besar di peringkat global kerana SPRM menjalin kerjasama kukuh dengan negara-negara asing.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, beberapa negara bersedia dan sanggup bekerjasama dengan suruhanjaya itu dalam memberi bantuan perundangan bersama termasuk menjejaki transaksi bank, harta dan apa-apa berkaitan kes rasuah.

Beliau menarik perhatian kepada 1MDB sebagai contoh sambil berkata, SPRM agak bernasib baik mendapat paling kerjasama yang amat baik dari negara-negara berkaitan sepanjang siasatan dijalankan.

“Kita boleh dan sudah mula (kerjasama). Bagi kes-kes rasuah berskala besar, saya fikir tidak baik bagi negara asing itu jika enggan bekerjasama dengan kita dalam usaha untuk menahan penjenayah rasuah.

“Kami mahu meneruskan dan memperluaskan kerjasama untuk memastikan tiada negara menolak permohonan kami bagi bantuan perundangan kerana itu yang kami perlukan sebagai bukti di mahkamah,” kata beliau kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun, dalam beberapa kes, ada negara-negara yang enggan bekerjasama atas pelbagai sebab termasuk kerana banyak pihak menuntut harta atau jumlah wang yang sama berkaitan kes rasuah itu.

“Mereka yang terlibat dalam amalan rasuah berskala besar sebenarnya sangat bijak dan kita perlu “membongkar seorang demi seorang” dengan siasatan lebih mendalam untuk mendapatkan bukti … namun akhirnya, lama-kelamaan mereka masih boleh dicekup,” katanya.

Latheefa berkata, ada negara-negara yang tidak akan mempersoalkan apa-apa transaksi bank yang luar biasa, tetapi terdapat sebilangan besar negara yang sangat ketat yang bertanya tentang transaksi tersebut.

“Mereka juga menangani isu-isu seperti keganasan, jadi mereka perlu tahu dari punca mana wang itu…jika mana-mana negara membenarkan kemasukan wang tanpa mempersoalkannya, itu tidak membantu usaha untuk membanteras pembiayaan aktiviti pengganas…, jadi mengapa tidak prinsip yang sama digunakan dalam memerangi rasuah.

“Kita sebenarnya perlu menggesa negara itu untuk mendedahkan kepada kita sumber pendapatan tersebut, dan jika kita benar-benat dapat menunjukkan bahawa kita tahu sumber itu… kerana apabila kita mengambil keterangan dari saksi-saksi atau suspek, kadang-kadang mereka akan mengaku dan kita boleh menunjukkan kepada kerajaan itu dan meminta bantuan untuk memperoleh semula wang itu,” kata beliau.

Sementara itu, beliau berkata SPRM akan memberikan perhatian yang sama kepada kes rasuah kecil dan besar, tanpa mengira mereka yang terlibat.

“Kes profil besar, kecil atau berprofil tinggi, kami akan memberi perhatian yang sama … tetapi jika situasi kes berprofil tinggi sangat serius, kami akan memberi perhatian segera kepadanya kerana kami khuatir jika tidak, semua (keterangan) itu akan lenyap, “katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

SPRM terima maklumat dakwaan aktiviti rasuah di Kuala Koh

KOTA BHARU, 11 JUL: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung dakwaan kemungkinan wujud aktiviti rasuah di Kampung Kuala Koh, Gua Musang.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada sebarang kertas siasatan dibuka berhubung dakwaan aktiviti tersebut setakat ini.

“Kami terima maklumat dan kami sedang siasat tetapi saya tidak boleh membincangkan operasinya ia akan menjejaskan apa jua siasatan risikan dan sebagainya, jadi saya tidak boleh memberikan komen mengenainya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Latheefa juga tidak mendedahkan maklumat berkenaan diterima daripada pihak mana atau adakah siasatan itu berhubung aktiviti berkaitan perlombongan mahupun pembalakan.

Baru-baru ini, 15 Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh meninggal dunia akibat jangkitan wabak demam campak yang mengakibatkan pneumonia (radang paru-paru).

Beberapa pihak membuat laporan polis mendakwa ia disebabkan oleh pencemaran air Sungai Lebir namun dinafikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas menerima laporan daripada Kementerian Kesihatan ketika membuat tinjauan ke perkampungan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Latheefa berkata, amalan pemakaian baju lokap oren terhadap suspek untuk dibawa ke mahkamah dihentikan sejak 1 Julai lepas lagi.

Beliau berkata, ia bagi memberi persepsi kepada masyarakat bahawa sesiapa yang ditahan tidak patut diberikan tanggapan ‘bersalah’ sehingga ia dibuktikan oleh mahkamah.

“Imej pemakaian itu dianggap seorang yang bersalah (sebelum ini) jadi sebab itu kami mengatakan bahawa sesiapa yang ditahan sehingga dia disabitkan bersalah dan dihukum, dia patut diberi tanggapan ‘tidak bersalah’.

“Dari segi prinsip itu kami mengatakan mulai tarikh itu (1 Julai) ia berkuat kuasa supaya imej pemakaian baju SPRM itu tidak digunakan bagi mana-mana Orang Kena Tahan (OKT) yang ditahan,” katanya.

Terdahulu, dalam pertemuan lebih satu jam antara Latheefa dengan Nazran membincangkan mengenai inisiatif Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang akan dibawa ke peringkat negeri selain cadangan dan tawaran kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan berkaitan isu pengisytiharan harta. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

ADN Sungai Rambai ditahan SPRM

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 JUL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dana.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, Hasan adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JEPERUN) Sungai Rambai ditahan bersama kerani JEPERUN, Khuzaimah Abdullah.

“Kedua-dua mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin SPRM namun perlu hadir ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh untuk menghadapi pertuduhan esok,” katanya dalam kenyataan.

Latheefa berkata, kes terbabit dikaitkan dengan Inisiatif Strategic Linkage di bawah Program Strategik Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) pada 2016.

Hasan yang juga ADN Barisan Nasional adalah bekas EXCO Melaka.

Categories
NASIONAL

Keperluan tambah baik proses penerimaan aduan SPRM

PUTRAJAYA, 5 JUL: Setelah menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira sebulan, Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya melihat keperluan untuk memperbaiki proses menerima aduan kes rasuah bagi memastikan aduan yang diterima suruhanjaya itu benar-benar tulen.

Ketika ditemu bual di konti MACC.fm hari ini, Latheefa berkata aduan yang diterima tidak sepatutnya semata-mata bermotifkan dendam, memalukan, menghina atau mengaibkan sesiapa.

“Proses menerima aduan itu adalah permulaan untuk operasi supaya apa-apa siasatan dilakukan secara efektif bukan kita membuang masa melayan aduan yang mungkin tiada asas.

“Jadi itu merupakan perkara yang sangat penting dalam aspek operasi,” katanya dalam satu program temu yang dikendalikan Ketua Seksyen Penerbitan Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Norizan Abu Samah.

Kepada soalan pendengar mengenai kurangnya pendakwaan walaupun banyak kertas siasatan dibuka, Latheefa berkata setiap aduan tidak semestinya akan menghasilkan kertas siasatan yang lengkap, dan hanya kertas siasatan yang lengkap sahaja akan dibawa kepada pendakwaan.

Latheefa berkata jika aduan yang diterima jelas maka kertas siasatan boleh terus dibuka, namun menurutnya ia jarang sekali berlaku kerana banyak aduan diterima berbentuk surat layang.

Terdapat juga aduan yang memerlukan perisikan lanjut kerana maklumat yang diberi atau perlu diproses terlalu sedikit, katanya.

Latheefa berkata terdapat juga pemberi maklumat yang mahu dilindungi yang mana SPRM perlu mengambil langkah untuk memastikan individu tersebut selamat sebelum menjalankan tindakan seterusnya.

“Ada kemungkinan pada satu peringkat tiada keterangan atau bukti mencukupi, kita terpaksa menutup siasatan tersebut sehinggalah kita mendapat lebih maklumat kita buka semula. Itulah yang kita perlu maklumkan kepada orang ramai,” katanya.

Selain itu, Latheefa berkata beliau juga ingin memperkukuhkan aspek siasatan dengan memberi latihan kepada pegawai-pegawai SPRM mengenai kaedah mendapatkan keterangan dan bukti melalui penggunaan teknologi moden.

Katanya SPRM perlu beralih daripada kaedah lama mengambil keterangan secara keras untuk menggerunkan saksi bagi mendapatkan maklumat atau pengakuan.

“Dengan teknologi, kita boleh tunjukkan sekiranya kita ada bukti yang (membuatkan) mereka tiada pilihan lain, tetapi untuk mengaku,” katanya.

Dalam pada itu, Latheefa berkata aspek promosi akan turut dipergiatkan bagi memberi maklumat kepada orang ramai mengenai skop tugas SPRM serta pendidikan mengenai rasuah.

“Kita lihat jenis-jenis rasuah dan dari situ kita bawa kepada sasaran-sasaran masyarakat sivil untuk beritahu mereka elak rasuah,” katanya.

Ditanya mengenai pertemuannya dengan panel Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam semalam, Latheefa menyifatkan pertemuan itu sangat berjaya.

“Mereka dapat satu pencerahan terhadap ‘misteri’ apa yang sedang berlaku, sama ada saya dapat lakukan tugas saya,” katanya, sambil menambah melalui pertemuan itu beliau melihat kepentingan penerangan dibuat mengenai tugas berat SPRM kepada ahli parlimen, pemimpin dan juga masyarakat. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pemakaian bar ribbon ikut peraturan SPRM-Latheefa

PUTRAJAYA, 29 JUN: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya menegaskan pemakaian bar ribbon yang dikepilkan di seragamnya adalah berdasarkan Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya SPRM Bab A (Dasar), Bil 1 Tahun 2012.

Beliau berkata di bawah peraturan itu seseorang Ketua Pesuruhjaya berdasarkan jawatannya dikehendaki memakai bar ribbon seperti yang disenaraikan.

“Walaupun pada asasnya ia adalah betul dan boleh diterima, namun terdapat sedikit kekhilafan dalam bar ribbon yang kini sudah diperbetulkan.

“Keduanya, saya tidak memakai pingat sebagaimana yang diperkatakan beberapa pihak. Bar Ribbon ini tidak harus dikelirukan dengan pingat atau darjah kebesaran yang dikurniakan dari pihak Istana, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat Negeri,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Latheefa berkata penjelasan ini dibuat berikutan sebuah parti politik menimbulkan beberapa persoalan berkenaan butiran pada pakaian seragamnya selaku Ketua Pesuruhjaya.

Menjelas lanjut, beliau berkata butiran lain di atas baju seragamnya adalah lencana pangkat yang beliau dikehendaki memakainya sebagai Ketua Pesuruhjaya dan berdasarkan perintah tetap.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menunjukkan minat tinggi terhadap pakaian seragam saya.

“Secara telus saya mengaku, saya baru sahaja mempelajari berkenaan lencana pangkat, bar ribbon dan pemakaian seragam,” katanya sambil menambah buat masa ini prioriti segeranya sejak mengambil alih tugas adalah melibatkan beberapa kes rasuah yang serius dan bukanlah butiran pemakaian seragam.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lucut harta: Responden boleh fail afidavit – Latheefa

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Mana-mana individu atau entiti yang terlibat dalam kes permohonan perlucutan hak sivil yang difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh memfailkan afidavit kepada SPRM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, ia bagi membolehkan responden mengemukakan bukti kukuh untuk menyangkal penglibatan mereka dalam skandal melibatkan syarikat pelaburan itu.

“41 responden ada peluang untuk menjawab isu dan kes terhadap mereka. Sesiapa yang ada bukti untuk menunjukkan cerita sebaliknya macam mana duit itu datang… dipersilakan untuk masukkan afidavit dan kita jawab di mahkamah.

“Kalau kita setakat memberi berita melalui media dan sebagainya, itu hanya untuk sekadar sensasi. Masukkan dalam afidavit, baru ia menjadi keterangan yang boleh dipakai di mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas ditemui dalam Istiadat Mengangkat Sumpah Ketua Pesuruhjaya SPRM di Istana Negara, hari ini.

Latheefa berkata demikian semasa mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang mahu SPRM tampil dengan bukti kukuh terhadap dakwaan berkenaan. Najib menyatakan beliau​​ ​​​​​mempunyai bukti bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya adalah sumbangan Kerajaan Arab Saudi.

Pada 21 Jun, SPRM mengumumkan telah memfailkan permohonan perlucutan hak sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun, yang diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri itu.

Kesemua 41 individu dan entiti melibatkan rakyat tempatan termasuk yayasan, syarikat dan parti politik antaranya seperti bahagian UMNO, Parti Rakyat Bersatu Sabah, MCA serta Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Sementara itu, Latheefa turut mendedahkan bahawa ada beberapa responden yang telah menyatakan persetujuan untuk memulangkan semula wang kepada kerajaan tanpa menunggu proses perbicaraan.

“Bagi yang setuju untuk pulang wang, kita boleh rekodkan satu penghakiman persetujuan. Kalau peguam mereka menasihatkan bagi sahaja duit itu dan mereka sedia untuk menyerahkan semula duit itu, kami akan rekodkan penghakiman persetujuan di hadapan mahkamah nanti,” katanya.

– BERNAMA

 

 

Categories
NASIONAL

Latheefa angkat sumpah Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Latheefa Beebi Koya mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Surat Watikah Pelantikan kepada Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ke-14, untuk tempoh kontrak dua tahun, mulai 1 Jun 2019 hingga 31 Mei 2021.

Majlis angkat sumpah itu selaras dengan Seksyen 5 (7) Akta SPRM 2009 iaitu setiap Ketua Pesuruhjaya yang dilantik perlu mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Latheefa, 46, menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon memendekkan kontrak beliau lebih awal yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of London merupakan bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty dan bekas anggota jawatankuasa pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Turut hadir menyaksikan istiadat itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Latheefa nafi minta jemaah haji pulangkan duit tajaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 JUN: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya menafikan beliau meminta jemaah haji yang ditaja memulangkan semula wang tajaan itu.

Sebaliknya, tangkap layar yang dimuat naik di Twitternya itu adalah palsu.

Latheefa menaikkan ciapan palsu itu di laman Twitternya dengan ringkas berkata ‘Ini adalah palsu!’.

 

Dalam tangkap layar palsu dimuat naik Latheefa itu, meninta jemaah haji yang ditaja memulangkan wang itu dalam tempoh 30 hari jika tidak mahu dikenakan tindakan.

“Para Jemaah Haji ditaja guna wang curi dari 1MDB sejak 2011 hingga 2018, diminta memulangkan wang dalam tempoh 30 hari bermula hari ini, atau bakal berdepan tindakan,” menurut tangkap layar itu.

Baru-baru ini, Latheefa mengumumkan senarai 41 responden yang berkaitan dan sudah membuat permohonan lucut harta mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Wang yang diterima responden itu datang daripada akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan jumlah permohonan lucut harta bernilai RM270 juta adalah jumlah terbesar dalam sejarah bagi kes pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (AMLA) di negara ini.

Categories
NASIONAL

PM diyakini dengar kritikan, nilai prestasi Latheefa

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diyakini akan mendengar pandangan dan kritikan terhadap keputusannya melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata beliau yakin Dr Mahathir akan memantau dan menilai prestasi Latheefa dari masa ke semasa dan jika pencapainya tidak memenuhi hasrat pengkritik, maka beliau percaya pelantikan berkenaan akan dinilai semula.

“Saya berkeyakinan penuh Perdana Menteri mengambil perhatian tentang cara pelantikan dan menjadikan kritikan serta pandangan itu sebagai satu ujian kepada kewibawaan Latheefa untuk menjalankan tugas sebagai ketua pesuruhjaya SPRM,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pelantikan Latheefa adalah untuk tempoh kontrak dua tahun berkuasa kuasa 1 Jun lalu.

Latheefa, yang memulakan tugas hari pertama, hari ini, menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon memendekkan kontrak beliau lebih awal daripada sepatutnya pada 17 Mei 2020. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dr Mahathir sedar pimpin Malaysia baharu di bawah PH

PUTRAJAYA, 7 JUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedar bahawa beliau kini memimpin Malaysia Baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) dan bukannya kerajaan lama di bawah Barisan Nasional, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin.

Beliau berkata, ini boleh dilihat dalam pelbagai insiden sebelum ini misalnya dalam pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Parlimen (PAC).

Justeru, Mohamed Hanipa yakin Dr Mahathir, anggota kabinetnya serta pemimpin tertinggi PH akan berjaya menyelesaikan kemelut pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu dengan baik dan berhemah.

“Oleh yang demikian, untuk berlaku adil kepada Dr Mahathir, pihak lain juga sewajarnya perlu sedar bahawa jawatan Perdana Menteri juga ada bersamanya keistimewaan tertentu yang mungkin tidak ada pada jawatan lain.

“Ya, sudah tentu kita semua tidak mahu melihat Perdana Menteri “menyalahgunakan” hak istimewa itu dan saya juga tidak nampak bagaimana ia boleh “disalahgunakan”,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Hanipa berkata beliau telah menerima banyak mesej dan aduan dari pelbagai pihak mengenai pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Majoriti mesej dan aduan yang diterima, pada dasarnya, tidak mempertikaikan kelayakan atau kewibawaan Latheefa untuk memegang jawatan penting itu.

“Aduan yang saya terima kebanyakannya berkisar lebih kepada isu proses pelantikan. Antaranya, isu dakwaan ketiadaan ketelusan dan konsultasi yang sepatutnya, isu dakwaan perlanggaran janji bertulis di dalam buku Manifesto PH, isu ketiadaan perbincangan dalam kabinet dan/atau Majlis Presiden PH, isu kebimbangan “lack of impartiality” di pihak Latheefa, mengambil kira latarbelakang beliau, dan pelbagai isu yang lain,” jelasnya.

Mohamed Hanipa berkata, beberapa pihak seperti Majlis Peguam dan Bersih 2.0 juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang juga boleh dikatakan bersifat kritikal terhadap pelantikan Latheefa. Secara jujur, saya melihat ada merit yang agak kuat pada alasan mereka.

“Ada juga pihak yang menyatakan, mengambil kira perkiraan latar belakang Latheefa sebagai peguam hak asasi manusia sebelum ini, maka jawatan yang lebih sesuai dan wajar bagi beliau adalah sebagai Ketua Suruhanjaya di badan Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan bukannya SPRM,” katanya.

Sebagai sebuah kerajaan yang peka pada roh dan prinsip demokrasi serta kedaulatan undang-undang, Mohamed Hanipa berkata beliau percaya kerajaan di bawah Dr Mahathir tidak akan perlecehkan begitu sahaja “suara-suara” itu.

“Saya juga percaya kerajaan Malaysia baharu ini bukanlah kerajaan yang memandang “enteng” (mudah) terhadap janji-janji dalam manifesto seperti mungkin kerajaan sebelum ini. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pelantikan Latheefa hak mutlak PM

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 JUN: Pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Beebi Koya adalah keputusan mutlak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Penerangan BERSATU Selangor, Salleh Amiruddin berkata, pelantikan itu mengikut Akta 694 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam perkara 5(1).

“Yang Dipertuan Agong hendaklah atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang Ketua Pesuruhjaya bagi SPRM untuk selama apa-apa tempoh dan atas apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam surat cara perlantikannya.

“Oleh kerana akta 694 ini diwarisi daripada kerajaan terdahulu maka ia masih kekal sebagai akta yang sah, maka pelantikannya tanpa perlu dirujuk kepada kabinet atau Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) atau Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia adalah hak mutlak Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Salleh turut mempersoalkan tindakan pemimpin yang membantah pelantikan berkenaan.

Sedangkan, katanya, semua pihak perlu menyokong Latheefa dan gembira kerana ia bakal memperkasa usaha membanteras rasuah sama ada kepada pemimpin kerajaan lama atau pemimpin kerajaan baharu.

“Dahulu kita selalu menyebut bekenaan reformasi institusi atau ‘Reinstates of Institution’, malangnya ia hanya sekadar laungan untuk menyedapkan bicara pidato kita.

“Sedangkan kita tidak pernah melihat dan mengkaji akta yang terkandung di dalam undang undang dan peraturan lama yang mengekang kita untuk bertindak serta mengurus negara dengan efisyen.

“Sempena satu tahun PAKATAN memerintah negara berapa banyak akta untuk ‘Reinstates of Institution’ yang kita laungkan dahulu dipinda dan dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Pada masa sama, Salleh berkata, disebabkan pemimpin gagal memahami reformasi institusi itu, maka Dr Mahathir memberikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 5/10 kepada jemaah menterinya.