Categories
AGENDA NASIONAL

Hospital Klang nafi kosongkan Jabatan Kecemasan ketika lawatan PM

SHAH ALAM, 14 JULAI: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial mengatakan Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu “dikosongkan” kerana menerima lawatan daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pengarahnya, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata perkara itu adalah tidak benar kerana jabatan berkenaan sudah sememangnya penuh dengan pesakit yang setakat semalam, seramai 177 pesakit masih belum menerima rawatan.

Dr Zulkarnain memaklumkan trend semasa di Jabatan Kecemasan dan Trauma menerusi kes harian oleh Unit Pengurusan Katil adalah antara 150 hingga 180 pesakit.

Beliau berkata pemindahan pesakit Covid-19 ke Kompleks Rawatan Harian (ACC) yang ditukarkan fungsi sebagai Wad Covid-19 adalah pelan kontigensi yang diambil bagi Pengurusan Bencana Peringkat Hospital.

Katanya pada 8 Julai, Wad G2 dan G3 yang berdekatan dengan Jabatan Kecemasan dan Trauma dikenal pasti sebagai tempat yang boleh digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

Pada 9 Julai pula, Kompleks Rawatan Harian (ACC) dicadangkan untuk ditukarkan fungsinya sebagai wad merawat pesakit Covid-19 demi memastikan pesakit mendapat rawatan di dalam ruang yang selesa.

“Kriteria untuk menempatkan pesakit-pesakit Covid-19 ke Wad Covid-19 Berisiko Rendah adalah atas keputusan pihak pengurusan wad, dan ia bukan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma,” katanya.

Mengenai isu berkaitan doktor pelatih diarah untuk berpindah dari Asrama Doktor Pelatih, Dr Zulkarnain berkata mereka dipindahkan ke bangunan Asrama Pelajar Perubatan Universiti Malaya (UM) yang lebih selesa.

Beliau berkata ia bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan Blok A, B dan C Asrama Doktor Pelatih memandangkan Blok D Asrama Doktor Pelatih telah pun digunakan sebagai Pusat Saringan Covid-19 (PSC) sejak April 2020.

Dr Zulkarnain berkata selepas semua pemindahan doktor pelatih ke Asrama Pelajar Perubatan UM selesai dilakukan pada 12 Julai, fungsi Blok A dan B Asrama Doktor Pelatih ditukarkan kepada Wad Covid-19 Berisiko Rendah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM lawat pejabat Petronas di Azerbaijan

BAKU, Azerbaijan, 26 OKT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melawat pejabat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Azerbaijan di sini.

Sebaik tiba, Dr Mahathir yang berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 diberikan taklimat mengenai operasi Petronas di negara itu oleh Ketua Negaranya, Najwa Aras

Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Datuk Yubazlan Yusof.

Sebagai satu daripada syarikat terbesar Fortune Global 500, kehadiran Petronas dalam kalangan gergasi minyak dan gas telah mengubah landskap industri itu di Azerbaijan.

Sebelum 2014, industri itu dimonopoli oleh syarikat minyak dan gas barat seperti British Petroleum (BP), Chevron dan TOTAL Statoil.

Susulan penubuhan Kedutaan Malaysia di Baku, Petronas membuka operasinya di sini dan mengambil alih 15.5 peratus ekuiti dalam Perjanjian Perkongsian Pengeluaran(PSA) Shah Deniz II daripada Statoil yang berpangkalan di Norway dengan nilai US$2.25 bilion.

Sebagai pihak berkepentingan dalam PSA, Petronas turut memiliki 15.5 peratus ekuiti dalam South Caucasus Pipeline Co (SCPC) dan 12.4 peratus kepentingan dalam Azerbaijan Gas Supply Co.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lawatan PM dijangka perkukuh hubungan Malaysia – Turkmenistan

ASHGABAT (Turkmenistan), 26 OKT: Lawatan rasmi dua hari Tun Dr Mahathir Mohamad ke Turkmenistan bermula Ahad, dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala yang telah terjalin antara Malaysia dan negara ini sejak 27 tahun lepas.

Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan Roseli Abdul berkata, lawatan Dr Mahathir itu adalah atas jemputan Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov yang telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada Disember 2011 dan November 2016.

Beliau berkata lawatan Dr Mahathir itu yang merupakan kali kedua selepas Oktober 1994, juga akan dapat memperkukuhkan lagi penglibatan Petronas dalam kerja-kerja penerokaan minyak dan gas di negara ini.

“Fokus utama lawatan Tun Dr Mahathir ini bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi terutama dalam industri minyak dan gas. Kedua-dua pemimpin juga dijangka membincangkan hal berkaitan isu serantau dan antarabangsa,” katanya kepada media Malaysia di sini, pada Sabtu, sempena lawatan rasmi Dr Mahathir ke Turkmenistan.

Selepas dua lawatan tertinggi dari pemimpin Turkmenistan pada 1994, kerajaan negara ini menyedari pengalaman dan kelayakan Petronas dalam bidang industri minyak dan gas, dan menjemput syarikat petroleum Malaysia itu melabur di negara ini.

Selepas itu pada tahun 1996, Petronas diberi 32 tahun Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC), berakhir pada 2028 untuk mengeluarkan gas asli di kawasan Blok 1 di Laut Caspian.

Pada masa ini, Turkmenistan berada di kedudukan keempat teratas yang mempunyai simpanan gas asli di bawah tanah, selepas Rusia, Iran dan Qatar. Simpanan gas asli yang terbukti adalah sebanyak 20 trilion meter padu, namun jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana masih banyak kawasan di negara ini masih belum diterokai.

Mengulas lanjut, Roseli berkata sebelum ini bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, kerajaan Malaysia telah membuka Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat pada 2011.

“Dalam masa lapan tahun, pihak Kedutaan telah bekerja rapat dengan Petronas Carigali Turkmenistan untuk kepentingan ekonomi negara kita, di samping meneroka bidang baharu seperti perniagaan, pelancongan dan pelajaran,” katanya.

Beliau berkata hubungan dalam bidang pelajaran juga menggalakkan kerana semakin ramai pelajar dari Turkmenistan berminat untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di Malaysia.

Setakat ini seramai 300 pelajar Turkmenistan berada di Malaysia. Petronas melalui program tanggungjawab sosial korporat telah memberi biasiswa kepada 150 pelajar negara ini dalam masa 20 tahun untuk belajar di Universiti Teknologi Petronas, katanya.

Roseli berkata selain Petronas, terdapat beberapa syarikat Malaysia yang sedang melabur di Turkmenistan terutamanya dalam bidang minyak dan gas, sekali gus memberi sokongan kepada syarikat petroleum nasional Malaysia itu.

Malaysia kini merupakan sumber pelaburan asing yang terbesar di Turkmenistan dengan nilai pelaburan terkumpul melebihi US$10 bilion (RM42 bilion). Turkmenistan merupakan rakan dagangan Malaysia yang ketiga terbesar dalam kalangan negara Asia Tengah dengan nilai dagangan berjumlah US$11.8 juta (RM48.5 juta) pada 2018

Dalam lawatan ini, Dr Mahathir akan diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Dr Mahathir dijangka tiba di Ashgabat kira-kira 9 malam ini waktu tempatan (kira-kira 12 tengah malam waktu Malaysia).

Program lawatan rasmi perdana menteri bermula Ahad dengan majlis sambutan di Istana Presiden, diikuti dengan Mesyuarat Terhad antara Dr Mahathir dan Berdimuhamedov, seterusnya Mesyuarat Delegasi, dan diakhiri dengan kenyataan bersama daripada kedua-dua pemimpin.

Beberapa dokumen dijangka disepakati selepas pertemuan tersebut iaitu Pertukaran Nota Program Kerjasama antara Kementerian Luar Malaysia dan Turkmenistan untuk 2020/2021; serta Pertukaran Nota Kerjasama Akademi-Diplomatik antara kerajaan Malaysia dan Turkmenistan.

Selepas program berkenaan, Presiden Turkmenistan itu akan meraikan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah serta delegasi Malaysia pada majlis makan tengah hari.

Pada sebelah malam Ahad, Dr Mahathir dijadual menghadiri jamuan makan malam dengan kira-kira 80 rakyat Malaysia yang bekerja di Turkmenistan.

Perdana Menteri dan isteri dijangka berlepas pulang ke Malaysia pada Isnin.

-BERNAMA