Categories
NASIONAL SELANGOR

Laluan bertingkat Setiawalk dijangka siap hujung 2014

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

PUCHONG, 19 SEPT: Projek laluan bertingkat menghubungkan Lebuh Raya Damansara Puchong ke Setiawalk dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2014.

Projek yang dimulakan sejak Jun lalu itu dibina bagi mengatasi kesesakan trafik di Persiaran Wawasan dan menelan perbelanjaan sebanyak RM11 juta.

Menurut Pengurus Kanan Projek Syarikat Bandar Setia Alam Sdn Bhd, Chan Tak Siong, syarikat pemaju itu turut membina perhentian bas baru bagi menggantikan perhentian bas lama dengan kos sebanyak RM270 ribu di persiaran wawasan dan melakukan kerja pemindahan pokok-pokok sedia ada di tapak projek.

“Pembinaan perhentian bas sudah siap sepenuhnya , begitu juga dengan kerja menggantikan pokok di kawasan projek dengan pokok baru di Taman Tasik Puchong Perdana,” kata Tak Siong dalam Majlis Taklimat Trafik Pembangunan Setiawalk kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, Setia Alam berjaya menunaikan janjinya untuk menyelesaikan masalah kesesakan trafik berikutan siapnya projek pembangunan di Setiawalk.

“Terima kasih kepada Setia Alam kerana nampaknya mereka memang tunaikan janji untuk membina laluan bertingkat ini,” kata Asmawi.

Selain Asmawi, turut hadir sama dalam majlis taklimat itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.