Categories
AGENDA NASIONAL

94.6 peratus penduduk dewasa negara ini lengkap vaksin

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Populasi dewasa di negara ini yang sudah lengkap menerima vaksinasi Covid-19 setakat 11.59 malam tadi (24 Okt) adalah sebanyak 94.6 peratus atau seramai 22,143,545 orang.

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi portal COVIDNOW, sebanyak 97.5 peratus atau 22,813,885 individu populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sejumlah 124,530 dos suntikan turut diberikan semalam melibatkan 106,261 suntikan dos lengkap dan 9,831 suntikan dos pertama menjadikan kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini bertambah kepada 49,069,291 dos.

Setakat semalam juga, sebanyak 89,095 atau 51.6 peratus individu dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksin manakala 81.1 peratus atau 2,552,468 individu remaja telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, sejumlah 8,438 dos penggalak vaksin Covid-19 telah diberi setakat semalam menjadikan jumlah kumulatif kini sebanyak 101,590 dos.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri minta pengusaha pengangkutan awam pastikan penumpang lengkap vaksin

PUTRAJAYA, 11 OKT: Semua pengusaha pengangkutan awam darat, udara dan sektor maritim diminta memastikan penumpang mereka lengkap vaksinasi sebagaimana yang dikehendaki di bawah tatacara operasi piawai (SOP) bagi perjalanan rentas negeri, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

“Semua pengusaha perlu memastikan setiap penumpang atau pengguna pengangkutan awam menunjukkan sijil vaksinasi masing-masing bagi membuktikan bahawa mereka sudah lengkap vaksinasi,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan penarikan sekatan perjalanan rentas negeri seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, pengusaha terbabit diingatkan supaya mengelak bersikap puas hati dan perlu sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan di bawah Pelan Pemulihan Negara (NRP).

“SOP lain yang perlu dipatuhi ialah memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan atau menggunakan pensanitasi tangan juga harus dipatuhi tanpa kompromi,” katanya.

Wee berkata pengguna pengangkutan awam turut digalak menjalani ujian saringan Covid-19 kendiri sebelum melakukan perjalanan rentas negeri bagi melindungi diri sendiri, keluarga dan orang di sekeliling mereka.

Perdana Menteri dalam sidang media khas semalam mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

-BERNAMA