Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: PBT giat proses lesen penjaja seluruh Selangor

KLANG, 8 SEPT: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang giat memproses pemberian lesen perniagaan sementara kepada penjaja di seluruh negeri, kata EXCO kerajaan tempatan.

Menurut Ng Sze Han pihak PBT juga berusaha memberi kelulusan permohonan lesen tersebut dalam tempoh tujuh hari.

“Saya sendiri sudah memaklumkan kepada mereka (PBT), jika ada program berkaitan pemberian lesen kepada penjaja, tidak perlu tunggu saya atau Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, program berkenaan perlu terus dijalankan untuk memudahkan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas permintaan EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail yang menggesa supaya PBT mempercepatkan urusan pemberian lesen kepada penjaja.

Teguran Rodziah itu dibuat ketika Dialog Belanjawan Selangor 2021 yang turut disertai Dato’ Menteri Besar, ahli mesyuarat kerajaan negeri dan pegawai-pegawai Kerajaan Selangor.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata sehingga kini Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sudah meluluskan 600 lesen perniagaan sementara kepada penjaja di kawasan berkenaan.

“Kita akan teruskan lagi pemberian lesen niaga bagi membantu peniaga di musim pasca Covid-19 ini,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPK keluar 500 lesen penjaja sementara hingga hujung tahun

KLANG, 19 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan 500 lesen penjaja sementara secara berperingkat bagi membantu peniaga kecil tidak berlesen meneruskan operasi mereka.

Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata lesen berkenaan sah sehingga 31 Disember ini di 25 lokasi ditetapkan.

“Untuk permulaan, hari ini kita beri kepada 35 peniaga tidak berlesen dan dijangka dalam sebulan ini semua penerima mendapat lesen sementara masing-masing.

“Dengan adanya lesen ini, penerima dibenarkan berniaga termasuk pekarangan petak rumah tanpa perlu risau tindakan penguatkuasaan majlis,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Penjaja Sementara Pasca Covid-19 Peringkat Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Ahmad Fadzli mengingatkan penerima lesen tidak melanggar syarat selain menyewakan permit sah mereka kepada orang lain.

Jika kesalahan itu dikesan, katanya, lesen akan dibatalkan serta-merta selain tindakan tegas dikenakan.

“Pemberian lesen ini akan diteliti mengikut keperluan semasa. Sekiranya penularan Covid-19 ini berterusan, mungkin langkah ini juga akan diteruskan.”