Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Najib tarik semula permohonan cabar lantikan peguam wakili LHDN

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Peguam Datuk D.P. Naban akan terus mewakili Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam saman untuk menuntut cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini setelah pasukan pembelaan Najib menarik balik permohonan mencabar pelantikan Naban daripada mewakili LHDN.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Najib, memberitahu media bahawa mereka telah menerima surat pelantikan Naban pada 11 Disember 2019.

“Oleh kerana kami menerima surat pelantikan dan selepas kami meneliti surat berkenaan, kami memutuskan untuk menarik balik permohonan supaya peguam itu menarik diri,” katanya selepas pengurusan kes dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache.

Beliau berkata setelah meneliti surat lantikan tersebut, mereka tidak mendapati sebarang konflik kepentingan dalam pelantikan Naban untuk bertindak bagi pihak LHDN.

Muhammad Farhan berkata menurut surat itu, Naban dilantik mengikut Seksyen 24 (3) Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Beliau berkata mahkamah menetapkan 7 Jan untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh perbicaraan permohonan penangguhan prosiding yang dipohon Najib dan permohonan LHDN untuk ringkasan penghakiman terhadap Najib.

Pada 8 Ogos lepas, Najib, 66, memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding tuntutan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion oleh LHDN terhadapnya, sementara menunggu rayuan mengenai penilaian cukai kepada LHDN.

Bagaimanapun, LHDN dalam afidavit sokongannya menyatakan Najib masih perlu membayar RM1.69 bilion kepada LHDN walaupun sudah memfailkan rayuan penilaian semula bagi tuntutan itu.

Berdasarkan salinan afidavit sokongan yang ditandatangani Penolong Pengarah Kawalan Unit LHDN, Hisyamuddin Mohd Hassan, Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967 memperuntukkan bahawa seseorang yang merayu terhadap penilaian itu masih perlu membayar taksiran yang dikemukakan.

Pada 25 Jun lepas, kerajaan melalui LHDN memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut bekas menteri kewangan itu membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan LHDN yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

LHDN: Tidak wujud pecahan cukai ikut kaum

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan wujud pecahan kutipan cukai mengikut komposisi kaum, seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Bahagian Komunikasi LHDN dalam kenyataan berkata, pihaknya tidak pernah menyimpan maklumat pembayar dan data kutipan cukai berdasarkan komposisi kaum serta bangsa, selari prosedur operasi standard yang ditetapkan pihak lembaga.

“Data dan maklumat pembayar cukai yang direkodkan dalam sistem LHDN dikategorikan mengikut komponen pembayar cukai, membabitkan cukai individu serta syarikat.

“Pecahan mengikut lapan komponen ini boleh disemak di portal www.hasil.gov.my dan siaran media Kementerian Kewangan,” katanya.

Pada masa sama, LHDN turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat bagi mengelakkan kekeliruan serta salah faham.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung pembentangan kertas putih di Parlimen membabitkan laporan jumlah sumbangan cukai berdasarkan komposisi kaum di Malaysia.

Categories
NASIONAL

Cukai: Program khas pengakuan sukarela dilanjutkan

PUTRAJAYA, 7 APRIL: Tempoh fasa pertama Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) dengan kadar penalti 10 peratus daripada jumlah cukai yang dikenakan, akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2019.

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata jemaah menteri telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh tersebut susulan sambutan yang amat menggalakkan daripada kalangan pembayar cukai.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata bagi tempoh setakat 31 Mac lepas, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menerima sebanyak 381,979 pengakuan sukarela berkenaan.

Fasa kedua PKPS dengan kadar penalti 15 peratus daripada jumlah cukai dikenakan pula akan bermula pada 1 Julai 2019 dan tamat pada 30 September 2019.

“Mulai 1 Oktober 2019, kadar penalti sebanyak 45 peratus ke atas akan dikenakan bagi mana-mana kesalahan tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) serta bagi kesalahan melaporkan cukai pendapatan yang berkurangan.

“Kerajaan berharap dengan lanjutan tempoh yang diberikan ini, lebih ramai pembayar cukai akan tampil menyertai PKPS bagi membolehkan mereka menikmati kadar penalti rendah dan seterusnya dapat mengurangkan bebanan cukai masing-masing,” katanya.

Lim berkata PKPS memberi fokus utama kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara serta mempunyai pendapatan yang dijana dari dalam Malaysia namun belum melaporkannya kepada LHDN.

Kerajaan turut mengalu-alukan mana-mana pembayar cukai tempatan yang tidak mempunyai akaun bank di luar negara untuk membuat apa juga pengakuan secara sukarela berhubung punca pendapatan dari dalam Malaysia dan masih belum dilaporkan.

Beliau berkata, pengakuan sukarela pembayar cukai kategori individu boleh dibuat sehingga pendapatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 manakala bagi pembayar cukai kategori syarikat pula membabitkan pendapatan sehingga tempoh perakaunan 31 Mac, 2018.

“LHDN juga akan menerima setiap pengakuan sukarela dengan suci hati dan tindakan audit serta siasatan tidak akan dilakukan terhadap pengakuan tersebut,” katanya.

LHDN akan turut mengeluarkan surat pengesahan bagi setiap pengakuan sukarela yang diterima.

Surat kesahihan pelaporan cukai secara sukarela juga akan diberikan setakat 2017 untuk individu manakala 31 Mac, 2018 untuk syarikat, katanya.

Selain itu, Lim berkata, LHDN juga telah mematuhi arahan kerajaan pada tahun lepas agar sebarang siasatan dijalankan tanpa ugutan atau ancaman termasuk menghentikan semua serbuan ke atas rumah atau pejabat pembayar cukai dengan diiringi anggota bersenjata dan lengkap memakai topeng muka.

“Sekiranya ada mana-mana pihak mengingkari arahan ini, pihak yang terkesan diminta membuat aduan kepada pihak LHDN atau Kementerian Kewangan,” katanya.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sumbangan asing, pendapatan dikaji berdasarkan kes-LHDN

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Cukai ke atas sumbangan atau pendapatan asing akan dikaji berdasarkan kes sebelum keputusan dibuat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sambil berkata beliau tertakluk kepada peruntukan kerahsiaan.

“Kami tidak boleh membincangkan urusan percukaian dengan orang ramai. Ia akan dilihat berdasarkan kes,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Agenda Reformasi Percukaian Baharu Malaysia – Apa Seterusnya, sini hari ini.

Beliau menjawap soalan mengenai penyata cukai bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilaporkan sebanyak RM1.5 bilion, termasuk derma RM2.6 bilion yang didakwa daripada Arab Saudi.

Sementara itu, Sabin berkata LHDN yakin dapat mencapai sasaran kutipan cukai sebanyak RM147 bilion tahun ini walaupun menghadapi cabaran ekonomi global.

“Kami sudah berada pada landasan yang baik setakat ini. Jumlah yang dikumpul akan digunakan untuk operasi kerajaan,” katanya.

Sabin berkata di bawah kerajaan baharu, LHDN akan meneruskan komitmennya untuk mengukuhkan sistem percukaian dengan menambah baik bagi memastikan setiap orang membayar bahagian yang saksama.

“Perubahan cukai bukanlah semata-mata mengenai cukai baharu. Ada isu yang perlu ditangani seperti pengisytiharan pendapatan, memalsukan dokumen dan pembayar cukai yang tidak membayar jumlah yang betul,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Sabin menggesa rakyat Malaysia yang mahu mengisytiharkan cukai mereka secara sukarela menerusi Program Pendedahan Sukarela Khas (SVDP) berbuat demikian sebelum berakhir pada 30 Jun 2019, untuk melayakkan mereka mendapat pengurangan penalti, dengan kadar penalti akan meningkat kepada 300 peratus selepas itu.

“SVDP memberi peluang kepada anda untuk membersihkan sebarang isu cukai tertunggak, terutama yang tidak dilaporkan atau diisytiharkan pada masa lepas,” katanya.

Persidangan dua hari itu yang bermula hari ini dianjurkan bersama oleh Institu Akauntan Malaysia dan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pendapatan dari Singapura tidak dikenakan cukai

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Pendapatan daripada punca penggajian di Singapura tidak tertakluk kepada cukai yang dikenakan di Malaysia, kata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, hal itu ekoran punca pendapatan di republik berkenaan bukan daripada punca penggajian, di Malaysia.

“Bagi individu yang menetap di Malaysia melebihi tempoh 183 hari, beliau dianggap mempunyai status pemastautin bagi maksud (tujuan) percukaian di Malaysia di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
“Bagaimanapun, jika individu itu tidak menerima apa-apa pendapatan berpunca dari Malaysia dan hanya menerima pendapatan penggajian dari Singapura, maka dia masih lagi tidak dikenakan cukai di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu bagi mengulas laporan sebuah akhbar Bahasa Cina hari ini yang “mencetuskan kekeliruan berhubung pendapatan diterima daripada sumber di Singapura dan asas penentuan status pemastautin bagi tujuan dikenakan cukai pendapatan.”

Sabin berkata, status pemastautin seseorang individu di Malaysia tidak akan menyebabkan semua pendapatan yang diterima itu secara automatik tertakluk kepada undang-undang percukaian, di Malaysia.

Selain itu, katanya, sebarang punca pendapatan dari luar negara yang dibawa masuk ke Malaysia juga dikecualikan cukai di bawah Perenggan 28, Jadual 6, ACP 1967 berkenaan.

Sebarang maklumat lanjut boleh diperolehi dengan mengunjungi pejabat LHDN berhampiran atau menghubungi talian Hasil Care Line LHDNM 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (luar negara). –BERNAMA

Categories
NASIONAL

LHDN: Pembayar cukai bermasalah perlu rebut tawaran PKPS

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meminta pembayar cukai mempunyai masalah percukaian untuk tampil ke hadapan dan merebut tawaran Program Khas Pematuhan Sukarela (PKPS) yang kini dalam fasa pelaksanaan dan promosi.

LHDN dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan pengakuan sukarela itu boleh dibuat di mana-mana pejabat LHDN di seluruh negara bermula 3 Nov hingga 30 Jun tahun depan.

“Melalui tawaran ini, pembayar cukai akan dikenakan penalti lebih rendah antara 10 dan 15 peratus daripada amaun cukai perlu dibayar berbanding kadar penalti lebih tinggi (80 hingga 300 peratus) selepas pengakuan sukarela tamat, ” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu menyebut program berkenaan merupakan peluang kepada pembayar cukai menyelesaikan isu ketidakpatuhan cukai pelaporan cukai pendapatan.

LHDN juga akan menerima segala pengakuan sukarela daripada pembayar cukai dengan suci hati dan tidak akan membuat semakan lanjut terhadap pengakuan yang dikemukakan, kata kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan lanjut, pembayar cukai boleh melayari portal rasmi LHDN di pautan www.hasil.gov.my atau boleh diajukan kepada Hasil Careline di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (Luar Negara) atau e-mel di [email protected]

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan PKPS melalui Belanjawan 2019 bermatlamat meningkatkan kutipan hasil kerajaan untuk pembangunan negara dan merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam melakukan reformasi percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai mengisytiharkan pendapatan masing-masing secara sukarela.

Dalam pada itu, LHDN hari ini menganjurkan Program Boling Tenpin LHDN bersama media yang disertai 114 pemain daripada pelbagai agensi media di Malaysia.

Program bertujuan menyahut semangat kesukanan antara LHDN dan media itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Sabin Samitah dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Peluang lapor dan lunas cukai pendapatan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 NOV: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuka peluang kepada pembayar cukai melaporkan pendapatan dan membayar cukai dalam tempoh sepatutunya menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela.

Pengakuan yang bermula pada 3 November lalu memberikan tempoh sehingga 30 Jun 2019 dan dibuka kepada semua kategori pembayar cukai, di semua cawangan LHDN.

“Program ini juga bertujuan memberi peluang kepada pembayar cukai melaporkan pendapatan sepatutnya selaras pelaksanaan Common Reporting Standard (CRS), pada 30 September 2018 dengan LHDN bakal menerima maklumat kewangan pembayar cukai daripada pentadbir cukai luar negara,” katanya.

Katanya, proram itu hanya membabitkan pelaporan pendapatan atau keuntungan pelupusan aset bagi tahun taksiran 2017 dan tahun taksiran kebelakang serta penyeteman surat cara melebihi enam bulan selepas tempoh penyeteman.

“Semua pengakuan sukarela bagi pendapatan tahun taksiran 2017 dan tahun taksiran kebelakang akan ditaksir berdasarkan tahun itu tersebut diterima atau sepatutnya diterima.

“Bagaimanapun, jika tahun yang pendapatan itu berkait tidak dapat ditentusahkan secara jelas, pelaporan pendapatan dalam tahun taksiran 2017 boleh dibenarkan, namun Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) atau Borang Nyata Petroleum (BNP) bagi tahun kebelakang masih perlu dikemukakan dengan memasukkan amaun ‘0’, pada ruangan pendapatan.

“Pengakuan sukarela ini juga terpakai kepada kes sedang diaudit atau disiasat,” katanya.

Maklumat lanjut boleh lawati pautan http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/GO_012018_01.pdf.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Kerajaan jamin cukai korporat tidak dinaikkan dalam tempoh terdekat

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Kerajaan memberi jaminan tidak akan menaikkan cukai korporat yang ketika ini pada kadar 24 peratus dalam tempoh terdekat walaupun berdepan kedudukan fiskal yang lemah, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata kerajaan akan mengekalkan kadar sedia ada itu malah berpotensi dikurangkan jika kedudukan fiskal kerajaan bertambah baik.

“Saya rasa kadar cukai korporat boleh dikurangkan daripada 24 peratus, tetapi ini tentu memerlukan masa,” katanya semasa berucap merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2018 di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah.

Lim berkata kerajaan sedang memulihkan semula kedudukan kewangan kerajaan ke tahap yang baik namun proses ini dijangka memerlukan masa.

“(Pemulihan kedudukan fiskal) ini bukan (dapat dicapai) dalam jangka pendek atau jangka sederhana,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lim berkata kerajaan akan melaksanakan pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta cukai pendapatan berjumlah RM37 bilion kepada syarikat dan individu yang terlibat mulai awal 2019.

“Jadi, boleh dikatakan perkara membabitkan pemulangan semula GST dan cukai pendapatan sudah selesai. Jangan buang masa bertanyakan soalan ini (di dalam seminar ini) kerana kerajaan menjamin akan membayarnya semula.

“Kerajaan tidak akan menggunakan walaupun ‘sekupang’ (10 sen) daripada cukai yang dikutip daripada rakyat tetapi akan pulangkannya kembali,” katanya.

SPK adalah program pendidikan percukaian anjuran LHDN setiap tahun yang diadakan sebaik sahaja selesai pembentangan belanjawan tahunan kerajaan.

Penganjuran SPK 2018 adalah yang ke-36 sejak 1974 dan bagi tahun ini SPK akan diadakan di 24 lokasi di seluruh negara.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Cukai RM16 bilion tetap hilang walau guna sistem perakaunan tunai terubah

PUTRAJAYA, 2 SEPT: Sebanyak RM16 bilion cukai yang tidak dibayar balik tetap hilang daripada Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC) sama ada kerajaan menggunakan sistem perakaunan tunai terubah atau sistem akruan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang disahkan Jabatan Akauntan Negara yang juga menggunakan sistem perakaunan tunai terubah, menunjukkan baki kredit yang belum dibayar balik kepada pembayar cukai adalah berjumlah RM16.046 bilion setakat 31 Mei, 2018.

“Keadaan begitu serius apabila Ketua Pengarah LHDN ada menulis surat secara rasmi kepada bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah pada 2016, untuk meminta lebih banyak wang dipindahkan daripada Akaun Wang Yang Disatukan kepada TBBC, tetapi tidak diambil peduli olehnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 1.65 juta individu dan syarikat tidak menerima bayaran balik cukai berjumlah RM16 bilion sejak lebih enam tahun lepas.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga bekas Menteri Kewangan, menerusi catatan di laman Facebook beliau semalam berkata Lim tidak memahami bahawa kerajaan menggunakan sistem perakaunan tunai terubah dan bukan standard perakaunan akruan sebagaimana digunakan di sektor swasta.

Menurut Najib, Lim membuat kesimpulan yang salah kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu telah tersalah lapor cukai yang belum dikembalikan sebagai pendapatan dan menuduh kerajaan BN sebagai memalsukan akaun.

Menjelas lanjut, Lim berkata tunggakan besar bayaran balik sebanyak RM16 bilion, sehingga melebihi enam tahun itu berlaku kerana Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan yang bermesyuarat secara bulanan dan dipengerusikan oleh Mohd Irwan Serigar, tidak memindahkan peruntukan yang mencukupi kepada TBBC seperti yang dipohon oleh LHDN.

“TBBC adalah akaun amanah yang ditubuhkan di bawah Seksyen 111B Akta Cukai Pendapatan 1967, bagi tujuan penyaluran peruntukan daripada Akaun Wang Yang Disatukan, untuk pembayaran balik cukai.

“Perlu ditegaskan bahawa di bawah Seksyen 111B(2) Akta Cukai Pendapatan 1967, hanya Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berkenaan jumlah peruntukan yang disalurkan daripada Akaun Wang Yang Disatukan ke TBBC,” katanya.

Lim berkata, soalan penting yang harus dijawab oleh Najib adalah mengapa bekas perdana menteri itu membenarkan RM16 bilion cukai yang tidak dibayar balik itu, untuk tidak dikembalikan kepada 1.65 juta pembayar cukai dalam masa yang ditetapkan mengikut undang-undang.

“Bukan sahaja pihak polis yang kini menjalankan siasatan ‘pecah amanah’ di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan berminat terhadap perkara ini, tetapi rakyat juga ingin tahu jawapan kepada perkara berkepentingan awam ini,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bayaran kontra kembalikan semula lebihan bayaran cukai pendapatan

JITRA 26 OGOS: Kaedah bayaran secara kontra antara langkah yang akan diambil kerajaan untuk mengembalikan semula baki kredit berjumlah RM16,046 bilion kepada pembayar cukai yang membuat lebihan bayaran sebelum ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, bayaran secara kontra itu boleh dilakukan secara berperingkat mulai tahun depan dan ia bukan perkara baharu, sebaliknya telah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

“Katakanlah, macam tahun ni dia terlebih bayar, tahun depan dia nak kena bayar lagi, jadi berapa yang dia nak kena dan berapa yang terlebih bayar, benda itu dia boleh kontrakan begitu sahaja kita boleh kontrakan maknanya mereka tak perlu untuk bayar lagi lah sebab yang lebihan itu boleh kita kontrakan saja.

“Contoh lain apabila tahun hadapan buat taksiran dan kata dia terlebih bayar RM10,000 dan kena bayar taksiran tahun hadapan dalam RM11,000, so dia cuma kena top-up (tambah) RM1,000 sahaja,” katanya kepada pemberita pada Program Anita Merdeka Ride Kembara Kemanusiaan bersama Parlimen Kubang Pasu di sini, semalam.

 

Amiruddin berkata, kerajaan sentiasa mengambil perhatian masalah ini dan akan memastikan lebihan cukai itu dapat dikembalikan semula kepada pembayar cukai.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini berkata, baki kredit yang belum dibayar balik oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah berjumlah RM16.046 bilion iaitu membabitkan sebanyak 1,653,786 kes melibatkan syarikat, individu, persatuan dan yayasan.

Baki tunggakan yang amat besar itu disebabkan oleh kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).

Menurut Guan Eng, bayaran balik cukai hanya boleh dilakukan berdasarkan jumlah baki tabung itu dan berdasarkan rekod jabatan Akauntan Negara baki yang sedia ada dalam TBC pada 31 Mei lepas hanya berjumlah RM1.486 bilion.

Dalam pada itu, Amiruddin, yang juga Anggota Parlimen Kubang Pasu berkata, Hutan Lipur Bukit Wang akan dibangunkan semula untuk menjadi pusat pelancongan terkenal di Kedah selepas ia terjejas akibat kegiatan pembalakan tidak terkawal sebelum ini.

“Penduduk juga telah mengajukan masalah ini kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah untuk sama-sama membantu memulihkan semula kawasan peranginan itu kerana ia menjadi sumber pendapatan penduduk selama ini yang mencari rotan dan sumber air bersih kepada mereka.

“Kita juga akan wujudkan Perkampungan Budaya di sini untuk menghidupkan semula amalan budaya dan tradisi masyarakat Melayu di negeri ini yang kian pupus ditelan zaman,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

LHDN utamakan bayaran balik kepada individu

PUTRAJAYA 25 OGOS: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memproses lebih daripada 90% permohonan bayaran balik cukai tahun semasa bagi pembayar cukai individu setakat 31 Julai 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Sabin Samitah berkata berdasarkan kedudukan Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC) yang terhad, keutamaan pembayaran balik cukai terlebih bayar diberikan kepada kategori pembayar cukai tersebut.

“Bagi kategori pembayar cukai yang lain, bayaran balik masih tidak dapat dilaksanakan kerana tiada peruntukan tambahan untuk tabung tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Sabin mengesahkan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa terdapat kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah TBBC.

 

Lim pada Rabu lalu mendedahkan kerajaan terdahulu gagal mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah terlebih bayar berjumlah RM16.04 bilion yang tertunggak sejak lebih 6 tahun hingga 31 Mei lalu.

Jumlah itu melibatkan 1,653,786 kes merangkumi syarikat, individu, persatuan dan yayasan yang tidak menerima bayaran balik cukai terlebih bayar mereka daripada LHDN disebabkan kekurangan pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah TBBC, kata Lim.

Menurut Lim, baki sedia ada dalam TBBC pada 31 Mei tahun ini hanya RM1.486 bilion, berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara.

Sabin berkata selaras dengan hasrat kerajaan untuk mensejahterakan rakyat, pihaknya akan memberikan pertimbangan kepada permohonan pembayar cukai yang mempunyai kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh LHDN untuk tolak selesai cukai yang perlu dibayar bagi tahun semasa.

“Pembayar cukai hendaklah mengemukakan permohonan tolak selesai tersebut kepada cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka.

“Bagi pembayar cukai yang tidak memohon untuk tolak selesai, bayaran balik mereka akan diproses bergantung kepada peruntukan TBBC yang diluluskan kerajaan dan kedudukan kewangan negara,” katanya.

Sabin berkata, mengambilkira kekangan kewangan akibat hutang kerajaan yang melebihi RM1 trilion, menteri kewangan sedang berusaha mencari sumber kewangan bagi membuat bayaran balik sama ada pada tahun hadapan atau tahun-tahun berikutnya.

Sebagai peringatan kepada pembayar cukai terutama sektor korporat, Sabin berkata terdapat beberapa tindakan yang boleh diambil untuk mengelakkan wujudnya bayaran balik termasuk memastikan anggaran cukai yang diisi dikira setepat yang mungkin.

Katanya, jika pihak syarikat mendapati anggaran cukai yang terkini lebih rendah berbanding anggaran cukai asal, syarikat boleh membuat pindaan pada bulan ke-6 atau bulan ke-9 dalam tempoh asas syarikat.

“Individu yang mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan boleh membuat pindaan amaun bayaran ansuran sekiranya mendapati anggaran cukai terkini adalah lebih rendah berbanding anggaran cukai asal.

“Permohonan pindaan tersebut hendaklah dibuat tidak lewat dari 30 Jun bagi tahun taksiran yang berkenaan,” katanya.

Sabin juga menegaskan LHDN akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan khas yang ditubuhkan polis bagi menyiasat laporan yang berkaitan dengan isu bayaran balik cukai pendapatan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PDRM tubuh pasukan khas siasat kes LHDN

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes cukai terlebih bayar berjumlah lebih RM14 bilion yang tidak dikembalikan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada pembayar.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, pihaknya sudah memanggil pengadu yang membuat laporan berhubung kes berkenaan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan pihaknya sudah mengadakan perbincangan untuk menentukan hala tuju siasatan kes.

“Pihak kami sudah membuka kertas siasatan dan menubuhkan pasukan khas untuk siasatan kes ini. Kami baru saja selesai mengadakan perbincangan, pagi tadi.

“Bagaimanapun, kami sudah memanggil dan merakam percakapan daripada individu yang membuat laporan, semalam,” katanya kepada BHOnline.

Pada masa sama, katanya, JSJK akan memanggil individu yang terbabit dalam kes berkenaan, selewat-lewatnya Isnin depan.

Terdahulu, media melaporkan kes cukai terlebih bayar yang tidak dikembalikan LHDN kepada pembayar disiasat sebagai pecah amanah.