Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Selangor FC mulakan latihan persediaan Liga-M musim baharu

SHAH ALAM, 17 FEB: Selangor FC memulakan latihan persediaan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 pada Isnin selepas memenuhi semua syarat Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Ketua pegawai eksekutifnya berkata pemain dan pegawai menjalani saringan Covid-19 pada Sabtu lepas selain proses sanitasi padang latihan pasukan di sini.

“Selain itu pasukan Selangor memilih kaedah kuarantin pemain di rumah masing-masing tidak seperti pasukan tertentu yang menempatkan pemain di kem berpusat.

“Justeru semua pemain perlu tahu tanggungjawab serta patuh tatacara operasi piawai (SOP), kita tidak mahu timbul masalah pada kemudian hari,” kata Dr Johan Kamal Hamidon kepada SelangorKini.

Beliau berkata sebagai langkah pencegahan tambahan, pemain dan pegawai perlu menjalani saringan setiap minggu bagi mengekang penularan Covid-19 dalam pasukan.

Pada 9 Februari, Menteri Kanan (Keselamatan) membenarkan pasukan Liga-M, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) memulakan latihan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pemain perlu mematuhi kuarantin di kem atau kediaman ditetapkan pasukan masing-masing serta tidak dibenarkan keluar atau bergaul dengan individu luar.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Liga-M 2021 tangguh jika PKP dilanjutkan – Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Peminat bola sepak tanah air yang dahagakan aksi bola sepak tempatan mungkin perlu menunggu lebih lama untuk menghilangkan dahaga itu sekiranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijadualkan tamat pada 26 Jan ini dilanjutkan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata aksi pembuka tirai saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 yang dijadualkan pada 26 Feb depan berkemungkinan besar tidak dapat diteruskan sekalipun PKP bersambung hanya untuk dua minggu.

Jelas beliau, lanjutan PKP akan menyebabkan pasukan hanya memiliki masa kurang daripada tiga minggu sebelum menghadapi perlawanan pertama liga dan lebih membimbangkan apabila pasukan turut tidak dapat menjalani latihan sepanjang tempoh PKP.

“Di atas kertas kalau PKP disambung sekurang-kurangnya dua minggu bermakna akan tamat pada 9 Feb, ini bermakna pasukan Liga Super dan Liga Premier cuma ada dua minggu melakukan persiapan untuk hadapi saingan liga.

“Sekurang-kurangnya pasukan kena diberi sebulan untuk tempoh mempersiapkan pasukan, sebab kita faham sewaktu PKP pasukan tidak boleh adakan sesi latihan,” katanya yang juga Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kepada Bernama hari ini.

Musim lepas menyaksikan saingan Liga-M yang bermula pada akhir Februari terpaksa ditangguhkan hingga ke penghujung Ogos susulan larangan kerajaan sebagai usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata pihak sekretariat MFL sedang menyiapkan pelan strategik termasuk melihat pelbagai opsyen untuk memastikan saingan Liga-M 2021 tetap dapat diteruskan seperti dirancang.

Katanya beliau difahamkan sekretariat MFL mempunyai perancangan tertentu sekiranya PKP bersambung hingga memakan masa empat minggu.

“Mereka (sekretariat MFL) melihat semua faktor dan merangka sesuatu mengikut kesesuaian semasa supaya perjalanan liga masih boleh diteruskan,” katanya, menambah sekiranya PKP tidak bersambung, ada kemungkinan liga diteruskan seperti yang dijadualkan.

”Kalau PKP tidak bersambung selepas 26 Jan, saya melihat pasukan masih ada tempoh sebulan lagi untuk melakukan persediaan bagi perlawanan pertama liga musim ini. Tetapi apapun kita perlu menunggu keputusan rasmi kerajaan,” katanya.

Perlawanan pembukaan saingan Liga-M 2021 menyaksikan pertembungan di antara juara bertahan dan juara Liga Super 2020 Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah pada aksi Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah pada 26 Feb depan.

Isnin lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula 13 hingg 26 Jan.

Enam lagi negeri – Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu serta Kelantan – dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) dilaksanakan di Perlis dan Sarawak, untuk tempoh sama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

CIMB, AirAsia tarik diri sebagai penaja Liga Malaysia 2021

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Dua syarikat swasta iaitu CIMB dan AirAsia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan penajaan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata mereka menghormati keputusan kedua-dua syarikat berkenaan untuk tidak menyambung penajaan namun menegaskan perancangan bagi menghadapi Liga-M 2021 tetap berjalan seperti biasa.

Beliau memaklumkan MFL telah mengadakan pertemuan dengan wakil CIMB beberapa hari lepas berhubung isu penajaan dan mereka masih menunggu surat rasmi daripada bank berkenaan berhubung penamatan kerjasama antara kedua-dua pihak.

“Saya mewakili pihak MFL mahu mengambil kesempatan untuk melahirkan penghargaan kepada setiap penaja ini di atas sumbangan mereka kepada bola sepak negara ketika kita semua berdepan detik sukar dalam pandemik Covid-19 sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani mengesahkan syarikat telekomunikasi Telekom Malaysia (TM) terus komited menjadi penaja utama Liga-M 2021 menerusi perjumpaan yang diadakan antara beliau, Presiden MFL Datuk Hamidin Mohd Amin bersama wakil pengurusan tertinggi TM pada 21 September lalu.

Ab Ghani turut memaklumkan pengeluar minuman isotonik iaitu F&N 100Plus bersetuju meneruskan penajaan dalam bentuk barangan sahaja tanpa melibatkan tajaan secara tunai seperti musim lalu, manakala status Shopee selaku penaja masih berada di peringkat rundingan berdasarkan kehadiran penonton di stadium pada musim 2021.

Sementara itu, beliau mengesahkan bahawa MFL sedang mengadakan rundingan dengan beberapa penaja baharu yang menyatakan minat untuk menjadi penaja Liga-M musim hadapan.

“Saya mewakili MFL juga sentiasa mendoakan kepada setiap rakan kongsi dan kelab yang bermain dalam Liga-M 2021 akan cekal teruskan perjuangan walaupun terpaksa mengharungi cabaran yang getir demi memajukan liga tempatan,” jelas Ab Ghani.

– BERNAMA