Categories
AGENDA SUKANKINI

Peluang cerah Red Giants duduki tangga terbaik Liga Super

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Penyerang import Selangor Ifedayo Olusegun yakin skuad The Red Giants memiliki kelebihan untuk menamatkan kempen Liga Super musim 2020 pada kedudukan lebih baik.

Pemain dari Nigeria yang kini sedang menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sejak tiba di Malaysia pada 11 Ogos lepas, menggesa agar penyokong pasukan Selangor terus memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada pasukan kesayangan mereka itu.

“Saya percaya kami masih mempunyai peluang cerah musim ini. jadi, saya berharap penyokong percaya untuk kami membuktikan sesuatu yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan di laman sesawang Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) www.faselangor.my, hari ini.

Ifedayo berkata beliau gembira dapat kembali ke Malaysia dan menyertai rakan sepasukan untuk memulakan saingan Liga Malaysia pada 26 Ogos ini, dan berazam mengekalkan kecergasan selama menjalani tempoh 14 hari kuarantin wajib.

Katanya, pengurusan FAS juga menyediakan beberapa kelengkapan sukan seperti basikal dan peralatan angkat berat bagi membolehkannya menjalani latihan kecergasan.

Pasukan Selangor mempamerkan prestasi luar biasa dalam beberapa perlawanan persahabatan baru-baru ini dengan meraih empat kemenangan walau tanpa kelibat Ifedayo.

Skuad bimbingan B.Sathianathan menewaskan Pulau Pinang 4-1 pada 5 Ogos, diikuti kemenangan selesa 3-0 ke atas UKM FC dan Negeri Sembilan (masing-masing pada 8 dan 13 Ogos), sebelum menewaskan Terengganu FC dengan 2-0 pada 15 Ogos.

Selangor akan memulakan aksi Liga Super menentang Petaling Jaya City FC di Stadium UiTM Shah Alam pada 27 Ogos.

Skuad The Red Giants mengumpul lima mata untuk menduduki tangga keenam daripada 12 pasukan selepas empat perlawanan dengan meraih satu kemenangan, dua keputusan seri dan tewas sekali.

Saingan Liga Malaysia yang ditangguhkan sejak 16 Mac lepas akibat pandemik Covid-19 bakal bersambung pada 26 Ogos ini.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Tenang berdepan tekanan bantu Selangor atasi Pahang

KUANTAN, 1 MAC: Keupayaan untuk kekal tenang semasa berdepan tekanan daripada Pahang, membuahkan hasil buat pasukan Selangor apabila meraih kemenangan pada aksi pertama saingan Liga Super musim ini di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi.

Ketua jurulatih Selangor B. Satiananthan berkata anak buahnya menerima tentangan hebat daripada Pahang terutama daripada tonggak utamanya Dickson Nwakaeme sebelum mereka berjaya meledakkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.

“Saya tahu pemain Pahang boleh beraksi dengan baik sebaik sahaja melihat senarai mereka. Kita pula tidak bermain pada tahap biasa,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu.

Pada perlawanan itu, Tok Gajah mendahului menerusi jaringan Ivan Carlos pada minit ke-20 namun Selangor menyamakan keputusan melalui penyerang importnya Ifedayo Olusegun tujuh minit kemudian, sebelum Brendan Gan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-89.

Walaupun mencatatkan kemenangan di tempat lawan, Satiananthan masih kurang berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya.

Selain prestasi pemain Red Giants, Satiananthan juga melihat keadaan padang Stadium Darul Makmur sebagai antara penyebab pemainnya gagal menyerlah pada perlawanan itu.

“Selalunya padang di sini amat cantik…tetapi malam ini saya lihat ia seperti berlubang di sana sini, mungkin inilah mengapa kita tidak dapat menghantar bola dengan baik,” katanya.

Sementara itu, pengendali Pahang Dollah Salleh mengakui prestasi pasukannya menurun selepas mereka menjaringkan gol pendahuluan sehingga dihukum dengan kekalahan.

Katanya, walaupun menurunkan kesebelasan utama pada perlawanan itu, pemainnya mulai leka selepas memperoleh gol pertama dan sikap itu membawa padah apabila bertemu dengan pasukan berpengalaman seperti Selangor.

“Aksi kita turut terjejas memandangkan Mark Goulon terpaksa dikeluarkan selain Khamis Khalil juga beraksi agak goyah berbanding persembahannya sebelum ini.

“Kita cuba bangkit semula pada babak kedua tapi malangnya banyak peluang yang diperoleh disia-siakan…menyebabkan Selangor yang melakukan ‘counter attack’ berjaya mendapatkan gol,” katanya.

Dollah berkata daripada perlawanan itu, beliau akan melakukan penambahbaikan di semua posisi khususnya pertahanan dan tengah bagi mengatasi kelemahan itu pada perlawanan seterusnya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Tiada masalah komunikasi pemain, jurulatih UiTM FC

SHAH ALAM, 21 FEB: Pemain UiTM FC tidak menghadapi masalah komunikasi dengan pembimbing pasukan, Frank Bernhardt sepanjang tempoh mempersiapkan diri bagi mengharungi Liga Super musim 2020, kata presidennya.

Prof Dr Azizan Abdullah berkata pengalaman luas dimiliki jurulatih dari Jerman mampu mengangkat prestasi skuad The Lion Troops yang majoritinya dibarisi pemain muda ke tahap lebih baik berbanding penglibatan dalam Liga Perdana sebelum ini.

“Beliau (Frank) sudah terbiasa dengan pemain Malaysia dan mengambil masa singkat untuk berinteraksi dengan baik.

“Malah, sejak membawa pasukan untuk perlawanan pra musim menentang Chonburi FC di Bangkok, Thailand, kita lihat ada peningkatan mendadak dalam kalangan pemain melalui teguran dan input diberikan,” katanya pada majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain pasukan terbabit di Intekma Resort di sini hari ini.

Presiden UiTM FC Prof Dr Azizan Abdullah. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

UiTM FC memperkenalkan dua jersi baharu bagi saingan Liga Malaysia musim ini iaitu merah sebagai tuan rumah dan biru (tempat lawan).

Majlis sama menyaksikan pasukan itu menerima sijil daripada Malaysia Book of Records kerana melakar sejarah liga bola sepak tempatan menjadi pasukan institusi pengajian tinggi pertama beraksi dalam Liga Super.

Sementara itu, Frank yang juga bekas jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Bawah 23 percaya terhadap kemampuan UiTM FC memulakan kempen dengan langkah kanan menentang Melaka United pada 29 Februari ini.

“Peluang menang dalam perlawanan ini sangat tinggi dan saya akan melihat sejauh mana cabaran dihadapi pemain. Pasukan sudah membuat persiapan rapi dan perlu berjuang sebaik mungkin untuk berada sekurang-kurangnya dalam kelompok lapan terbaik liga,” katanya.