Categories
AGENDA SUKANKINI

Cub Prix Malaysia Petronas mula 20 Mac di Litar Sepang Selatan

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Musim 2021 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas akan bermula seperti yang dijadualkan pada 20 Mac ini di Litar Sepang Selatan, menurut penganjur kejuaraan itu.

Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd Ron Hogg, dalam satu kenyataan hari ini, menegaskan pihak kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas serta Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) akan memastikan tatacara operasi piawai (SOP) gelembung sukan berjalan lancar demi memastikan industri sukan itu terus berkembang.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat beberapa perubahan kecil dalam jadual perlumbaan musim ini yang menyaksikan pusingan kedua kejohanan dianjurkan di Litar Sepang Utara pada 3 dan 4 April depan.

Berikut jadual Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2021:

Pusingan 1: Sepang Selatan (20-21 Mac)

Pusingan 2: Sepang Utara (3-4 April)

Pusingan 3: Tangkak, Johor (22-23 Mei)

Pusingan 4: Litar Permotoran Terengganu (26-27 Jun)

Pusingan 5: Akan dimaklumkan (9-10 Julai)

Pusingan 6: Sepang Utara (7-8 Ogos)

Pusingan 7: Sepang Selatan (4-5 Sept)

Pusingan 8: Litar Permotoran Terengganu (9-10 Okt)

Pusingan 9 : Akan dimaklumkan (13-14 Nov)

Pusingan 10: Sepang Utara (18-19 Dis)

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB bersambung, pusingan keenam Cub Prix ditangguh

SHAH ALAM, 27 OKT: Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Sepang hujung minggu ini terpaksa ditunda berikutan langkah kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.

Penganjur, Safe Aim Mutual Sdn Bhd berkata pengumuman tarikh baharu bagi perlumbaan pusingan keenam itu akan dibuat sebaik keadaan kembali stabil.

“Objektif utama adalah untuk menghabiskan musim 2020 selewat-lewatnya pada Disember atau Januari tahun depan.

“Kami meminta maaf kepada semua warga Cub Prix di atas kesulitan ini. Pada masa sama terima kasih kepada rakan kongsi serta penaja kejuaraan di atas segala kerjasama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas turut meminta orang ramai agar sentiasa mengikuti tatacara operasi piawai keselamatan untuk sama-sama membanteras wabak Covid-19.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijadual berakhir hari ini dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 9 November.