Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tutup dua jalan rentas daerah di Sabak Bernam

SHAH ALAM, 15 OKT: Dua ‘lorong tikus’ di Sabak Bernam yang digunakan orang awam untuk merentas daerah ditutup bermula semalam selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata penutupan membabitkan laluan bawah jambatan menghubungkan Sabak Bernam dan Teluk Intan serta pusingan U di Bagan Nira.

“Kedua-dua laluan itu kini ditutup menggunakan penghadang konkrit dan pegawai serta anggota polis turut ditempatkan untuk melakukan pemantauan setiap masa,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Tambahnya, sepanjang tempoh PKPB hingga 27 Oktober ini, tiga sekatan jalan raya dilaksanakan iaitu di Sekinchan, Jalan Merbau Berdarah dan Jalan Bagan Nira

Bermula semalam, seluruh Selangor dikenakan PKPB selama 14 hari susulan peningkatan wabak Covid-19.