Categories
AGENDA NASIONAL

Kerja reka bentuk LRA Sungai Rasau siap, pembangunan libat kerajaan persekutuan

SHAH ALAM, 7 DIS: Kerja-kerja reka bentuk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau telah disiapkan dan sedang dalam penilaian untuk pemberian tender.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata bagaimanapun pembinaan LRA itu membabitkan kerjasama kerajaan persekutuan untuk kerja sumber air di hulu sungai sebelum masuk ke muka sauknya.

“Kerja-kerja ini dibuat selain daripada proses pembinaan LRA. Setakat ini, kita sedang dalam perbincangan antara Kerajaan Negeri dan persekutuan bagi kerja hulu muka sauk,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung status pembangunan LRA Sungai Rasau pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurutnya, pembinaan LRA Sungai Rasau melibatkan kapasiti pengeluaran 1,400 juta liter sehari iaitu 700 juta liter bagi fasa pertama dan kedua.

“Bagi fasa satu terdapat tiga pakej yang mana pakej satu dan dua dalam penilaian manakala pakej ketiga sudah dianugerahkan kepada kontraktor berkaitan,” katanya.

Pada 10 November lalu, Izham memaklumkan pembinaan LRA Sungai Rasau yang membekalkan lebih 1,000 juta liter air sehari dijangka siap pada 2028 iaitu fasa pertama pada 2024 manakala fasa kedua empat tahun berikutnya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

LRA Sungai Rasau siap pada 2028, tampung keperluan pengguna

SHAH ALAM, 10 NOV: Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau yang membekalkan lebih 1,000 juta liter air sehari (JLH) dijangka siap pada 2028.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata mengikut perancangan, fasa pertama LRA tersebut siap pada 2024 manakala fasa kedua siap empat tahun berikutnya.

“Fasa pertama LRA yang mampu menyalurkan 700 JLH khusus untuk bekalan penduduk Klang sementara LRA fasa kedua juga mengeluarkan 700 JLH untuk menampung bekalan kawasan lain.

“Projek ini tidak boleh gagal demi kelangsungan bekalan air di Lembah Klang, jadi pembinaannya perlu dimulakan segera dan siap mengikut jadual,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng berhubung status pembinaan LRA Sungai Rasau pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Ir Izham berkata Kerajaan Negeri juga memohon dana sejumlah RM500 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi melaksanakan kerja huluan sumber air.

Pada 6 September, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembinaan LRA tambahan mengurangkan kebergantungan terhadap tiga LRA Sungai Selangor.