Categories
AGENDA NASIONAL

MOT tubuh pasukan khas siasat punca LRT bertembung – menteri

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menubuhkan pasukan panel penyiasat khas untuk menyiasat punca insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya bertembung berdekatan Stesen LRT KLCC, di sini semalam.

Menteri berkenaan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata laporan awal mengenai insiden itu akan dihantar kepadanya oleh ketua pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), pagi ini.

Jelasnya, MOT menjangkakan dalam tempoh dua minggu hasil siasatan oleh pasukan khas itu akan dikemukakan kepada kementerian itu.

“Dalam tempoh dua minggu kami akan kenal past punca kejadian sama ada disebabkan kesilapan dari segi sistem signalling (isyarat) atau masalah komunikasi atau kesilapan manusia,” katanya pada sidang media, di lokasi kejadian di sini.

Beliau berkata pasukan penyiasat akan melibatkan pakar-pakar dari pelbagai agensi termasuk dari MOT, Prasarana dan APAD.

Wee berkata insiden pertembungan itu disifatkan serius dan ia kejadian yang pertama berlaku melibatkan tren LRT sepanjang 23 tahun tempoh pengoperasian kenderaan pengangkutan awam itu di negara ini.

“Impak pelanggaran juga besar, berikutan tren yang membawa penumpang bergerak dengan kelajuan 40 kilometer sejam (km/j), manakala tren tanpa penumpang dengan kelajuan 20km/j.

“Kejadian ini satu iktibar buat semua pihak dan kita harus pastikan faktor keselamatan perkhidmatan pengangkutan awam perlu dititikberatkan,” katanya.

Mengenai operasi LRT bagi laluan Kelana Jaya-Gombak yang terjejas, pihak Prasana akan menyediakan bas perantara dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu beliau memberi jaminan, semua penumpang dan keluarga penumpang yang terkesan dengan insiden itu akan dibantu.

Wee menegaskan buat masa ini keutamaan adalah memastikan semua mangsa dirawat dan MOT bersama Prasarana akan berbincang mengenai perlindungan insurans kepada penumpang terlibat.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.45 malam itu, menyebabkan 47 penumpang parah manakala 166 lagi cedera ringan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LRT bertembung: Penumpang terpelanting, impak perlanggaran kuat

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi tren berdekatan Stesen LRT KLCC di sini awal malam tadi, dipercayai berhenti selama 15 minit dan bergerak semula selama beberapa saat sebelum berlanggar.

Menceritakan kejadian mencemaskan itu, Afiq Luqman Mohd Baharudin, 27, berkata perlanggaran tersebut mengakibatkan para penumpang terpelanting dan terjatuh.

“Sewaktu kejadian, tren menghampiri KLCC dan saya nak ke Ara Damansara.

Kerosakan gerabak paling hadapan Tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang terbabit dalam kemalangan. Foto Facebook Bernama Radio

“Kemalangan berlaku di laluan bawah tanah berhampiran KLCC dan impaknya sangat kuat, mengakibatkan ramai penumpang yang sedang duduk dan berdiri terpelanting,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Afiq Luqman berkata sebelum kejadian, tren berkenaan berhenti selama 15 minit sebelum bergerak semula.

“Tidak sampai 10 saat bergerak berlaku pelanggaran,” katanya, menambah kejadian itu menyebabkan dia mengalami kecederaan di kepala, kaki kiri dan dada.

Menurutnya, tidak lama selepas kejadian, pasukan keselamatan tiba dan mengeluarkan kesemua penumpang termasuk dirinya yang kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, pemerhatian Bernama mendapati beberapa mangsa berkongsi detik cemas insiden berkenaan menerusi laman media sosial.

Antaranya pengguna Twitter Lim Mahfudz yang berkongsi video dan gambar kemalangan yang dirakamnya sendiri.

“Keseluruhan video ini saya rekod sendiri dan saya baik-baik saja, tidak mengalami sebarang kecederaan. Syukur kepada Tuhan kerana melindungi saya. Bagi saya, kejadian ini adalah satu tragedi dan satu mimpi ngeri yang benar-benar berlaku dalam hidup saya,” kongsi Lim Mahfudz.

Katanya ada penumpang cedera akibat terkena serpihan cermin tingkap tren yang pecah dan ada yang terpelanting selepas tren itu berhenti secara mengejut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

166 cedera, 47 parah insiden tren LRT bertembung

SHAH ALAM, 24 MEI: Seramai 166 penumpang cedera dan 47 lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua tren LRT laluan Kelana Jaya, berhampiran stesen Kampung Baru malam ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah menerusi siaran langsung Facebook.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah bercakap pada sidang media mengenai tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang bertembung dalam kemalangan berhampiran stesen KLCC pada 24 Mei 2021. Foto BERNAMA

“Kita menerima laporan pada jam 8.45 malam mengenai insiden tren LRT bertembung antara laluan KLCC ke Kelana Jaya dan juga Kelana Jaya ke Gombak.

“Tren menghala dari Gombak ke Kelana Jaya membawa 213 penumpang di mana 166 cedera ringan dan 47 cedera parah,” katanya yang turut memaklumkan mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.

Katanya, salah satu tren  yang tidak membawa penumpang mengalami kerosakan dan dipandu secara automatik ketika kejadian.

“Mungkin berlaku ‘miss communication’ di pusat kawalan yang menyebabkan berlaku kejadian ini dan kita akan siasat,” katanya.

Sejumlah penumpang mengalami kecederaan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung Baru di bawa keluar bagi dibawa ke hospital pada 24 Mei 2021. Foto BERNAMA

Prasarana Malaysia Berhad dalam kenyataan sebelum ini mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan trennya bernombor 40 dan 81 terlibat dalam satu insiden dan pasukannya sedang menguruskan bantuan dan kerja menyelamat.

“Sila bertenang dan patuhi segala arahan. Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan. Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan,” menurut kenyataan itu.