Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri rancang bawa produk ‘Made in Selangor’ ke R&R

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

DENGKIL, 4 MAC: Kerajaan Negeri akan berbincang dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi mewujudkan kiosk di kawasan rehat dan rawat (R&R) dalam memasarkan produk ‘Made in Selangor’.

EXCO Pembangunan Usahawan, Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, banyak produk yang dihasilkan ‘Made in Selangor’ berkualiti namun tiada tempat untuk dipasarkan.

“Saya akan berbincang bersama PLUS untuk mengadakan kiosk ‘Made in Selangor’ berkonsepkan ‘Homemade Market’ bagi memasarkan produk daripada Selangor.

“Dalam ‘Homemade Market’ ini kita boleh gabungkan pelbagai produk dalam satu kiosk. Jadi ramai usahawan boleh terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika ditemui di Majlis Perlancaran Program Pembangunan Keusahawanan Wanita (WEP) PLUS di R&R Dengkil arah selatan, di sini.

Majlis pelancaran program itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Terdahulu, produk ‘Made In Selangor’ juga dirancang diperluaskan di pasaraya dan pusat membeli belah dengan kerjasama AEON.

Sebelum itu, produk berkenaan dipamerkan di pasar raya dalam sesuatu tempoh.

‘Made In Selangor’ dilaksanakan sebagai medium pemasaran dan tapak permulaan bagi memperkenalkan produk tempatan ke pasaran lebih luas.

Ia turut membuka peluang kepada usahawan Hijrah dalam mengetengah perniagaan mereka.

Mengulas program inisiatif WEP itu, Rodziah berkata, pihaknya memuji usaha PLUS dalam memperkasakan usahawan wanita dan wajar dijadikan contoh kepada pihak swasta lain.

Categories
EKONOMI SELANGOR

MB mahu Karnival Made In Selangor ke negeri lain

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mahu Karnival Made in Selangor diketengahkan ke beberapa negeri lain bagi menonjolkan produk keluaran usahawan Hijrah Selangor.

Beliau berkata, hasrat itu direalisasikan menerusi kerjasama Hijrah Selangor dan Aeon Mall, seperti sebelum ini.

“Produk-produk usahawan ini memang sudah dibawa ke negeri lain contohnya Pulau Pinang dan ketika saya menjadi Exco Pembangunan Usahawan sebelum ini, karnival Made in Selangor tahun ini dipasarkan sampai ke beberapa negeri lain.

“Karnival Made in Selangor ini memberi peluang besar kepada usahawan Hijrah dalam mengetengahkan perniagaan mereka ke khalayak ramai,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidifitri Hijrah Selangor, di SUK.

Amirudin berkata sebelum ini beliau amat menggalakkan Hijrah Selangor terbabit dengan program mempromosikan semua usahawan mereka dalam negeri mahupun luar negara.

“Kerajaan Negeri secara perlahan-lahan menggalakkan Hijrah terbabit dengan banyak program termasuk promosi di dalam negeri dan luar negara.

“Saya percaya ia akan dikembangkan ke peringkat lebih tinggi selepas ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap Hijrah Selangor akan menjadi pusat sehenti bagi usahawan pada masa depan.

Beliau turut memaklumkan tiada rancangan untuk menaikkan kadar maksimum pinjaman buat masa ini.

Categories
SELANGOR

‘Made In Selangor’ bakal diperluaskan ke luar Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRA HEIGHTS, 30 MAC: Program ‘Made In Selangor’ bakal diperluaskan ke pasaraya dan pusat membeli belah di luar Selangor dalam tempoh terdekat.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, pihaknya akan berunding untuk menempatkan kiosk di pasaraya AEON bagi meluaskan peluang peniaga mempromosikan produk mereka.

“Kita sedang cuba menjalinkan kerjasama dengan pusat membeli belah AEON yang tidak hanya di Selangor dan Lembah Klang tetapi boleh sampai ke Melaka, Johor Bharu serta beberapa lokasi lain,” katanya.

Ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak perniagaan ‘Made In Selangor’ di Pasaraya Giant, Putra Heights beliau berkata, setakat ini lebih 20 peserta sudah menyertai program ini yang menempatkan peniaga selama dua bulan di lokasi tertentu.

Katanya, ‘Made In Selangor’ yang bakal memasuki peringkat ketiga dijangka mendapat lebih banyak sambutan pada Ramadan dan Aidilfitri.

Bagi petugas gerai alat solekkan, Dannea Zulaikha, 18, ini merupakan penyertaan pertama beliau dalam program ‘Made In Selangor’.

Katanya, hasil perniagaan boleh mencecah RM300 sehari jika waktu puncak khususnya pada cuti umum dan hujung minggu.

Saidatul Syazwani Saimi, 23, yang menjaga gerai jualan kek turut berkongsi pengalaman menyertai program ‘Made In Selangor’ untuk kali kedua dan sebelum ini ditempatkan di Pasaraya Giant Kota Damansara.

Beliau berpandangan program ini sangat baik untuk usahawan baru memperkenalkan produk masing-masing disamping membuat jualan.

Categories
EKONOMI SELANGOR

Usahawan dibantu pasarkan produk ke luar negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 NOV : Kerajaan Negeri giat melaksanakan inisiatif membantu usahawan tahap tiga bagi mempromosikan produk perniagaan golongan itu, di luar negara.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, seramai 40 usahawan tempatan akan dibantu bagi merealisasikan keperluan itu.

“Menerusi program pembangunan Made In Selangor, kita mensasarkan untuk membantu usahawan berpotensi untuk dibantu dari segi pemasaran (produk) mereka di luar negara.

“Tahun hadapan, kita jangkakan daripada sekarang sekitar hampir 30 atau 40 usahawan ini dapat dibantu sekali gus dapat membantu produk mereka dari aspek pempakejan, sijil halal dan labeling produk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Hanim Ismail di Dewan Negeri Selangor (DNS), pagi ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperkenalkan pelbagai inisiatif dalam usaha membantu usahawan negeri sebagai meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Antaranya, Program Mikrokredit Hijrah Selangor (HIJRAH), Program Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Jabatan Perkhidmatan Selangor (VETMART).

Untuk rekod, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM261 juta bagi membantu usahawan negeri di bawah program Hijrah Selangor untuk tempoh sehingga September lalu.

Daripada jumlah itu, Selangor adalah negeri terbesar memberikan peruntukan kepada usahawan dalam bentuk bantuan modal.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Made In Selangor bakal diteruskan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 APRIL: Kerajaan Negeri akan berbincang dengan beberapa pusat membeli-belah terkemuka untuk menjalin kerjasama menganjurkan program ‘Made In Selangor’ secara berterusan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, kerjasama itu membabitkan kos dan tempoh penganjuran ekoran sambutan memberangsangkan yang diterima.

“Kita mahu mewujudkan peniaga berkualiti dengan produk diketangahkan dapat dirasai lapisan pengunjung.

“Saya percaya produk ini mampu pergi lebih jauh,” katanya selepas merasmikan penutup program ‘Made In Selangor’ di Pusat Membeli-belah Aeon Shah Alam, di sini.

Amirudin menjangkakan tempoh penganjuran program itu bakal mengambil masa antara dua hingga tiga bulan.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan berbincang untuk meletakkan peniaga secara bergilir atau sebaliknya.

IMG_20170430_170608“Kita mempunyai lebih 30,000 usahawan HIJRAH, malahan kita juga mempunyai usahawan mikro dan peserta program pembungkusan.

“Oleh itu, kita akan berbincang dengan teliti untuk menempatkan peserta ini nanti,” katanya.

Program ‘Made In Selangor’ kini memasuki peringkat akhir penganjurannya di pusat membeli-belah itu dan One Utama sebelum ini.

Sambutan diberikan pengunjung dan peserta positif dengan jualan hampir RM100,000.

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Made In Selangor di AEON Shah Alam 1 Mei

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 APRIL: Program Made In Selangor diteruskan lagi sehingga 1 Mei ini yang diadakan di Pusat Membeli Belah Aeon Shah Alam.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH), Dato’ Mansor Othman berkata, program itu bertujuan mengetengahkan pelbagai rangkaian produk usahawan tempatan negeri.

Katanya, program itu membantu produk dan usahawan terbabit untuk diperkenalkan lebih jauh sekaligus meningkatkan pencapaian mereka.

“HIJRAH menyasarkan program ini diadakan di kawasan yang menjadi tarikan orang ramai seperti pusat membeli belah.

“Ia juga seperti di program yang diadakan di One Utama baru-baru ini dan mendapat kerjasama daripada pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi,” katanya di pejabatnya, baru-baru ini.

Sebelum ini, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Usahawan, Amiruddin Shari berkata, konsep itu dibawa ke pusat membeli belah bagi memberi nafas baru dan diolah supaya menjadi hab pengumpulan produk yang menarik dan terkini.

Amiruddin berkata, inisiatif itu dilaksanakannya bersama HIJRAH Selangor untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri bagi terus menyokong usahawan mikro berniaga sekaligus dapat menjalin jaringan perniagaan sesama usahawan.

Terdahulu, HIJRAH Selangor menjalin Perjanjian Persefahaman (MOU) bersama Bazaar Pak Nil yang diterajui oleh Datuk Aznil Nawawi bagi mempertingkat kerjasama dan meluaskan peluang perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

Majlis Menandatangani MOU dilakukan ketika Majlis Perasmian Made In Selangor yang disaksikan sendiri DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dengan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Usahawan, Amiruddin Shari di One Utama.

Program itu dijalinkan dengan melibatkan 15 pengusaha tempatan yang terpilih dengan harapan penglibatan usahawan menjadi platform terkini menggalakkan usahawan lain khususnya anak muda.

Ia selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri yang mensasarkan 56,000 usahawan bimbingan HIJRAH Selangor menjelang 2018.

=EZY=

Categories
EKONOMI SELANGOR

Produk IKS terus dipromosi melalui Made In Selangor

OLEH SYAZWANI SUFIAN

DAMANSARA, 23 APRIL: Pengembangan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terus diperkukuhkan dengan satu lagi program dilaksanakan Kerajaan Negeri melalui jenama “Made In Selangor”.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Usahawan, Amiruddin Shari berkata, konsep itu dibawa ke pusat membeli belah bagi memberi nafas baru dan diolah supaya menjadi hab pengumpulan produk yang menarik dan terkini.

“Ia adalah konsep yang terdiri daripada usahawan yang menghasilkan dan menjual produk jenama dan buatan sendiri.

“Produk tidak terhad kepada industri mikro seperti makanan sahaja, tetapi diperluaskan lagi kepada produk tekstil seperti pakaian dan tudung, aksesori dan kraftangan,” katanya ketika berucap dalam perasmian Made In Selangor di One Utama, semalam.

Made in SelangorAmiruddin berkata, inisiatif itu dilaksanakannya bersama HIJRAH Selangor untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri bagi terus menyokong usahawan mikro berniaga sekaligus dapat menjalin jaringan perniagaan sesama usahawan.

“Terdapat banyak produk keluaran tempatan mempunyai nilai komersial yang tinggi serta dilihat dapat diketengahkan.

“Melalui Made In Selangor, diharap ia dapat menjadi medium pemasaran dan tapak permulaan bagi memperkenalkan produk tempatan dengan lebih meluas,” katanya.

=EZY=