Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tetap jalankan saringan di tahfiz, madrasah tidak berdaftar

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) tetap menjalankan saringan Covid-19 kepada pelajar dan kakitangan tahfiz atau madrasah yang tidak berdaftar, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagaimanapun kementerian itu mengalu-alukan institusi itu untuk berdaftar dengan majlis agama.

“Sama ada tahfiz atau madrasah itu daftar atau tidak kita tetap mengambil pendekatan jalankan saringan Covid-19 secara berperingkat kepada mereka semua.

“Namun, tahfiz dan madrasah yang tidak berdaftar digalakkan untuk daftar kerana ia memudahkan KKM untuk mengetengahkan beberapa syarat yang perlu mereka patuhi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan semua sekolah agama dan madrasah tahfiz yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri dibenarkan untuk dibuka semula mulai 15 Julai ini.

Namun bagi sekolah agama dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar, mereka perlu merujuk kepada pihak kerajaan negeri sebelum memulakan operasi.

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Sekolah, tahfiz dibenar buka ikut sesi persekolahan

SHAH ALAM, 26 JUN: Kerajaan membenarkan sekolah dan madrasah tahfiz berdaftar dibuka semula mengikut tarikh pembukaan sesi persekolahan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata KPM akan mengumumkan tarikh pembukaan sekolah selain pelajar tingkatan lima dan enam termasuk tatacara operasi piawai (SOP) perlu dipatuhi dalam tempoh terdekat.

“Jika sekolah diumum dibuka, maka tarikh sama boleh beroperasi. Saya percaya, KPM akan umum mengenai tarikh permulaan sekolah selain calon Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Bagaimanapun, sekolah dan madrasah tahfiz berdaftar sahaja dibenarkan dibuka dan mematuhi SOP. Bagi sekolah dan madrasah tahfiz berasrama mereka perlu mengikut SOP di sekolah berasrama,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata bagi sekolah dan madrasah tahfiz tidak berdaftar, pengurusan perlu membuat permohonan untuk beroperasi daripada pihak berkuasa agama negeri.

“Pada masa sama, saya menggalakkan supaya mendaftarkan sekolah dan madrasah tahfiz mereka,” katanya.

Categories
NASIONAL

Penghuni madrasah tahfiz jalani pemeriksaan kesihatan

SHAH ALAM, 28 APRIL: Seramai 107 pelajar dan 14 kakitangan di madrasah tahfiz di Kota Tinggi, Johor menjalani pemeriksaan kesihatan, kata pengetuanya.

Tindakan itu susulan titah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah yang mahu pelajar lain menjalani pemeriksaan kesihatan.

Madrasah terbabit adalah tempat Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi belajar sebelum ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata, Jabatan Kesihatan sudah memeriksa sejumlah pelajar di madrasah berkenaan bagi memastikan tiada yang mengalami simptom sama seperti Mohamad Thaqif.

Terdahulu, Mohamad Thaqif yang dipotong kedua kaki hingga paras paha ekoran dijangkiti kuman selepas dipercayai didera pembantu warden madrasah itu meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur, kira-kira jam 12.30 malam, pada 26 April lalu.