Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Firefly perkenal operasi jet pada suku pertama 2021

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan operasi jet bagi anak syarikatnya, Firefly Airlines akan bermula pada suku pertama 2021.

Untuk tujuan itu, Firefly akan menambah 10 jet berbadan sempit secara berperingkat dalam kumpulan itu untuk pasaran domestik, Asean dan Asia Pasifik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MAG Kapten Izham Ismail dalam kenyataan hari ini berkata perjalanan domestik dan jarak dekat paling menjadi pilihan mengikut persekitaran semasa, justeru, ia bersesuaian untuk memenuhi permintaan dari kawasan utara.

“Ini sejajar dengan rancangan perniagaan jangka panjang kumpulan untuk disesuaikan mengikut keadaan semasa dan akan datang selepas Covid-19 dengan tumpuan memperkukuh aliran pendapatan bagi kedua-dua anak syarikat,” katanya.

Susulan rancangan ini, Firefly akan melengkapi syarikat induknya, Malaysia Airlines Bhd (MAB) untuk memberi perkhidmatan di samping mempelbagaikan pangkalannya yang menghubungkan bandar sekunder di Malaysia ke Malaysia Timur, Thailand, Indonesia dan Singapura.

MAG berkata ia akan memanfaatkan sumber dan tenaga kerja yang ada dalam kumpulan itu dan berpotensi menggunakan pesawat Boeing 737-800 dari MAB yang memberi peluang untuk menumpukan kepada rangkaian pasaran premiumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Philip See berkata Firefly bersedia untuk menggalas cabaran itu berikutan ia melihat potensi kukuh bagi strategi dua hab di samping mengekalkan perkhidmatan bilah kipas turbo di luar Subang Skypark dan memberi perkhidmatan kepada pengembara korporat dan santai.

Menerusi operasi jet baharu itu, Firefly akan menawarkan konsep perkhidmatan yang fleksibel – pemisahan produk untuk disesuaikan kepada pelanggan santai dan pengguna sensitif harga.

Firefly berkata penumpang akan terus menikmati keistimewaan dan perkhidmatan seperti syarikat penerbangan premium. Ini termasuk elaun bagasi berdaftar dan mata Frequent Flyer Enrich dengan pilihan tempat duduk dan manfaat perlindungan insurans.

Pelaksanaan operasi jet Firefly di hab Pulau Pinang memerlukan pelaburan yang minimum oleh MAG pada 2021 dengan jangkaan peningkatan pengeluaran yang diukur mengikut purata kerusi bagi setiap kilometer sebanyak 36 peratus untuk tempoh lima tahun akan datang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 13,000 kakitangan MAG ditawar cuti tanpa gaji

OLEH: Norrasyidah Arshad

SHAH ALAM 12 MAC: Seramai 13,000 kakitangan Malaysia Aviation Group (MAG) ditawarkan pilihan cuti tanpa gaji berkuat kuasa bulan hadapan.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, MAG berkata penawaran itu susulan tindakan pengurangan operasi berikutan penularan wabak Covid-19.

“Kakitangan diberi pilihan untuk mengambil cuti selama lima hari tanpa gaji dalam tempoh sebulan sekurang-kurangnya tiga bulan atau satu hingga tiga bulan.

“Kami mengesahkan MAG menawarkan pilihan cuti tanpa gaji secara sukarela kepada kakitangan,” katanya.

Sebelum ini, MAG dan AirAsia Bhd mengumumkan pelaksanaan pengurangan gaji kakitangan untuk tempoh beberapa bulan dalam usaha menangani kesan Covid-19 yang menjejaskan pendapatan syarikat.

MAG adalah syarikat induk kepada Malaysia Airlines Bhd; Firefly; MASwings; MAB Kargo; AeroDarat Services Sdn Bhd; MAB Academy; perkhidmatan catar penerbangan umrah dan haji, Amal; perkhidmatan penyelenggaraan MAB Engineering dan pajakan pesawat.